‘Saya akan pulangkan semua gaji Penasihat Khas’ - Utusan Malaysia

‘Saya akan pulangkan semua gaji Penasihat Khas’

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya mahu me­mulangkan keseluruhan RM27,000 itu kepada tabung Covid-19.”

Itu kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berjanji memulangkan semua ga­ji yang diterima sewaktu bertugas sebagai Penasihat Khas kepada be­kas Perdana Menteri, buat tabung Covid-19.

Tidak berkecil hati dan marah dengan pihak yang mempersoalkan pendapatannya itu, beliau malah bersetuju perkara itu dibangkitkan di Parlimen ba­ru-baru ini demi memastikan ketelusan dalam pembayaran ga­ji anggota kerajaan.

Namun, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau sedikit terkilan sewaktu itu kerana tidak diberi ruang menjelaskan perkara sebenar, iaitu hasratnya menyumbangkan gaji tersebut kepada tabung bencana Covid-19.

Ini kerana, sewaktu beliau menghantar surat kepada Ke­tua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali agar separuh gajinya disalurkan kepada tabung Covid-19, pada hari sama (16 Ogos), kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang.
“Saya bersetuju dengan mereka, kerana saya belum berikan perkhidmatan yang banyak lagi, tetapi menerima pula gaji RM27,000 campur lagi prorata, mungkin lebih lagi.

“Saya berhasrat memulangkan keseluruhan penerimaan itu kepada tabung Covid-19.
“Minta maaf, kepada semua yang mengata saya itu, saya ampunkan. Andai saya tersilap cakap, saya mohon ampun.
“Mereka tak salah, dan saya bersetuju dengan mereka yang bangkitkan perkara tersebut,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pada 5 Ogos lalu, Ahmad Faizal dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Muhyiddin namun cuma bertahan 11 hari. Perkara itu kemudian dibangkitkan dalam sidang Parlimen oleh Ahli Parlimen Pembangkang, Lim Lip Eng yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob me­nyatakan jumlah gaji diterima Ahmad Faizal.

Justeru, Ahmad Faizal me­mohon maaf susulan perkara yang dibangkitkan itu, dan berharap agar perkara tersebut dijadikan landasan untuk semua pihak bekerjasama memba­ngunkan negara.

Berhubung ‘komen nakal’ netizen mengenai beliau yang menikmati hidangan mi kari di pejabatnya di Putrajaya sewaktu berkhidmat sebagai Penasihat Khas, Ahmad Faizal berkata, beliau tidak kisah dengan komen-komen berkenaan.

Bagaimanapun, beliau me­ngakui sebagai orang kampung, beliau khuatir jika netizen mempersoalkan prestasi kerjanya, berbanding soal karakternya yang bersahaja.

“Saya tak buat salah. Tetapi saya fikir, kalau netizen cakap pasal prestasi kerja saya, yang itu saya risau.
“Tetapi kalau dia cakap pasal kelakuan saya, kelemahan saya tentang perkara yang tak me­rugikan negara, saya tidak kisah. Saya ini orang kampung,” jelas Ahmad Faizal.- MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×