Para nabi insan mulia, maksum - Utusan Malaysia

Para nabi insan mulia, maksum

Umat Islam menunggu peluang untuk menziarahi makam Rasulullah SAW setiap kali selepas solat fardu di Masjid Nabawi, Madinah. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara keyakinan seorang muslim adalah para nabi dan rasul itu maksum iaitu terpelihara daripada melakukan dosa. Mereka adalah makhluk Allah yang paling mulia berbanding para malaikat, jin dan manusia yang lain.

Kisah hidup mereka menjadi inspirasi buat kita di dalam menjalani kehidupan yang penuh pancaroba ini.

Kisah-kisah mereka sangat berperanan di dalam membina rasa kehambaan yang sangat tinggi dalam meraih kasih dan cinta Allah Taala.

Walaupun begitu, kita akan menemui beberapa kisah para nabi dan rasul yang seakan-akan menunjukkan bahawa mereka telah melakukan maksiat kepada Allah SWT.

Antaranya, kisah Nabi Adam yang makan buah yang diharamkan oleh Allah ke atas baginda dan kisah Nabi Musa yang membunuh seorang penduduk Mesir.

Maka adakah ini bertentangan dengan konsep ‘para nabi terpelihara daripada sebarang dosa’?

Saya teringat apa yang dinyatakan oleh guru akidah kami; Fadhilat al-Sheikh Dr. Jamal bin Faruq al-Daqqaq al-Hasaniyy semasa menjelaskan berkenaan kemaksuman para nabi dan rasul pada 21 April 2010 di Ruwaq Maghoribah, Masjid al-Azhar al-Syarif di Kaherah.

Isi kandungan ucapan beliau secara antara lain adalah seperti berikut:

“Apabila kita menemui sebarang ayat al-Quran atau hadis Rasulullah SAW yang secara zahirnya seakan-akan menyalahkan tindakan para nabi dan para rasul bahkan seakan-akan menyatakan bahawa mereka melakukan dosa, maka wajib bagi kita semua untuk tidak meletakkan dalam hati bahawa ada para nabi dan para rasul yang telah melakukan dosa.

“Ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis seperti ini pada hakikatnya mempunyai makna yang lain yang sesuai dengan martabat seorang nabi dan rasul.

“Oleh itu rujuklah para ulama yang muktabar di dalam memahami makna sebenar ayat-ayat al-Quran atau hadis berkenaan.

“Sekiranya kita tidak berkesempatan mendapatkan penjelasan daripada para ulama, maka kita hendaklah membuang sama sekali sebarang makna yang terlintas di benak kita yang memperkecil serta merendahkan martabat para nabi dan para rasul yang begitu mulia dan begitu suci di sisi Allah SWT”.

PENDIRIAN ULAMA

Para ulama Islam mempunyai kepelbagaian pandangan di dalam perincian isu kemaksuman para nabi dan rasul. Sekalipun mereka seluruhnya sepakat yang para nabi dan rasul secara asasnya adalah terpelihara daripada dosa.

Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim atau nama lainnya al-Minhaj Fi Syarh Sohih Muslim Ibni al-Hajjaj 3/53 (Kitab al-Imam, Bab Ithbat al-Syafa’ah Wa Ikhroj al-Muwahhidin Min al-Nar) mendatangkan kesimpulan yang dibuat oleh al-Qadhi ‘Iyadh berkenaan dengan tajuk kemaksuman para nabi dan rasul seperti berikut:

Para ulama seluruhnya sepakat para nabi dan rasul setelah menerima wahyu tidak akan murtad.

Adapun sebelum mereka menerima wahyu daripada Allah, maka pandangan yang kuat menyatakan bahawa para nabi dan rasul sebelum menerima wahyu tidak pernah menyekutukan Allah SWT.

Sebaliknya mereka tetap meyakini keesaan Allah sekalipun mereka belum pernah lagi menerima wahyu.

Para ulama seluruhnya sepakat bahawa para nabi dan rasul tidak pernah melakukan dosa-dosa besar.

Para ulama sepakat bahawa para nabi dan rasul tidak pernah sama sekali melakukan dosa-dosa kecil yang mengaibkan dan menjatuhkan martabat seseorang.

Adapun dosa-dosa kecil yang tidak sampai ke tahap mengaibkan pelakunya dan tidak membawa kepada tercalar maruah pelakunya, maka kebanyakan ulama berpandangan bahawa tidak mustahil dari sudut akal dosa-dosa kecil tersebut dilakukan oleh para nabi dan rasul.

Pun begitu, pandangan yang benar dan dipegang oleh para ulama muktabar yang sangat teliti di dalam kajian mereka adalah para nabi dan rasul tidak akan melakukan sebarang dosa kecil.

Ini kerana kedudukan kenabian yang dianugerahkan kepada mereka oleh Allah SWT adalah sangat istimewa yang tidak akan memungkinkan mereka menderhakai Allah SWT secara sengaja.

Maka kesimpulan daripada perbahasan para ulama di atas berdasarkan pandangan yang kuat adalah para nabi dan rasul tidak akan sama sekali menyekutukan Allah.

Mereka juga tidak akan melakukan dosa besar dan tidak akan melakukan dosa-dosa kecil sama ada sebelum mereka dianugerahkan dengan wahyu atau sesudah ditabalkan sebagai seorang nabi atau rasul.

Berikut adalah beberapa nukilan para ulama yang menyatakan bahawa para nabi dan rasul tidak akan melakukan dosa sepanjang hidup mereka:

Badr al-Din al-‘Ayniyy (wafat pada 855 hijriah) berkata di dalam kitab beliau: ‘Umdah al-Qoriyy 9/18: “Mazhabku adalah sesungguhnya para nabi adalah terpelihara daripada dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil sebelum kenabian dan sesudahnya.

“Adapun yang berlaku kepada sebahagian mereka yang seakan-akan dosa kecil, tidak dikatakan pada perkara tersebut melainkan bahawa sesungguhnya nabi tersebut telah meninggalkan perbuatan yang paling baik dan (hanya) telah melakukan perbuatan yang baik.

Al-Imam Ibnu Hajar al-Haytamiyy (wafat pada 974 hijriah) berkata di dalam kitab beliau al-Fath al-Mubin Bi Syarh al-Arba’in halaman 161:

Beliau berkata: “Wajib menghormati seluruh mereka (iaitu para nabi dan rasul). Kita tidak akan membeza-bezakan antara salah seorang daripada kalangan mereka sebagaimana (tidak boleh membeza-bezakan) di dalam keimanan kepada mereka.

“Sesungguhnya Allah SWT telah menyucikan mereka daripada segala keaiban dan kekurangan. Maka mereka terpelihara daripada dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar sebelum kenabian dan sesudahnya berdasarkan (pandangan) yang terpilih bahkan ia adalah pandangan yang benar.

“Adapun apa yang ada di dalam kisah-kisah yang disebutkan oleh para ahli tafsir dan di dalam kitab-kitab (yang menceritakan) kisah-kisah para nabi (yang bercanggah dengan kemaksuman mereka) itu, maka kisah-kisah itu tidaklah boleh dipegang dan tidak perlu dipandang sekalipun para ulama yang menukilkan kisah-kisah tersebut adalah ulama yang hebat seperti al-Baghowiyy dan al-Wahidiyy.

“Adapun apa yang dinyatakan dalam al-Quran yang menyatakan berlakunya kemaksiatan pada (diri Nabi) Adam dan apa yang telah dinyatakan oleh al-Quran yang telah mencela beberapa orang nabi kerana beberapa tindakan yang dilakukan oleh mereka, itu hanyalah dari sudut seorang tuan berhak untuk berbicara dengan hambanya.

“Seorang tuan berhak berbicara dengan apa sahaja ucapan yang dia mahu dan sang tuan berhak untuk mencela hambanya kerana hambanya melakukan perbuatan yang bukan paling baik dengan celaan seperti celaan kepada orang lain kerana orang itu melakukan maksiat.

“Kami telah menyatakan sebelum ini bahawa mereka (para nabi dan rasul) adalah lebih utama daripada seluruh para malaikat dengan dalilnya (yang telah disebutkan sebelum ini).
“Maka apabila mereka telah melebihi (kedudukan para malaikat) yang terpelihara (daripada sebarang dosa), semestinya para nabi lebih patut untuk juga terpelihara (daripada sebarang dosa)”.

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×