Awas umpan percutian murah ke Langkawi - Utusan Malaysia

Awas umpan percutian murah ke Langkawi

PELANCONGAN domestik semakin meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penginapan empat orang selama tiga hari dua malam termasuk bilik, kereta sewa dan perkhidmatan bot pada harga RM280 adalah antara pakej yang ditawarkan sindiket agensi pelancongan palsu yang muncul memperdaya individu ingin bercuti ke pulau peranginan itu.

Sindiket ini dikesan aktif mempromosi tawaran tersebut di dalam Facebook yang bukan sahaja murah tetapi menawarkan perkhidmatan yang dianggap tidak munasabah sejak program gelembung pelancongan Langkawi dibuka kepada orang ramai mulai 16 September lalu.

Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, pemilik agensi pelancongan, Sea Splash Travel Sdn. Bhd., Azelan Azeman berkata, antara pakej yang ditawarkan sindiket itu ialah bilik, kereta sewa, perkhidmatan bot dan menaiki ‘banana boat’ pada harga RM280 untuk empat orang selama tiga hari dua malam.

Katanya, sindiket akan meminta wang deposit serendah RM50 daripada pelanggan sebelum beberapa hari selepas itu meminta bayaran penuh dengan alasan terlalu banyak permintaan.

“Sindiket turut menggunakan nama-nama hotel yang ada di Pulau Langkawi bagi mendapat keyakinan mangsa,” kata beliau ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Perlis di sini kelmarin.

Kata Azelan, ada pelanggan dari Perak yang terperdaya dengan pakej tersebut sebelum pelanggan itu menempah pakej ke Langkawi dengan agensinya.

“Bila mereka guna nama-nama hotel ini, saya terus menghubungi pemilik hotel tersebut sebab sebagai agensi pelancongan kami saling mengenali dan diketahui bahawa pakej tersebut sebenarnya tidak wujud. Malah, kami sendiri ada menyamar kononnya mahu mengambil pakej. Mereka yang buat ’scam’ ini kerja ada shift untuk berurusan dengan lain-lain orang.

“Bila kami beritahu mengetahui mengenai kegiatan mereka, mereka sampai mengugut untuk hantar santau kepada kami,” ceritanya.

Azelan yang sudah 16 tahun dalam industri pelancongan tersebut berharap pihak berkuasa segera membanteras kes-kes penipuan tersebut kerana bimbang sudah ramai pelancong yang terkena.

Sementara itu, Polis negeri akan memantau aktiviti sindiket agensi pelancongan palsu yang dikatakan ‘aktif’ sejak bermulanya program gelembung pelancongan Langkawi dibuka kepada orang ramai mulai 16 September lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, bagaimanapun, pihaknya masih belum menerima laporan mengenai perkara itu dan akan mengambil tindakan jika ada laporan.

Dalam masa sama, Surina juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah tertipu jika ada sesuatu tawaran murah atau tidak munasabah mengenai pakej pelancongan ini.

“Kita mengambil serius isu ini dan akan mengambil tindakan jika menerima laporan mengenai kes penipuan ini.

“Setakat ini, di Perlis tidak ada lagi kes membabitkan penipuan pakej pelancongan ini namun kita tidak memandang mudah isu tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Surina, secara logiknya jika sesuatu barang atau pakej pelancongan itu murah pasti ada sesuatu yang tidak kena dan orang ramai perlu bijak menilainya agar tidak mudah tertipu.

“Sifat manusia juga kadang-kadang mudah terpengaruh dengan sesuatu yang murah ini dan akhirnya tertipu. Kita juga sentiasa memberi pemahaman serta kesedaran mengenai perkara tersebut termasuk dengan bantuan pihak masjid melalui khutbah-khutbah serta ceramah.

“Kita sentiasa mengetatkan pemantauan membabitkan kes sindiket penipuan pelancongan

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff menasihatkan orang ramai berhati-hati dan tidak terlalu ghairah dengan pakej pelancongan murah sampai tidak masuk akal.

“Carilah pakej yang benar-benar menyakinkan dan agensi yang boleh dipercayai. Janganlah kerana mahu jimat duit tetapi terkena dengan ‘scam’ begini.

“Sekiranya ada yang sudah terkena dengan scam ini, laporkanlah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia. Mereka juga boleh membuat aduan pada Cake di Facebook kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×