1,001 nilai khazanah gua batu kapur - Utusan Malaysia

1,001 nilai khazanah gua batu kapur

STRUKTUR di dalam Gua Kurung Batang pernah merekodkan penemuan kalam semah atau votive tablet yang mempunyai imej avaloketisvara dan bodhisattva serta ayat-ayat suci Buddha. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHAD lalu, saya bersama jurugambar, Shahir Noordin, berpeluang menelusuri serta meninjau sendiri beberapa buah gua batu kapur di Perlis yang mempunyai nilai arkeologi purba dan khazanah sejarah cukup bernilai.

Kami dibawa oleh Perlis Nature and Wildlife (PNW) diketuai pengasasnya, Syamil Abd. Rahman di Gua Wang Ulu, Gua Wang Belimbing dan Gua Kurung Batang.

Tiga gua tersebut antara sebahagian daripada puluhan gua yang mempunyai nilai sejarah dan keunikan tersendiri di mana Gua Wang Ulu antaranya pernah mempunyai sejarah perlombongan bijih timah, manakala Gua Kurung Batang pernah merekodkan penemuan kalam semah atau votive tablet yang mempunyai imej avaloketisvara dan bodhisattva serta ayat-ayat suci Buddha.

Lazimnya, jika dikaitkan dengan aktiviti perlombongan bijih timah di Perlis, antara kawasan yang terkenal satu ketika dahulu adalah di Kaki Bukit atau Gua Kelam. Namun ramai yang tidak tahu, Gua Wang Ulu yang merupakan gua bijih paling hujung di selatan Banjaran Nakawan sepanjang 36 kilometer itu adalah antara lokasi aktiviti perlombongan bijih timah berkualiti tinggi pada era 1960-an hingga 1970-an.

Menariknya, kami berpeluang buat pertama kalinya menelesuri laluan tertutup dan dipenuhi air di gua dengan purata laluan seluas satu meter dan panjang anggaran 200 meter. Sepanjang 30 minit tinjauan tersebut, kami menemukan pam air dan kotak fius dipercayai antara peralatan yang digunakan untuk aktiviti melombong bijih timah.

Tahniah diucapkan kepada sekumpulan empat anak muda PNW, apabila inisiatif sendiri melalui projek Perca Kain yang dilakukan mereka sejak setahun lalu berjaya menemukan banyak lagi gua batu kapur yang selama ini tidak diketahui dan berisiko menjadi ancaman pencerobohan atau dimusnahkan atas tujuan pembangunan.

PNW yang disertai Ahmad Fahmi Mohd. Radzi, 25; Mohamad Shafiq Useng, 23, dan Fatimah Abd. Razak, 29, merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar paling aktif di negeri ini.

Mereka yang aktif sejak 2016 banyak melakukan kajian mengenai hidupan liar terutamanya beruk kentoi, promosi pelancongan negeri dan terbaharu merekodkan kewujudan gua-gua batu kapur.

Kumpulan tersebut melakukan kajian menggunakan dana sendiri selain menuntut komitmen cukup tinggi khususnya dari segi masa, tenaga dan kesukaran mengkaji serta mengenal pasti kewujudan gua-gua batu kapur serta bekas lombong bijih timah di sekitar negeri ini.

Untuk projek tersebut, mereka melakukan kajian dari segi merekod kewujudan, pemetaan, nilai sejarah dan penemuan pelbagai spesies flora dan fauna di gua-gua tersebut.

PRASEJARAH

Malah sepanjang tempoh kajian tersebut, mereka turut mengenal pasti kira-kira 25 lokasi gua batu kapur yang menjadi bekas perlombongan bijih timah melalui catatan sejarah. Gua-batu kapur tersebut juga kaya dengan tinggalan arkeologi serta tamadun manusia dari zaman prasejarah.

Uniknya, kerja-kerja melombong bijih timah di Perlis dilakukan di dalam gua batu kapur yang mempunyai sistem jaringan sungai bawah tanah yang dipam keluar bersama serpihan mineral atau tanah.

Hasil kajian tersebut, mereka juga menganggarkan kira-kira 350 hingga 400 gua masih wujud di Perlis merangkumi dua jenis formasi pembentukan sama ada daripada batuan kapur Setul atau Chuping.

Semua gua berkenaan berusia antara 250 hingga 499 juta tahun yang perlu direkodkan bagi pemeliharaan dan pemuliharaan.

Semangat dan kesungguhan empat anak muda ini wajar diberikan perhatian dan sokongan khususnya daripada kerajaan negeri kerana secara tidak langsung mereka banyak memainkan peranan dalam memberi kesedaran serta pengetahuan kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga warisan-warisan bersejarah terutama gua batu kapur.

Meskipun Perlis hanya berkeluasan sekitar 815 kilometer persegi dengan penduduk kira-kira 200,000 orang, ia menyimpan 1,001 khazanah alam yang cukup berharga setanding dengan usia batuan ratusan juta tahun itu.

Khazanah alam seperti gua-gua batu kapur tersebut perlu dipelihara serta dipulihara dengan salah satu langkah yang wajar diambil ialah mewartakan kawasan-kawasan itu sebagai tapak warisan negeri atau geotapak.

Ini juga antara perkara yang selalu diperjuangkan oleh PNW dengan harapan diberikan perhatian oleh kerajaan negeri agar khazanah berharga itu dapat dilindungi daripada tangan-tangan manusia tidak bertanggungjawab.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×