Jadilah netizen bertamadun - Utusan Malaysia

Jadilah netizen bertamadun

KEYBOARD warrior sanggup memfitnah, memaki hamun, mengaibkan atau menggunakan pelbagai cara asalkan musuh politik jatuh. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, dunia melihat keadaan netizen Malaysia atau mungkin dikenali sebagai Tentera Bawang Malaysia menyerang akaun Facebook Kedutaan Ukraine kerana pingat emas atlet Paralimpik Malaysia, Zayid Zolkifle ditarik balik. Isu ini dikaitkan dengan atlet paralimpik Ukraine, Maksym Koval sebagai penyebab.

Serangan bertubi-tubi dibuat tanpa usul periksa, maki hamun dan pelbagai lagi. Akaun peribadi media sosial atlet tersebut turut diserang. Kecacatannya dihina, fizikalnya turut dikecam sehingga Koval terpaksa menutup akaun tersebut dan membuka akaun media sosial yang baharu.

Namun begitu, akaun yang baharu juga terus diserang bertubi-tubi dan akhirnya Koval terpaksa memohon maaf walaupun pada hakikatnya dia tidak bersalah dalam hal ini.

Akibat daripada peristiwa itu, Majlis Paralimpik Dunia mengeluarkan kenyataan bahawa Ukraine tidak pernah membuat bantahan. Atlet Malaysia yang dikatakan lambat untuk hadir di call room seperti peraturan yang telah ditetapkan. Namun, atlet Malaysia masih dibenarkan bertanding atas dasar ihsan sementara menantikan keputusan rayuan.

Budaya maki hamun di alam maya kini seolah-olah menjadi trend di Malaysia. Mari kita merenung kembali situasi budaya maki hamun di media sosial ini bermula.

Situasi ini bermula apabila lahirnya keyboard warrior parti politik. Mereka biasanya diupah oleh mana-mana parti politik atau ada yang secara sukarela. Mereka menggunakan nama samaran tetapi terdapat juga yang menggunakan nama sebenar. Tujuan mereka hanyalah satu, iaitu untuk menjatuhkan musuh politik.

Jadi, untuk menjatuhkan musuh politik, mereka sanggup untuk terus menerus memfitnah, memaki hamun, mengaibkan atau menggunakan pelbagai cara asalkan musuh politik itu jatuh. Kisah musuh politik mereka pada 1950-an hingga 1960-an misalnya terus digali semula.

Soal dosa, pahala, halal dan haram dilupakan terus asalkan orang yang menjadi sasaran mereka berjaya dijatuhkan. Rentetan itu, orang yang kena fitnah atau kena maki tadi akan bertindak balas dengan menyerang mereka semula di media sosial. Lama kelamaan trend memfitnah serta maki hamun ini mempengaruhi golongan tua dan muda yang akhirnya menjadi trend di Malaysia. Maka terhakislah sedikit demi sedikit jati diri Melayu Islam yang mementingkan adab, sopan dan santun serta dosa dan pahala.

Justeru, terdapat beberapa maklumat yang saya ingin kongsikan berkaitan netizen di media sosial. Bagi pengguna biasa, mereka akan menggunakan nama sebenar atau nama panggilan sendiri. Tujuannya untuk merapatkan silaturahim antara saudara mara serta sahabat handai agar sentiasa dapat mengetahui perkembangan di alam maya.

Sebaliknya, laskar siber atau cybertrooper tidak menggunakan nama sebenar.

Dalam Oxford Global Disinformation Report 2020 melaporkan Malaysia antara negara tertinggi di dunia yang mempunyai akaun palsu di media sosial. Apakah tujuan akaun palsu ini diaktifkan? Tujuannya untuk menyerang sasaran mereka.

Cybertroopers menurut Cambridge Analytica merupakan penggunaan data besar untuk menggodam masyarakat, mengedarkan maklumat yang salah atau maklumat yang berat sebelah sehingga mampu memanipulasi pengundian keputusan pilihan raya sesebuah negara.

Tahukah anda, istilah cybertroopers atau tentera siber ini dikatakan berasal dari Malaysia dan kini meluas digunakan di seluruh dunia.

Tanpa disedari, mereka ini sebenarnya merupakan satu ancaman besar kepada sesebuah negara. Mereka sedang mengancam keamanan negara bermula di alam maya.

Mereka terdiri daripada blogger, tweeter atau medium media sosial lain. Mereka menggunakan media sosial untuk memberi komen-komen dalam talian yang cenderung ke arah menyesatkan pembaca dan ini akhirnya akan memberi kesan yang serius bagi kestabilan sesebuah negara.

HERO

Komen-komen yang diberi sudah semestinya berpihak kepada yang mereka sokong walaupun sudah jelas yang disokong itu bersalah. Lama kelaman yang bersalah dianggap sebagai hero. Yang benar itu dianggap bersalah sekiranya tidak mempunyai banyak komen yang menyokongnya di alam maya.

Sebagai contoh, sekiranya sesuatu isu di dalam negara timbul, maka berpuluh-puluh ribu ‘pakar’ yang sebenarnya bukan pakar pun akan memberi komen-komen ke arah menyesatkan. Katakanlah isu berkaitan dengan keselamatan negara maka kita akan terbaca di media sosial pelbagai komen serta maki hamun yang dilontarkan. Kadang kala saya terpikir juga, adakah kita kini dalam proses untuk kembali kepada undang-undang rimba di alam maya?

Menurut laman analisis Comparitech, Malaysia berada pada kedudukan keenam daripada 28 buah negara dalam buli siber di peringkat global pada 2018. Kedudukan itu berdasarkan kepada peratusan buli siber yang dilaporkan oleh ibu bapa yang berlaku kepada anak-anak mereka. Malaysia merekodkan sebanyak 23 peratus. Kedudukan ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara kedua paling banyak merekodkan kes buli siber di Asia.

Amat malang bagi nasib anak-anak yang berada di era digital. Jika sebelum ini kita ada terbaca di dada akhbar bahawa kanak-kanak terdedah dengan isu seperti rogol, penderaan kanak-kanak, memperdagangkan kanak-kanak, menyiksa kanak-kanak tetapi kini kanak-kanak berdepan pula dengan buli siber.

Begitukah keperibadian kita sebagai orang Islam yang telah diajar dengan adab, dosa dan pahala? Begitukah kita sebagai seorang Melayu yang telah diajar oleh ibu bapa kita tentang adab, sopan santun dan berbudi bahasa?

Kebebasan bersuara atau memberi pandangan di media sosial bukanlah bermakna kita bebas untuk melakukan apa-apa sahaja tanpa batas sempadan tetapi kita terikat dengan Akta Kominikasi dan Multimedia 1998.

Jadilah netizen yang bertamadun. Kita boleh berbeza pandangan dengan orang lain tetapi utarakanlah pandangan kita secara berhemah. Janganlah kita terpengaruh dengan bisikan syaitan supaya kita membodohkan orang lain, mengaibkan orang, menghina, memaki hamun sehingga ada yang sanggup memburukkan keturunan orang lain.

Ingatlah bahawa dunia ini hanyalah kehidupan yang sementara. “…sesungguhnya janji Allah SWT itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan syaitan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah SWT.” (Surah Luqman:33)

DR. Nor Azaruddin Husni Nuruddin ialah Felow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×