Potasium dalam kiwi, menyamai buah pisang - Utusan Malaysia

Potasium dalam kiwi, menyamai buah pisang

Buah kiwi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kiwi sejenis buah berbulu halus, tinggi dengan zat penting seperti potasium, asid amino dan vitamin (A, C dan K) yang baik untuk kesihatan tubuh.

Tinggi manfaat dengan rasanya masam dan manisnya itu, memang sesuai dijadikan sajian kudapan, khususnya buat individu yang pentingkan sajian berkhasiat kerana tinggi kandungan potasium di dalamnya membantu dalam proses menurunkan tekanan darah. Potasium di dalamnya dikatakan sama dengan jumlah potasium dalam sebiji pisang. Malah pengambilan sebiji sehari boleh menurunkan tekanan darah.

Apabila ia membantu dalam menurunkan tekanan darah, bererti ia juga amat baik dalam memelihara kesihatan jantung.

Dalam situasi pandemik waktu ini, pengambilan buah berbiji hitam kecil ini dikatakan amat sesuai berikutan pengambilan berterusan menguatkan fungsi perlindungan daripada penyakit berikutan ia kaya dengan vitamin C zat galian dan anti-oksidan. Umum mengetahui vitamin C memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kekebalan badan.

Malah sebuah kajian mendedahkan pengambilan buah ini sejam sebelum tidur dapat memperbaiki mutu tidur, kerana kandungan kalsiumnya yang tinggi, serotonin dan antioksidan akan membuat tubuh menjadi lebih tenang. Ia ada benarnya kerana ketenangan diri dapat menghidari minda dan tubuh daripada tekanan.

Sweeki Kiwi dibawakan oleh Origine Group dan Khaishen Trading Sdn. Bhd memberikan peluang orang ramai menikmati kiwi sepanjang tahun. Ia diimport dari Chile antara Mei hingga November manakala dari Disember hingga April, kiwi dari Itali pula di import.

Origine Group adalah pengusaha kedua terbesar dalam penghasilan buah kiwi dengan jumlah hasil melebihi 100,000 tan setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif, Khaishen Trading Sdn. Bhd, Jeffrey Tan, berkata kiwi dibawakan memiliki khasiat tinggi yang memberi manfaat kepada ramai orang.

“Kepelbagaian cara menikmatinya, menjadikan buah ini sebagai pilihan ramai dalam diet harian,” katanya. Khaishen Trading Sdn. Bhd. adalah pengimport eksklusif dan pengedar Sweeki Kiwi sejak tiga tahun lalu di negara ini.

KIWI RANUM:
* Ada tiga jenis iaitu hijau, keemasan dan organik.

*Untuk mengetahui sama ada buah kiwi sudah masak dan sesuai di makan, tekan sedikit pada bahagian tangkainya. Kalau masuk ke dalam, bermakna ia sedang sedap di nikmati.

*Buah yang keras menandakan ia masih muda dan barangkali kurang enak dinikmati. Jangan terus makan, sebaliknya letakkan ia beberapa hari pada suhu bilik dan tunggu hingga ia sesuai dimakan.

*Kalau tidak sabar untuk ia ranum cepat, letakkan kiwi dalam beg kertas beserta buah epal atau pisang. Tindakbalas buah ini, menghasilkan gas ethylene mempercepatkan proses kematangan buah.

KHASIAT:
* Sebiji kiwi memiliki:

– Air 84.6 gram (g)
– Kalori 48 kcal
– Fiber 2.2 g
– Potasium 400 miligram (mg)
– Vitamin C 85 mg
– Gula 9 g

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×