Denda RM10,000, penjara masuk hutan simpanan kekal tanpa permit - Utusan Malaysia

Denda RM10,000, penjara masuk hutan simpanan kekal tanpa permit

ORANG ramai melakukan aktiviti riadah di Taman Eko-Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini. Meskipun MKN membenarkan aktiviti beriadah, namun ia masih tidak dibenarkan di dalam hutan simpanan kekal. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Awas kepada golongan pendaki dan yang suka aktiviti riadah serta rekreasi dalam hutan simpanan kekal (HSK).

Ini kerana di bawah Seksyen 47(4) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), hukuman denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya menanti mana-mana individu yang memasuki HSK tanpa permit atau kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung, Datuk Mohd. Ridza Awang berkata, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), segala aktiviti di dalam hutan belum dibenarkan kecuali Negeri Sembilan yang sudah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, meskipun Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah membenarkan aktiviti riadah, namun ia masih tidak dibenarkan di dalam HSK.

“Sekarang banyak pertanyaan daripada orang awam diterima oleh pihak kami terutama di Selangor berhubung aktiviti riadah dan rekreasi di dalam HSK.

“Aktiviti riadah dan rekreasi dalam HSK masih ditutup kerana ia masih dalam senarai aktiviti yang tidak dibenarkan bagi Fasa 2 PPN.

“Akta kita tidak benarkan memasuki hutan tertutup tanpa permit. Sesiapa masuk memang menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kebelakangan ini tular dalam media sosial mengenai aktiviti sosial dan bersantai termasuk pendakian secara beramai-ramai terutama di HSK di sekitar di Lembah Klang pada hujung minggu.

Aktiviti sedemikian dibimbangi mencetuskan kes sporadik dalam kelangan komuniti yang menyebabkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam masa terdekat.

Mohd. Ridza memberitahu, tujuh remaja lelaki yang tersesat ketika melakukan aktiviti riadah di Jeram Gunung Hitam, Hulu Langat pada 5 September lalu juga tidak mempunyai permit memasuki HSK di situ.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menceroboh HSK bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Saya sarankan pendaki agar dapatkan permit memasuki HSK terlebih dahulu. Kalau tak pasti, elok bertanya dengan Pejabat Perhutanan Daerah di kawasan masing-masing.

“Kadar permit adalah antara RM5 hingga RM10 bagi setiap orang bergantung kepada negeri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×