Jangkitan Covid-19 boleh melonjak semasa endemik - Utusan Malaysia

Jangkitan Covid-19 boleh melonjak semasa endemik

Sebahagian warga kota meluangkan masa beriadah di Taman Tasik Titiwangsa , Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Peningkatan kes Covid-19 secara bermusim mungkin berlaku apabila negara ber­alih kepada fasa endemik dalam masa terdekat ini.

Pakar Penyakit Berjangkit Hospital Glene­agles, Dr. Timothy William berkata, peningkatan kes berkala ini mungkin berlaku pada musim pe­rayaan atau pesta tertentu kerana orang ramai akan berkumpul dalam satu kawasan.

Beliau berkata, jangkitan akan sentiasa ada dalam komuniti kerana virus Covid-19 tidak akan berhenti menjangkiti manusia bagi satu tempoh yang lama.

“Tiada siapa boleh menjangka sampai bila rakyat terpaksa hidup bersama virus Covid-19.

“Sukar menentukan tempoh jangkitan virus ini berakhir ke­rana ramalan yang dibuat sebelum ini pun banyak yang tersasar dan tidak tepat,” katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Justeru, jika ingin me­ngurangkan angka jangkitan, kerajaan perlu me­ngambil langkah memperbaiki sistem peng­udaraan dalam bangunan, memastikan tempat kerja selamat dan menetapkan peraturan bagi kebenaran makan di restoran ketika negara beralih kepada fasa endemik.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kanan dan Ketua Unit Kesihatan Awam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Dr. Mohd. Yusof Ibrahim berkata, endemik itu sendirinya membawa makna rakyat akan hidup seperti sedia kala dengan kehadiran virus di sekeliling.

Walau bagaimanapun, jangkitan yang dialami tidak akan berada pada tahap membimbangkan, sama seperti penyakit influenza.

Beliau menjangka, kes positif Covid-19 di negara ini akan kembali menurun apabila 80 peratus penduduk telah divaksin.

Situasi sama boleh dilihat di negara jiran, Indonesia yang kini mencatatkan trend penurunan kes yang begitu ketara apabila proses vaksinasi mencapai 80 peratus.

Pada 9 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, Malaysia dijangka beralih kepada fasa endemik Covid-19 pada akhir Oktober iaitu apabila 80 peratus populasi dewasa di negara ini menerima vaksin lengkap.

Katanya, perubahan fasa se­nario Covid-19 itu berikutan mustahil untuk mencapai sifar kes baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×