BIDANG sukan sentiasa dilihat sebagai platform terbaik untuk memupuk dan memperkasakan semangat perpaduan dalam kalangan pelbagai lapisan rakyat di negara ini.
Bahkan sukan juga berperanan penting dalam menyuburkan semangat patriotisme, iaitu cinta dan sayangkan negara. Justeru, sukan wajar dijadikan medan terbaik untuk memupuk semangat perpaduan yang jitu dalam kalangan seluruh Keluarga Malaysia.
Ironinya, setiap kali atlet kita menyertai sesuatu kejohanan besar seperti Sukan Olimpik termasuk Paralimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA, kita dapat melihat betapa teruja dan bersemangatnya masyarakat ketika memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada barisan atlet yang mewakili negara.
Sokongan yang diberikan itu cukup ikhlas dan tidak pernah menghiraukan latar belakang agama, bangsa mahupun warna kulit atlet. Misalnya, ketika Datuk Azizulhasni Awang beraksi dalam final acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, semua lapisan rakyat sama ada Melayu, Cina, India mahupun etnik minoriti lain bukan sahaja menzahirkan sokongan padu tetapi turut mendoakan kejayaan untuk kita merangkul pingat emas pertama Olimpik. Malah sokongan sama dizahirkan kepada semua atlet Paralimpik negara yang menyertai Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Sokongan sama juga pernah diberikan kepada jagoan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebelum ini.
Umumnya, kepuasan jelas terpancar di raut wajah setiap warganegara yang menyaksikan sesuatu acara baik di stadium, rumah mahupun di kedai makan apabila atlet merangkul emas dan lagu Negaraku berkumandang di podium. Dalam sedar tak sedar, pelbagai lapisan masyarakat meraikan setiap kejayaan tersebut secara bersama sehingga ada yang menitiskan air mata kegembiraan ketika lagu keramat itu dikumandangkan dan Jalur Gemilang berkibar megah.
Hakikatnya, sukan mempunyai aura dan daya tarikan tersendiri untuk menarik sokongan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. Rakyat menyokong semua atlet yang bertanding atas prinsip mereka mewakili negara dan berusaha untuk menaikkan nama di pentas antarabangsa. Justeru, sukan wajar diangkat menjadi medan terbaik untuk memupuk semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan masyarakat kita.
Tatkala masyarakat semakin terpisah dalam pelbagai aspek kehidupan harian, sukan berdiri megah sebagai alat perpaduan yang cukup membanggakan. Hakikatnya pada hari ini, tahap perpaduan nasional terus menjadi polemik berpanjangan sehingga ada menggelar tahap perpaduan yang ada hanyalah senipis kulit bawang.
Jelas sekali tahap perpaduan nasional pada ketika ini cukup membimbangkan kerana sedikit sahaja provokasi sudah cukup untuk mencetuskan api kemarahan dan perselisihan antara kaum. Ini ditambah dengan sentimen politik perkauman yang secara terus-menerus memisahkan dan memecah-belahkan rakyat mengikut ideologi parti masing-masing.
MUJARAB
Oleh itu, kita perlu menggunakan sukan sebagai formula mujarab untuk memperkukuh dan memperkasakan semula tahap perpaduan dalam kalangan rakyat. Hal ini sangat signifikan kerana dalam bidang sukan, kita tidak pernah membangkitkan isu perkauman mahupun agama.
Satu-satunya kriteria utama yang dititikberatkan ialah skil atau kemahiran dan kehebatan dimiliki seseorang ahli sukan dalam mencapai kejayaan disasarkan. Pengorbanan, kerja keras serta kesungguhan yang dipamerkan oleh barisan atlet atau pemain untuk memenangi sesuatu pertandingan demi lencana di dada sekali gus meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan kaum dan bangsa dengan mudah menambat hati peminat.
Oleh yang demikian, kita berharap Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat bergabung tenaga untuk merangka strategi berkesan supaya dapat memanipulasi sepenuhnya bidang sukan sebagai platform dan tunjang utama bagi menyatupadukan rakyat kita mulai di peringkat sekolah.
Percayalah, ia mesti dimulakan dari bangku sekolah lagi umpama melentur buluh biar dari rebungnya. Buka peluang kepada anak-anak kita untuk belajar erti perpaduan dan kerjasama serta semangat patriotisme melalui penglibatan mereka dalam bidang sukan. Carilah formula yang mujarab untuk merealisasikan impian ini.
Di samping itu, KBS juga wajar memberi fokus kepada sukan yang mempunyai daya tarikan dan peminat ramai sebagai platform untuk menyuburkan perpaduan rakyat.
Sukan bola sepak dan badminton misalnya wajar diangkat sebagai sukan ikon perpaduan nasional. Sukan bola sepak yang merupakan sukan nombor satu dilihat dapat menarik minat majoriti rakyat kita tanpa mengira agama dan bangsa.
Jadi, pastikan skuad bola sepak negara mampu terus gah di persada antarabangsa supaya peminat sejati yang lebih dikenali sebagai ekor Harimau Malaya ataupun Ultras Malaya dapat terus meningkatkan sokongan. Percayalah, kejayaan Harimau Malaya mampu menarik minat lebih ramai lagi rakyat kita untuk memberikan sokongan sekali gus menyuburkan lagi semangat perpaduan dan patriotisme.
Tuntasnya, sukan boleh menjadi wadah terbaik untuk menyuburkan semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan seluruh Keluarga Malaysia. Jadikanlah sukan sebagai pengikat tali silaturrahim yang akan menyatupadukan seluruh rakyat. Percayalah, ikatan kekeluargaan tidak formal yang terbentuk secara spontan dan santai melalui dunia sukan mampu mewujudkan nilai perpaduan yang jujur, ikhlas dan tulen.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










