SYARAT kemasukan ke tingkatan satu dan empat mulai 2022 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mempertimbang pemohon dari aliran sekolah kebangsaan sahaja, bukan sahaja tepat. Ia perlu dialu-alukan oleh semua pihak.
Ini kerana persekolahan di sekolah kebangsaan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah adalah aliran utama, malah yang terpenting dalam sistem pendidikan negara. Oleh itu, ia hendaklah disokong dan bukan sebaliknya dikritik.
Sehubungan itu, malang sekali syarat betul ini ditarik balik setelah dibantah sebahagian rakyat yang hanya mementingkan diri sendiri dan bukannya negara. Dalam pada sistem pendidikan kita bersikap liberal, yakni ikut membenarkan kewujudan aliran lain di samping yang utama, ia hendaklah tegas dalam memperkasa aliran utama sekolah kebangsaan dari peringkat tadika dan sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah.
Tindakan tegas ini bukan sahaja baik untuk kelangsungan sekolah kebangsaan itu sendiri yang tidak dapat dinafikan telah mengalami banyak kemerosotan kebelakangan ini. Lebih penting lagi ia amat baik untuk sistem pendidikan negara bagi terus memastikan aspirasi negara dapat diterapkan sepenuhnya.
Sepatutnya dari awal penubuhannya lagi, MRSM menggunakan syarat ini sahaja dan pula dengan tegas sekali. Syarat sebelum mengenakan ketetapan sekolah kebangsaan sahaja yang ikut membenarkan permohonan calon dari persekolahan bukan aliran utama didapati bukan sahaja tersasar, ia juga tidak mencerminkan nasionalisme watan yang didukung MRSM.
Dengan kewatanan itu, MRSM hendaklah pada setiap masa mendukung aspirasi pendidikan negara seperti pada Akta Pendidikan 1996 (1961 sebelumnya) untuk memantap dan melestarikan aliran utama itu yang nasional sifatnya bagi bidang pendidikan tanah air. Langkah terbaharu MRSM untuk mengenakan syarat hanya sekolah kebangsaan dan bukan yang lain-lain, sesungguhnya adalah jitu sekali dengan proses pembentukan negara bangsa yang perlu bersifat nasionalisitik dalam kerangka wataniah Malaysia.
Sehubungan itu, sekolah kebangsaan yang merupakan wadah kebangsaan kerana membekalkan pendidikan nasional hendaklah dimanfaatkan dan dengan sepenuhnya pula. Dengan ini, sekolah kebangsaan bukan sahaja persekolahan penting bagi negara tetapi juga yang bestari bagi mendukung identiti nasional untuk negara dan identiti budaya untuk rakyat.
Walaupun kita dibenarkan mengamal kepelbagaian budaya, termasuklah penggunaan bahasa pengantar dan orientasi pendidikan tertentu, kita hendaklah pada setiap masa memberi keutamaan dan keistimewaan kepada persekolahan di sekolah kebangsaan yang sama-sama kita angkat sebagai aliran utama.
Untuk ini, langkah MRSM itu adalah tindakan proaktif, iaitu mewujudkan kesempatan untuk memartabatkan sekolah kebangsaan bagi mengawalnya daripada terus merudum kerana banyak dikesampingkan ibu bapa, khususnya bukan Melayu yang rata-ratanya menghantar anak-anak mereka ke sekolah lain.
MARUAH
Sepatutnya syarat sekolah kebangsaan sahaja ini juga digunakan oleh institusi pendidikan kerajaan lain. Ini penting untuk terus memperkasa sekolah kebangsaan sebagai antara cara mengembalikan zaman kegemilangannya, selain merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikannya pilihan masyarakat semula seperti yang tercatat pada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Sehubungan PPPM ini, sekolah kebangsaan adalah maruah sistem pendidikan kebangsaan kerana merupakan aliran utama dan juga wadah perpaduan negara. Dengannya dikesampingkan, ia bukan sahaja perlu diselamatkan, ia harus dimartabatkan semula sebagai sekolah pilihan utama rakyat dari segenap lapisan di seluruh pelosok negara.
Sebenarnya langkah diambil MRSM itu adalah usaha sangat penting untuk membantu sekolah kebangsaan berada semula di persada sewajarnya sebagai aliran utama negara. Tetapi dengan penarikan balik syarat itu, kita bukan sahaja berada di takuk lama, malah berundur ke belakang, dalam proses pembentukan negara bangsa bagi mendukung identiti nasional dan identiti budaya yang bukan sahaja kental tetapi terserlah sekali untuk menjayakan dasar negara antaranya dalam bidang pendidikan.
Dalam proses pembentukan negara bangsa untuk mendukung identiti nasional dan identiti budaya ini, kita hendaklah tegas dengan ketetapan yang dibuat dengan penuh hemat untuk melahirkan warganegara yang bersatu padu dan berjati diri kebangsaan. Dengan menarik kembali syarat itu, tidak dapat dinafikan kita memang tiada keazaman, apatah lagi keberanian politik untuk membina negara yang rakyatnya mempunyai iltizam untuk menjayakan negara mengikut aspirasi nasional yang ditetapkan.
Selama-lamanya Malaysia akan menjadi negara yang tidak dapat mencapai hasratnya kerana terdapat rakyatnya yang tidak mahu menyokong dasar negara dan dilayani kerajaan pula. Sebenarnya dengan adanya rakyat begini walaupun segelintir sahaja, ia bermakna seluruh sejarah negara telah dinafikan.
Dengan ini, kita tidak akan berjaya sepenuhnya dalam proses pembentukan negara bangsa. Ini kerana kita tidak tegas dalam melaksanakan langkah baik untuk negara.
Justeru, untuk kelangsungan selanjutnya sebagai negara berjaya, kita hendaklah mengenakan syarat ini semula untuk kemasukan MRSM dan lain-lain dengan pemberitahuan secukupnya bahawa pengambilan pelajar mulai tarikh tertentu akan hanya mengguna pakai sijil berhenti sekolah dari sekolah kebangsaan yang tempoh persekolahannya adalah munasabah lama, selain keputusan cemerlang daripada peperiksaan awam negara dalam aliran utama sahaja.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










