PETALING JAYA: Vanke Malaysia menyumbang sebanyak RM10,000 kepada MERCY Malaysia melalui kempen ‘Senyum Malaysia’ yang mempromosikan semangat perpaduan rakyat Malaysia serta mengembalikan senyuman dan keceriaan di negara ini.
Inisiatif di sepanjang bulan kemerdekaan itu juga menjadi dorongan kepada rakyat Malaysia menyebarkan kesemangatan dan pemikiran positif melalui senyuman terutamanya kepada wira-wira barisan hadapan yang bekerja tanpa lelah dalam memerangi wabak Covid-19.
Hasilnya, seramai 1,000 peserta telah menyumbangkan gambar dengan simbol ‘Senyum Malaysia’ merangkumi rakan niaga, badan kerajaan, badan profesional, perunding, rakan media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah.
Dengan setiap gambar yang dikumpulkan, Vanke Malaysia akan menyumbang sebanyak RM10 bagi pihak peserta ke dalam Tabung Covid-19 MERCY Malaysia, sebagai satu daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.
Pengarah Urusan Vanke Malaysia, Lang Cong berkata, sumbangan tersebut adalah untuk membantu sistem kesihatan Malaysia dengan menyumbang bekalan dan kemudahan perubatan kepada kumpulan terpinggir di dalam negeri.
“Kami kagum kerana rakyat Malaysia telah bersatu padu dalam satu tujuan dan ini adalah pemandangan yang menggembirakan.
Kami juga amat berterima kasih kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dalam kempen ini,” katanya dalam majlis penyerahan replika cek, semalam.
Replika cek diserahkan kepada Naib Presiden II MERCY Malaysia, Datin Raja Riza Shazmin Raja Badrul Shah. – UTUSAN










