Bauksit: Tiada lagi debu, kotor - Utusan Malaysia

Bauksit: Tiada lagi debu, kotor

KERAJAAN mengenakan tempoh moratorium bagi aktiviti pengeluaran bauksit sejak 2016 berikutan pelbagai isu terutama aspek pencemaran dan keselamatan penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSEDIAKAH semua pihak pada pengoperasian semula aktiviti berkaitan perlombongan, pengangkutan dan pengeskportan bauksit secara lebih terurus terutamanya bebas pencemaran?

Sepertimana kita tahu, aktiviti pengeluaran bauksit terhenti menerusi tindakan Kerajaan Persekutuan mengenakan tempoh moratorium secara berperingkat-peringkat selama tiga tahun sejak 15 Januari 2016 hingga 31 Mac 2019. Tempoh ini dikenakan ekoran pelbagai isu membabitkan pencemaran, keselamatan jalan raya dan ancaman kesihatan diakibatkan oleh aktiviti yang dilihat tidak terkawal hingga meresahkan penduduk terutama di Kuantan, Pahang.

Sungguhpun tempoh ini sudah lama, namun aktiviti belum juga dijalankan semula sebahagian besarnya ekoran usaha Kementerian Tanah dan Sumber Asli (KetSA) – sebelum ini Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) bagi mewujudkan dan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) pengoperasiannya. SOP ini meliputi empat aspek penting iaitu pengurusan perlombongan bauksit, pengangkutan dan penguatkuasaan, kawasan penyimpanan dan pengurusan di pelabuhan serta pengeksportan.

Antaranya ialah kemestian mendapat kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) (bagi sebarang aktiviti perlombongan bermula 2015) dan kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG). Kedua-dua JAS dan JMG ialah jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan. JAS di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) manakala JMG di bawah KetSA.

Begitu juga bagi kawasan pajakan yang mempunyai muka bumi tidak sesuai untuk pembinaan kolam hampas, bijih bauksit hendaklah dihantar ke loji pemprosesan berpusat untuk proses pencucian.

Sesudah SOP ini siap, telah ditetapkan dalam perbincangan KATS ketika itu dengan kerajaan negeri diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail agar ia diuji terlebih dahulu menerusi program simulasi.

Ini menandakan sikap mengambil berat kedua-dua kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan terutamanya tentang SOP yang bukan sahaja mesti doable tetapi juga justifiable demi menyaksikan situasi menang-menang kepada semua pihak.

Ini dikira wajar atas kesedaran pencemuh-pencemuh tegar aktiviti ini sejak dahulu terus dengan cemuhan mereka sekarang, namun diharap mereka akan mengambil kira betapa lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang.

Ia juga wajar kerana kerajaan negeri tidak boleh bersikap berat sebelah, maka perlu mengambil kira rintihan peneroka Felda terbabit di Bukit Goh khususnya kerana tempoh pemberhentian (moratorium) menyebabkan mereka kerugian besar sedangkan tanah yang sudah sebahagian tertentu dilombong menjadi terbengkalai.

Bahan mineral bauksit di daerah Kuantan sahaja dianggarkan berkapasiti 18.5 juta tan matrik dengan nilai RM2.59 billion yang sudah tentu mampu memberi pulangan tinggi kepada pemilik tanah khususnya dalam kalangan peneroka Felda terbabit.

SIMULASI

Maka diadakan tempoh percubaan atau program simulasi tersebut dalam dua fasa, iaitu fasa pertama selama enam bulan bermula Jun hingga November 2020, fasa kedua juga enam bulan bermula Disember 2020 hingga Mei lalu.

Lima operator terlibat meliputi lima kawasan perlombongan berkeluasan 195.03 hektar dengan pengeluaran 200,000 tan metrik, menggunakan 308 lori bertutup dan bebas cemar (debu) serta berdaftar dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang sebagai medium pengangkutan.

Antara dapatan utama daripada tempoh percubaan atau menerusi program simulasi yang keseluruhannya mengambil masa sehingga setahun ini ialah isu-isu pencemaran dan pelanggaran syarat adalah pada tahap terkawal sebagaimana dikehendaki dan menuruti SOP Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang.

Misalnya, semua lori yang digunakan didapati patuh kepada spesifikasi ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi aktiviti pengangkutan dari tapak lombong ke pusat pencucian dan Pelabuhan Kuantan.

Selain itu, isu pencemaran dan jalan kotor akibat debu-debu dapat turut diatasi kerana SOP sama menetapkan hanya bauksit yang telah dicuci boleh dibawa keluar untuk dihantar ke Pelabuhan Kuantan bagi pengeksportan.

Apatah pula penetapan syarat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat yang memastikan pewujudan ruang basuh (washing bay) untuk dilalui dan membersihkan sebelum lori keluar dari tapak lombong.

Kerjasama baik dan komitmen tinggi sesama pelbagai jabatan teknikal dan penguat kuasa dalam tempoh percubaan dan simulasi telah meyakinkan kerajaan negeri lalu membolehkan pelaksanaan semula operasi melombong bauksit.

Kerajaan negeri melalui PTG Pahang juga mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Aktiviti Perlombongan Negeri Pahang sebagai komitmen untuk memastikan aktiviti perlombongan mematuhi garis panduan SOP ditetapkan.

Isu-isu berbangkit mengenai aktiviti perlombongan bauksit ini kelak akan diselaraskan di bawah jawatankuasa ini, termasuk mengesyorkan tindakan susulan lebih drastik kepada kerajaan negeri jika berlaku sebarang pelanggaran sehingga memberi impak negatif kepada penduduk dan alam sekitar.

Maka sudah benar-benar bersediakah semua? Mungkin satu operator menerima pengajaran amat berguna daripada episod baharu aktiviti bauksit dan SOP ketatnya apabila permohonan bagi kelulusan EIA melibatkan keluasan 3,642.2 hektar pada 31 Mei lalu telah ditolak oleh JAS pada 23 Ogos.

Lalu, kembalilah semula operator tersebut kepada usaha melengkapkan segala maklumat terkini yang diperlukan bagi mendapatkan kelulusan itu dan dijangka mengambil tempoh enam bulan lagi.

PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×