BAGI membolehkan kita menjadi peguam bela dan peguam cara bukanlah perkara mudah. Pada amalannya, seorang peguam perlu mendapat ijazah sarjana muda (kepujian) undang-undang (LLB Hons.) dari institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Untuk menjadi peguam bela dan peguam cara, seseorang graduan LLB Hons. perlu mengambil masa sembilan bulan untuk menjadi pelatih dalam kamar (chambering).
Sebelum boleh masuk ke mahkamah, seorang pelatih perlu melalui prosedur short call yang digerakkan oleh peguam senior.
Setelah sembilan bulan berlatih di firma guaman, pelatih dalam kamar akan melalui proses yang disebut long call. Pendek kata, untuk menjadi pengamal undang-undang memerlukan masa hampir empat hingga lima tahun.
Belajar undang-undang bukan mudah tetapi perkara paling payah adalah untuk berkhidmat sebagaimana diajar di universiti. Bidang undang-undang penuh dengan teknikal dan taktikal, bukan sekadar logik dan analogi.
Hari ini ramai yang pandai bercakap tentang bukti dan keterangan. Malangnya ia bercampur aduk dengan sumpah dan hujah sedangkan pengamal undang-undang sendiri bergelut setiap hari untuk memperkuat kes berdasarkan fakta dan akta.
Jika setiap tuduhan dibuat secara semberono, maka mangsa tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya. Sebaiknya patuhi prosedur yang ditetapkan oleh pihak polis dan dapatkan nasihat peguam berwibawa.
Bukan mudah untuk mewujudkan kes yang kuat hanya dengan kenyataan dan bukti yang sudah terputus-putus rantaiannya. Ibarat menarik sehelai rambut dari dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
Jangan pukul rata dalam menghukum seseorang kerana untuk memahami sesuatu pendakwaan perlulah memahami undang-undang. Carilah peguam berkaliber untuk memberi nasihat, bukan sekadar berhujah seperti mencari benda hilang di tempat gelap meraba-raba.










