PETALING JAYA: Kurang pendedahan pengurusan kewangan yang baik dan tiada simpanan mencukupi waktu kecemasan antara punca ramai yang muflis.
Ia turut melibatkan individu yang berhutang gagal membuat rundingan dengan bank, berbelanja melebihi kemampuan serta keterlibatan hutang dengan ah long yang semakin meningkat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan City University Malaysia. Prof. Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, sepatutnya golongan ini berunding dengan pihak bank untuk menangguhkan bayaran atau bayaran dilakukan secara ansuran.
“Ini turut melibatkan pinjaman peribadi dan hutang kredit kad yang menjadi masalah utama rakyat negara diisytiharkan muflis.
“Sehubungan itu kerajaan perlu mendidik rakyat dalam menguruskan hutang dan memperbanyakkan program mediasi hutang dengan kerjasama institusi kewangan kerana perlu ada satu usaha untuk mengajak masyarakat bagaimana menguruskan kewangan dan berhadapan bebanan hutang,” jelas beliau
Beliau mengulas jawapan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat yang memaklumkan seramai 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 hingga Julai lalu, akibat pandemik Covid-19.
Ismail Sabri menambah, berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Selangor merekodkan jumlah individu tertinggi diisytihar muflis iaitu seramai 2,555 orang manakala Wilayah Persekutuan pula mencatatkan seramai 1,288 orang.
Semenetara itu mengulas mengenai perancangan kewangan yang baik, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, data kajian menunjukkan sebilangan rakyat Malaysia tidak mampu mengadakan RM1,000 untuk waktu kecemasan.
“Dalam membendung perkara ini, rakyat perlu membuat simpanan simpanan tidak kira besar atau kecil. Sebaiknya, sekitar 10 peratus daripada pendapatan bulanan disimpan, selain melakukan perbelanjaan mengikut kemampuan sahaja.
“Ini juga mampu mengatasi masalah inflasi dengan peningkatan 2.4 peratus saban tahun. Pelaburan juga digalakkan supaya simpanan tidak dihakis inflasi. Walaupun berisiko, namun perlu bersabar agar tidak terjerumus dengan skim cepat kaya,” katanya.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid pula berkata, tidak dinafikan situasi PKP menjadi faktor utama kepada peningkatan kadar muflis tersebut, maka pertimbangan sewajarnya perlu melihat kepada keadaan persekitaran tersebut.
“Sekiranya individu diisytihar muflis disebabkan perbelanjaan tidak perlu, maka ini boleh dikaitkan dengan pengurusan kewangan yang tidak baik, namun sekiranya disebabkan perniagaan kecil dan sederhana serta usahawan baru naik, perlu diberi bantuan dan pengecualian.
“Dalam memantapkan pengurusan kewangan, perkara ini perlu diperkenalkan lebih awal di peringkat persekolahan mahupun universiti dalam meningkatkan kadar celik kewangan termasuk di media cetak dan elektronik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), Mazzatul Raudah Abdul Halim berkata, bukan sahaja faktor kegagalan mengurus kewangan, tetapi ramai juga yang terlibat dengan bebanan hutang jahat apabila kehilangan pekerjaan.
“Perancangan kewangan teliti perlu mengambil kira elemen jangkauan pendapatan, perancangan simpanan dan pelaburan, perlindungan diri dan keluarga, penyucian dan pewarisan harta pusaka. – UTUSAN










