Video perubahan iklim komuniti Orang Asli dibentang di UK - Utusan Malaysia

Video perubahan iklim komuniti Orang Asli dibentang di UK

Ahli kumpulan yang terdiri daripada wanita komuniti Orang Asli menjalankan penggambaran video di sekitar perkampungan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagaikan isi dengan kuku. Itu perumpamaan yang tepat untuk menggambarkan betapa akrabnya hubungan komuniti Orang Asli dengan alam semula jadi.

Fenomena perubahan iklim yang semakin membimbangkan ketika ini sudah tentu bukan sahaja terasa ‘bahangnya’ kepada penghuni bandar, malah impak besar turut dirasakan oleh komuniti berkenaan.

Banyak aktiviti dan penghasilan mereka yang terjejas akibat perilaku dan pembangunan tanpa henti sehingga menyumbang kepada krisis iklim.

Justeru, mereka merasakan sudah tiba masanya untuk bangkit bersuara mengetengahkan dilema yang sedang dihadapi bagi membendung permasalahan itu daripada terus membelenggu.

Menerusi Persidangan Perubahan Iklim UN (COP) ke-26 yang akan diadakan di Glasgow, United Kingdom (UK) bulan depan, Orang Asli bakal menyuarakan krisis dan impak perubahan iklim terhadap komuniti mereka di peringkat antarabangsa.

Salah seorang peserta komuniti Orang Asli, Norifa Jamiza, 21, berkata, bertemakan Weaving Hopes For The Future, projek itu akan membawa suara Orang Asli ke persada antarabangsa untuk didengari.

NORIFA JAMIZA

Katanya, sejak tahun 1995 COP diadakan, tahun ini merupakan penyertaan yang pertama bagi Orang Asli Malaysia menghantar sesuatu dalam bentuk video dan seni anyaman.

“COP26 adalah platform yang tepat untuk suara orang asli didengari tentang krisis yang kami hadapi kini. Saya pasti masih ramai yang tidak tahu impak krisis iklim terhadap kehidupan kami

“Dengan penghasilan video ini, orang ramai boleh melihat dan mendengar sendiri wakil-wakil dari Orang Asli Malaysia bersuara tentang kehidupan mereka yang terjejas disebabkan krisis iklim dari pelbagai aspek,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Projek ini turut dijayakan dengan kerjasama Klima Action Malaysia, Gerimis Art Project, Komuniti Orang Asli, Students for Global Health UK serta disokong oleh British Council Malaysia.

Memperjuang ketidakadilan

Bercakap mengenai isu yang bakal diketengahkan, Norifa menjelaskan, ia tentang ketidakadilan yang berlaku terhadap komuniti asal itu.

Hal ini kerana katanya, komuniti Orang Asli bukan penyumbang kepada krisis iklim, namun mereka yang menerima impak paling besar.

Kebanyakan Komuniti Orang Asli masih bergantung kepada hutan yang merupakan kehidupan turun-temurun nenek moyang.

Bagi mereka, hutan kaya dengan pelbagai khazanah seperti ubat-ubatan herba, sumber makanan, sumber pendapatan dan sumber seni.

Kehilangan hutan menyebabkan berlakunya krisis iklim yang memberi impak terhadap hampir keseluruhan kehidupan Orang Asli dari segi sumber pendapatan, kesihatan, tradisi, seni dan spiritual.

“Melalui beberapa temubual yang dijalankan, ada komuniti yang mengalami bencana seperti banjir kerana tiada hutan paya untuk menyerap air.

“Selain itu, kampung yang masih menggunakan perigi untuk sumber air, mengalami masalah apabila air mengering dan sumber air menjadi terhad.

“Dahulu, komuniti Orang Asli yang tinggal di kampung tidak perlu menghidupkan kipas pada waktu siang kerana persekitaran dalam suhu yang sederhana. Tapi kini, masih terasa bahang walau sudah menghidupkan kipas.

“Ini adalah antara sesetengah kesan yang dialami dan masih banyak Komuniti Orang Asli terima impak daripada krisis iklim yang akan dijelaskan di dalam video yang bakal kami hasilkan nanti,” tambahnya.

Norifah (belakang) dan ahli kumpulan menjalankan proses penggambaran video bersama komuniti Orang Asli Malaysia yang akan disiarkan di COP26, United Kingdom.

Dalam pada itu, anak muda dari etnik Jakun ini juga optimis inisiatif berkenaan bakal memberi pencerahan kepada umum mengenai keperluan serta kepentingan komunitinya untuk mempertahankan hutan dan alam semulajadi.

“Mungkin juga akan menarik beberapa orang penting untuk membantu kami (Orang Asli) menyelesaikan masalah yang menyumbang kepada krisis iklim di kawasan kami dan negara secara amnya.

“Selain itu, meluaskan lagi kenalan yang pakar dalam menangani krisis iklim dan mampu memberi kami cara untuk mengatasi masalah ini. Dengan itu, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah krisis iklim,” ujarnya lagi.

Sekumpulan aktivis alam sekitar berarak sambil membawa sepanduk mendesak ditingkatkan kesedaran tentang penjagaan alam sekitar dalam Global Youth Climate Strike di New York, Amerika Syarikat, 24 September lalu. -AFP

Seramai 11 wanita daripada komuniti Orang Asli yang terlibat dalam penghasilan projek video berkenaan.

Video yang bakal dihasilkan itu diisi dengan empat tema iaitu tanah adat, spiritual, wanita dan pembangunan, serta aktiviti Orang Asli.

Setiap empat tema tersebut mempunyai kepentingan tersendiri dalam kehidupan komuniti berkenaan.

“Kami akan menceritakan keunikan di setiap tema terutamanya apabila melibatkan hutan dan bagaimana krisis iklim memberi impak terhadapnya.

“Dalam keadaan sekarang, penceritaan dalam bentuk video memudahkan orang ramai untuk merasai atau faham mesej yang ingin disampaikan.

“Apabila memahami isi penceritaan tersebut, kami berharap lebih ramai yang membantu kami memulihkan semula kehidupan yang dulu,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×