Banyak sangat SOP bikin keliru - Utusan Malaysia

Banyak sangat SOP bikin keliru

MASYARAKAT perlu bersedia dan tahu bagaimana harus hidup dengan Covid-19 pada fasa baharu nanti. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“EPI ialah penyakit yang cepat merebak dalam jangka masa singkat. Pan – epidemik yang berlaku merentas negara atau dunia dan en – berlaku dalam sesuatu kawasan dengan frekuensi rendah dan tempoh lama macam penyakit denggi,” kata seorang pensyarah subjek Epidemiologi.

Penerangan tentang pengertian awalan imbuhan yang berasal dari Greek itu diingati sehingga kini kerana ia mengundang kekeliruan saya ketika diduga secara tiba-tiba di dalam kelas. Namun, mutakhir ini istilah tersebut tidak lagi asing dan meniti di bibir setiap orang kerana kita sedang melalui situasi wabak Covid-19 yang masih belum menemui titik noktah.

Malahan, kenyataan Menteri Kesihatan bahawa negara akan beralih ke fasa endemik setelah mencapai imuniti kelompok membuka mata masyarakat awam untuk lebih memahami istilah tersebut secara literal. Perkhabaran tersebut memberi satu harapan tinggi kepada masyarakat setelah sekian lama dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Endemik merupakan suatu keadaan di mana kadar jangkitan penyakit dapat dikawal dengan penanda aras dan kemasukan ke hospital yang menurun dengan tercapainya tahap vaksinasi tinggi. Pada ketika masyarakat dilihat pesimis dengan situasi pandemik yang sedang dilalui, fasa endemik memberi sinar harapan baharu agar masyarakat optimis dengan ujian wabak ini.

Sebagai tanda keimanan, umat Islam seharusnya menerapkan konsep keyakinan dan bersangka baik dengan ketentuan Allah SWT yang berkehendak menurunkan wabak ini. Allah SWT berfirman dalam surah at-Taubah, ayat 51: “Katakanlah (wahai Muhammad). Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”

Maka, suasana getir hari ini seharusnya dijadikan ruang untuk diri bermuhasabah menjadi individu lebih baik dan bukannya dalam keadaan mandom. Masyarakat perlu mempunyai pengetahuan untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana tidak pasti bilakah musibah ini akan berakhir.

Jika kita meletakkan pada sebuah skala, pandemik merupakan peringkat paling tinggi kerana penularannya berlaku di serata dunia dan kematian disebabkannya masih tinggi. Namun, pada fasa endemik, jumlah kes masih ada tetapi dalam skala kecil dan stabil.

Persoalannya, apakah kita bersedia untuk menerima cara hidup bersama virus Covid-19?

Untuk memasuki fasa endemik tidak hanya bergantung kepada imuniti kelompok yang terbina daripada kadar vaksinasi tinggi, tetapi kesedaran mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu berjalan seiringan.

Kesedaran terhadap pelaksanaan pematuhan kendiri bukan hanya disebabkan peraturan atau undang-undang tetapi perlu diterapkan sebagai satu amalan hidup yang mesti dibudayakan.

SESAK

Ini kerana kekhuatiran terhadap penularan wabak yang lebih teruk akan berlaku sekiranya pematuhan terhadap SOP masih rendah dalam kalangan masyarakat. Hal ini akan membantutkan usaha kerajaan untuk memulihkan negara dalam jangka masa disasarkan.

Tahap kesedaran masyarakat terhadap pematuhan SOP terus menjadi kebimbangan apabila dilihat pengabaian terhadapnya masih berleluasa pada ketika kerajaan memberi sedikit kelonggaran untuk merentas daerah baru-baru ini. Apakah jaminan masyarakat kita terus menjaga SOP sepanjang fasa endemik yang memerlukan rakyat mengadaptasi kehidupan bersama virus yang memerlukan perumah untuk bermutasi?

Virus SARS-CoV-2 mempunyai pelbagai varian dengan kebolehan untuk berjangkit yang tidak dapat dibendung penularannya melainkan kita sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, mengelakkan berada di tempat sesak dan sentiasa membasuh tangan. Selain bersedia untuk mencapai imuniti kelompok bagi memasuki fasa endemik, kerajaan harus merangka strategi dan mengkaji semula SOP supaya dapat diperkemaskan dan difahami oleh masyarakat dengan lebih mudah dan berkesan.

Sejajar itu, kerajaan perlu memastikan masyarakat memahami dengan jelas tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu digalas selepas negara diisytihar berada dalam fasa endemik. Program kesedaran dan kefahaman tentang Covid-19 perlu dilaksanakan secara intensif dan agresif serta lebih bersistematik supaya masyarakat memahami situasi dan beban penyakit serta dapat mengadaptasi dengan norma baharu.

Ini kerana melangkah ke fasa endemik memerlukan kita menerima bukan sahaja untuk hidup bersama virus tersebut kerana penularannya akan sentiasa wujud dalam komuniti tetapi juga kesukaran mengecapi kebebasan hidup seperti sebelum ini. Pelaksanaan SOP fasa endemik yang akan dipertimbangkan juga perlu relevan dan mesra rakyat serta seimbang antara keperluan menjaga nyawa dan tuntutan ekonomi untuk menguruskan kehidupan seharian.

Masyarakat perlu dimaklumkan terlebih awal supaya mereka bersedia dan tahu bagaimana harus hidup dengan Covid-19 pada fasa baharu nanti. Maka strategi komunikasi dan penyampaian maklumat perlu lebih efisien bermula dari sekarang melalui pelbagai saluran untuk mengelakkan sebarang kecelaruan.

Ini kerana SOP yang banyak tersenarai hanya dilihat menimbulkan polemik dan mengundang kekeliruan masyarakat seterusnya akan menyebabkan ketidakpatuhan.

Kehidupan di fasa endemik memerlukan kebertanggungjawaban setiap individu menggalas peranan terhadap kesihatan diri sendiri dan orang sekeliling.

Mereka yang bergejala perlu bersifat jujur bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga kepada majikan, sekolah tempat anak-anak belajar, ahli keluarga, rakan dan jiran.

Pendekatan setiap individu sebagai barisan hadapan dan bukan hanya terletak pada pihak tertentu perlu diambil.

Ini akan memastikan masyarakat bersedia untuk hidup bersama virus dan bukan hanya bergantung kepada SOP yang diharapkan lebih memudahkan. Melangkah ke fasa seterusnya memerlukan penggemblengan usaha berterusan daripada pemerintah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sehingga ke akar umbi.

Di samping itu, kita harus melihat dari sudut positif bahawa langkah ini menjadi titik anjakan dalam perubahan sikap dan gaya hidup masyarakat supaya kesejahteraan dapat dicapai dan pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan baik.

PENULIS ialah Felow, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×