PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini atau mereka berdepan dikenakan tindakan tatatertib.
Ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah seramai 16,902 orang.
Selaras arahan tersebut, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa penjawat awam berkenaan patuh arahan JPA atau dicadang `berundur’ awal daripada perkhidmatan.
JPA menerusi kenyataan semalam memaklumkan, keputusan itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Menurut JPA, adalah menjadi kewajiban semua penjawat awam mengikuti perintah kerajaan termasuk melibatkan hal suntikan vaksin Covid-19 walaupun ketika ini pengambilannya masih disifatkan sebagai sukarela bagi semua individu.
Tuntutan JPA tersebut adalah selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dibuat kerajaan.
“Semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dikehendaki segera melengkapkan vaksinasi sebelum 1 November ini.
“Dalam tempoh ini, pegawai yang belum divaksin hendaklah hadir secara walk-in ke pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan kerajaan,” jelas JPA.
Kata JPA lagi, bagi pegawai yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang disahkan pegawai perubatan kerajaan kepada ketua jabatan masing-masing.
Menurut JPA, sekiranya pegawai awam belum mengambil vaksin selepas tempoh ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan, maka pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.
“Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” jelas JPA.
Setakat ini, hampir 98 peratus pegawai awam Persekutuan sudah menerima vaksin manakala kelompok yang belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus (16,902 orang).
Sementara itu, Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kakitangan awam yang enggan divaksin disaran berundur awal daripada perkhidmatan.
Menurut beliau, menerusi langkah tersebut, penjawat awam masih boleh menerima faedah-faedah kerajaan yang diibaratkan sama seperti ‘berpencen awal’.
“Kewajiban arahan mengambil vaksin selaras mengikut Seksyen 24 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) mengenai kewajiban am pekerja yang sedang bekerja dan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan jika didapati bersalah enggan mengikut arahan,” kata beliau.
Sementara itu, Presiden Cuepacs, Adnan Mat pula berkata: tindakan mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin dan melengkapkan imunisasi sebagai munasabah dan bukannya menghukum.
Menurut beliau, kerajaan telah memberi ruang dan peluang kepada kakitangannya yang anti vaksin walaupun mereka juga tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Kita adalah pekerja yang menerima arahan kerajaan dan melaksanakan dasar yang mengurus semua perkara berkaitan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Justeru, Cuepacs meminta semua penjawat awam akur dengan langkah kerajaan kerana ia bertujuan memulihkan kembali negara yang terkesan dari sudut ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan semalam.- UTUSAN










