SABTU lalu, media menyiarkan hasrat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengehadkan warga emas memandu kereta. Laporan media itu memetik Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias sebagai berkata, PDRM mahu mencadangkan perkara itu kepada kerajaan susulan faktor usia antara penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Penyakit-penyakit seperti alzheimer dan masalah mata sering dihadapi warga emas. Tegas Azisman lagi, warga emas perlu dikehendaki menjalani pemeriksaan doktor dan mendapat surat pengesahan bahawa mereka sihat untuk memandu. Sehubungan itu, kerajaan perlu mengkaji semula prosedur pengeluaran lesen memandu kepada golongan ini.
Mengulas cadangan itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan, Mohammad Hisham Shafie berkata, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan apakah benar faktor usia menjadi penyumbang utama kepada kemalangan di negara ini. Pada pendapatnya, warga emas berusia 60 hingga 65 tahun masih sihat dan boleh memandu.
Bagaimanapun, satu pemeriksaan kesihatan penting bagi memastikan tidak wujud sebarang masalah ketika individu itu memandu di jalan raya.
Pada 16 September lalu, seorang warga emas lelaki ditahan polis selepas didapati memandu melawan arus di satu lokasi di Shah Alam, Selangor. Mengikut Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Embol, pemandu berkenaan tersilap masuk laluan bertentangan di bulatan pertama selepas Plaza Tol Alam Impian dan keluar di bulatan kedua di Persiaran Tun Teja.
Dia ditahan untuk sisatan lanjut di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
Apa kata Akta 333?
Seksyen 30 APJ 1987 (Akta 333) menceritakan tentang kesihatan jasmani pemohon lesen pemandu dan pemegangnya. Subseksyen (1) menyatakan apabila seseorang memohon lesen memandu, dia dikehendaki membuat suatu akuan dalam borang ditetapkan. Dalam borang itu dia mesti menyatakan sama ada menghidap apa-apa penyakit atau ketidakdayaan jasmani yang boleh menjadi punca bahaya kepada orang awam.
Di bawah Subseksyen (2) pula, jika dalam akuan itu didapati pemohon menghidap penyakit atau ketidakdayaan yang boleh menjadi punca bahaya kepada orang awam, Pengarah (Jabatan Pengangkutan Jalan) boleh menolak permohonan itu.
Dalam pada itu, di bawah Subseksyen (2) ini, pemandu yang gagal mendapatkan lesen masih boleh (kecuali dalam kes-kes penyakit dan ketidakdayaan ditetapkan) menuntut supaya dikenakan suatu ujian kesihatan bagi menguji kelayakan atau kebolehannya memandu kenderaan. Andainya dia lulus ujian kesihatan itu, maka lesen memandu yang dipohon olehnya tidak boleh ditolak.
Di bawah Subseksyen (3), sekiranya seorang pemandu mendapati dia ada penyakit atau ketidakdayaan yang boleh menjadi punca bahaya kepada orang awam, dia hendaklah dengan serta merta menyerahkan balik lesen itu kepada Pengarah untuk dibatalkan.
Di bawah Subseksyen (4) pula, sekiranya Pengarah mendapati ada sebab mempercayai mana-mana pemegang lesen memandu menghidap penyakit atau ketidakdayaan yang boleh menjadi punca bahaya kepada orang awam, Pengarah boleh menjalankan apa-apa siasatan yang difikirkan perlu.
Andainya Pengarah puas hati pemegang lesen itu menghidap penyakit atau ketidakdayaan, beliau hendaklah mengeluarkan notis membatalkan lesen dan pemegang lesen hendaklah kemudian menyerahkannya untuk dibatalkan.
Mana-mana pemandu yang diberi notis oleh pendaftar seperti disebutkan di atas tadi berhak menuntut satu ujian kesihatan dijalankan. Andainya dia lulus ujian itu, lesen memandunya tidak boleh dibatalkan. Sekiranya lesen telah dibatalkan, pembatalan itu hendaklah dihapuskan dan lesen memandu dipulangkan kepadanya.
Jangan diskriminasi
Ada dua perkara penting perlu disebutkan mengenai Seksyen 30 ini.
Pertama, prosedur yang disebutkan dalam Subseksyen (4) terpakai hanya apabila Pengarah ada sebab mempercayai pemegang lesen itu menghidap penyakit atau ketidakdayaan. Ia tidak boleh dijalankan secara rawak.
Kedua, prosedur di bawah Seksyen 30 ini terpakai kepada semua pemandu, lelaki dan perempuan, muda dan tua. Jika pihak berkuasa mahu melaksanakan satu prosedur baharu dan khas terhadap warga emas, tidak mustahil cadangan terbaharu PDRM ini akan dipersoal berasaskan isu diskriminasi terhadap warga emas.
Diskriminasi atas apa alasan sekalipun adalah bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Mungkin boleh kita fikirkan cara lain untuk tidak menggalakkan warga emas memandu kereta.
Di Illinois, Amerika Syarikat, undang-undangnya menghendaki pemandu yang berusia lebih 75 tahun lulus ujian memandu sebelum lesen memandu mereka diperbaharui.
Mulai usia 81 tahun, seorang pemandu tidak boleh membaharui lesennya melebihi dua tahun. Di Florida, setiap pemandu berusia 79 tahun ke atas perlu lulus ujian mata sebelum lesen memandu mereka boleh diperbaharui.
Di United Kingdom (UK), pemandu yang menghidap penyakit Parkinson, Alzheimer dan epilepsi tidak dibenarkan membaharui lesen memandu mereka.
Terdapat kira-kira empat juta pemandu berusia lebih 70 tahun di UK. Walaupun belum ada undang-undang mengehadkan usia pemandu di negara itu, mereka yang melebihi umur 70 tahun dikehendaki membaharui lesen memandu mereka setiap tiga tahun dan mesti lulus ujian mata.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










