PUTRAJAYA: Kebenaran rentas negeri hanya dibolehkan apabila kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu antara ketetapan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 semalam dengan turut memutuskan pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan dibenarkan dengan syarat yang sama.
Menurut beliau, berdasarkan penilaian risiko semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga membenarkan Johor beralih kepada fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok.
Setakat ini Kedah menjadi satu-satunya negeri yang masih berada dalam Fasa 1.
Kata beliau, Negeri Sembilan pula kepada Fasa 4 iaitu negeri kedua selepas Labuan mencapai fasa terakhir itu, manakala Pahang pula kepada Fasa 3.
“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa itu berkata, antara ketetapan lain yang diputuskan ialah kedai runcit, mini market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 malam berkuat kuasa hari ini.
Kata beliau, operasi perniagaan spa, pusat kesihatan dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober ini.
Beliau berkata, pusat, premis, produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuat kuasa tarikh sama dengan semua pengusaha atau operator dan pengunjung lengkap divaksin.
“Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.
“Warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma,” katanya.
Ismail Sabri pada masa sama menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.
Beliau menasihati orang ramai mematuhi setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri. – UTUSAN











