Penulis Tamil dan usaha terjemahan - Utusan Malaysia

Penulis Tamil dan usaha terjemahan

M. Mahendran menerbitkan kumpulan cerpen sulung berjudul Karupaya pada 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT kenyataan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, ada sekurang-kurangnya 1,000 penulis Tamil sepenuh masa di negara ini. Ribuan lagi individu kaum India dikatakan menulis cerpen, novel, puisi, sajak, pantun, penulisan drama serta skrip dan lain-lain lagi secara sambilan dari semasa ke semasa (Bernama, 29 April 2013).

Jumlah ahli persatuan itu yang diasaskan pada 1963 berjumlah minimum 1,500 orang. Laporan Bernama turut memetik kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri waktu itu) yang meminta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) membantu penerbitan lebih banyak karya Tamil supaya khazanah budaya dan kesusasteraan Tamil dipelihara untuk generasi akan datang.

Pada 1972, mesyuarat agung persatuan itu meluluskan usul untuk menjadi anggota kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena). Para penulis Tamil berjanji akan turut menulis karya bahasa kebangsaan untuk memperkaya khazanah sastera kebangsaan dengan memaparkan budaya kaum India tempatan.

Bagaimanapun, impian bergabung dengan Gapena dibatalkan apabila majoriti ahli (penulis Tamil) tampil menyatakan bantahan sesudah cadangan awal itu mendapat liputan dan sokongan pelbagai media. Mereka tidak mahu berkompromi dalam soal memperjuangkan bahasa Tamil sebagai medium tunggal bagi penulisan mereka (Mingguan Malaysia, 12 Mei 2019).

Gambaran ringkas ini boleh sedikit sebanyak menjawab persoalan mengapa sehingga kini tidak ramai penulis Tamil turut terlibat dalam menghasilkan karya bahasa kebangsaan. Keputusan ahli persatuan itu pada 1972 memang menyedihkan, apatah lagi kesan daripada tindakan berkenaan masih terasa sehingga kini.

Kelompok Sasterawan Kavyan merujuk kepada penulis kaum India yang menghasilkan karya secara langsung dalam bahasa kebangsaan. Dalam kalangan mereka, ada juga yang menghasilkan karya bahasa Inggeris dan Tamil. Huraian terperinci terdapat dalam tesis sarjana sastera saya yang sudah terbit sebagai buku berjudul Kavya Sastra (2021).

Dalam kalangan penulis karya Tamil tempatan, M. Mahendran @ M. Prabhu amat unik kerana sejak 1980-an, beliau menghasilkan karya bahasa kebangsaan dan Tamil secara konsisten. Memanglah ada karya penulis Tamil diterjemah oleh orang lain, tetapi Mahendran agak istimewa kerana menguasai kedua-dua bahasa.

Saya mengenali penulis kelahiran Bentong, Pahang ini sejak awal 1990-an dan berbangga menyaksikan sendiri setiap pencapaian beliau. Cerpen beliau tersiar di beberapa akhbar dan majalah kedua-dua bahasa.

Mahendran yang muncul dalam sastera kebangsaan menerusi Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP 1988 berjaya menerbitkan kumpulan cerpen sulung berjudul Karupaya pada 2018. Hampir 30 tahun, beliau berjaya menghasilkan cerpen, sajak dan skrip drama yang layak tersiar di majalah Dewan Sastera.

14 CERPEN

Pada awal bulan ini, beliau muncul pula dengan kumpulan cerpen Tamil sulung berjudul Thalaivar. Buku ini memuatkan 14 cerpen mengetengahkan pelbagai tema dengan gaya penulisan unik yang dimiliki Mahendran. Kebanyakan cerpen ini pernah tersiar di akhbar dan majalah Tamil sebelum disaring dan dipilih untuk dibukukan.

Jika kita berpeluang membaca Karupaya (2018) dan Thalaivar (2021), kita mendapati ada beberapa cerpen yang hadir dalam kedua-dua bahasa. Ada cerpen yang pada asalnya ditulis dan tersiar di media Tamil sebelum ditulis semula oleh Mahendran dalam versi bahasa kebangsaan. Begitulah juga sebaliknya, daripada bahasa kebangsaan kepada Tamil.

Mahendran ternyata memahami cara menulis dan menyajikan karya (cerpen) kepada dua kelompok berbeza, iaitu khalayak umum penggemar sastera kebangsaan dan khalayak khusus pembaca karya Tamil. Beliau secara penuh sedar melakukan pengubahsuaian apabila mengolah semula cerpen yang sama dalam satu lagi bahasa.

Sepertimana kita sedia maklum, karya sastera kebangsaan merujuk kepada karya dalam bahasa kebangsaan. Hal ini sudah disepakati dan dipersetujui sejak berlangsungnya Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya pada 1971.

Sekiranya karya bahasa vernakular diterjemah sendiri oleh penulis asal kepada bahasa kebangsaan, maka diterima sebagai sastera kebangsaan.

Pembaca pelbagai kaum dan latar budaya memang amat mengharapkan kehadiran penulis yang mampu mengangkat dan menggambarkan realiti budaya komunitinya dalam karya sastera kebangsaan. Jalan alternatif adalah kerja-kerja terjemahan.

Daripada pengalaman saya, antologi Seruling di Persimpangan (1999) berjaya diterbitkan dengan kerjasama mendiang M. Balachandran. Ia memuatkan cerpen oleh beberapa penulis Tamil tempatan yang dipilih khusus untuk disajikan kepada pembaca pelbagai kaum.

Mahendran sendiri pernah menterjemah sejumlah cerpen oleh penulis Tamil veteran, mendiang M. Ramaiah dan terbit dengan judul Mimpi dan Impian (2013).

Projek ITBM yang disarankan oleh Najib pula tidak diketahui perkembangannya. Apabila saya meneliti cerpen dan novel Tamil tempatan, memang ada karya bermutu yang wajar diterjemah supaya dapat dinikmati orang ramai. Pada masa sama, lebih menarik sekiranya penulis itu sendiri cuba melakukan terjemahan (atau olahan semula) dalam bahasa kebangsaan.

Saya menggalakkan usaha sedemikian atas dua sebab utama. Pertama, penulis dapat memastikan versi terjemahan itu masih memiliki roh dan jiwa seperti karya asal.

Kedua, karya terjemahan itu dapat diterima sebagai sastera kebangsaan.

Mungkin penulis Tamil yang berminat boleh belajar daripada Mahendran.

Beliau bukan sahaja penulis veteran yang masih aktif dan prolifik, malah sudah membuktikan diri menerusi Karupaya dan Thalaivar.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×