SPRM rampas RM50,000, beberapa kereta mewah di hotel - Utusan Malaysia

SPRM rampas RM50,000, beberapa kereta mewah di hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan ke atas tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan berkaitan kehilangan barang kes membabitkan duit RM25 juta dalam simpanan agensi itu menemukan wang tunai bernilai RM50,000 dan beberapa buah kereta mewah di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, duit dan kereta-kereta mewah yang tidak disebutkan jenis dan berapa buah itu dipercayai milik kepada penguasa kanan SPRM iaitu seorang daripada tiga pegawai yang ditahan.

Dua lagi yang ditahan ialah pegawai SPRM berpangkat penguasa dan ketua penolong kanan penguasa. Ketiga-tiga mereka dalam jawatan gred 34 hingga 44.

Kata sumber itu, beberapa kenderaan mewah itu ditemui di tempat letak kereta hotel tersebut dan SPRM sedang melakukan dokumentasi untuk mengetahui `asal-usul’ semua kenderaan itu.

Begitu juga wang RM50,000, SPRM masih menyiasat sumber duit berkenaan termasuk sama ada ia hasil curi duit RM25 juta milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Jelas sumber, pegawai SPRM berpangkat penguasa kanan berkenaan turut memiliki beberapa buah motosikal berkuasa tinggi selain tinggal di kediaman mewah.

“Semua pemilikan pegawai berpangkat penguasa kanan sedang disemak. SPRM juga sedang menyemak rekod pemilikan wang, harta benda dua lagi pegawai yang ditahan,” kata sumber.

Mengulas lanjut, sumber berkata, kes-kes pemilikan harta `luar biasa’ pegawai dan warga berpangkat rendah SPRM sering diterima namun kes kehilangan barang bukti bukan perkara yang selalu berlaku dalam agensi tersebut.

Kata beliau, SPRM terus menjalankan siasatan mengenai kehilangan duit RM25 juta mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan Akta Pengubahan Wang Haram sebaik menerima aduan daripada pemiliknya.

“SPRM teruskan lakukan siasatan terperinci dan proses siasatan dilakukan terhadap tiga pegawai berkenaan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP),” kata sumber berkenaan.

Utusan Malaysia difahamkan, ketiga-tiga pegawai berkenaan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Terdahulu, satu sumber lain memaklumkan, polis menemui sejumlah dadah di dalam beg milik penguasa kanan berkenaan semasa pemeriksaan di pejabatnya.

Polis yang memeriksa rumah penguasa kanan itu pula merampas sejumlah peluru dan pistol.

“Kesemua barang tersebut ditemukan susulan serbuan yang dilakukan oleh Bukit Aman berikutan laporan pegawai berkenaan memiliki dadah serta senjata api.

“Hasil pemeriksaan, kita menemukan sejumlah dadah di dalam beg miliknya. Kita percaya dadah itu adalah untuk kegunaan dirinya sendiri,” kata sumber tersebut.

PDRM dalam satu kenyataan semalam mengesahkan satu tangkapan dibuat terhadap seorang pegawai kanan SPRM pada Isnin lalu berkaitan dadah dan rampasan senjata api.

Dua kertas siasatan dibuka PDRM melibatkan Akta Senjata 1960 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kontroversi kehilangan duit Hasanah, sumber berkata, SPRM sedang melengkapkan siasatan berhubung kehilangan barang kes tersebut manakala pihak PDRM pula, agensi itu melakukan siasatan terhadap kes pemilikan dadah, peluru dan senjata api.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×