DUNIA siber tanpa batasan membuka satu ruang besar bagi seseorang melontarkan pandangan, ketidakpuasan, rasa marah, sedih, gembira dan sebagainya tanpa mempedulikan perasaan pengguna media lain.
Lihat sahaja bagaimana netizen Malaysia melahirkan rasa tidak puas hati dan bantahan terhadap Ukraine setelah mereka memprotes kemenangan pingat emas yang dimenangi atlet Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.
Serangan bertubi-tubi di Twitter, Facebook mahupun Instagram itu bagi mendesak pingat emas dipulangkan semula kepada Muhammad Ziyad. Pada ketika itu, laman Facebook Kedutaan Ukraine di Malaysia turut diserang sehingga memaksa mereka menutup ruangan komen.
Bukan itu sahaja, rasa marah dan tidak puas hati rakyat Malaysia turut menyebabkan akaun media sosial pemenang pingat emas dari Ukraine, Maksym Koval diserang secara keterlaluan sehingga memaksa atlet itu tampil memohon maaf atas apa yang berlaku. Netizen dilihat semakin kurang ajar apabila sanggup menghina fizikal atlet tersebut. Di manakah mereka meletakkan akal dan rasa empati semasa memuat naik status sedemikian?
Perkara sama bukan sahaja berlaku semasa temasya sukan berkenaan malah ia sudah menjadi kebiasaan selama bertahun-tahun kerana turut melibatkan ahli politik, artis, instafamous mahupun rakyat biasa apabila memuat naik status atau gambar yang mampu mencetus amarah orang ramai.
Dengan apa yang sudah berlaku, maka tidak mustahil Malaysia berada di tangga kedua paling tinggi bagi jenayah buli siber di Asia selepas India. Statistik ini diperoleh menerusi penyelidikan terkini pusat kajian teknologi antarabangsa, Comparitech untuk menilai kadar buli siber dalam kalangan penduduk dunia.
Berdasarkan statistik itu, jelas ia memalukan Malaysia yang terkenal dengan nilai ketimuran yang tinggi, malah menggambarkan emosi dan sikap individu serta menjadi petunjuk awal terhadap nilai masyarakat moden negara ini.
TENTERA BAWANG
Golongan yang dikenali sebagai keyboard warrior atau tentera bawang ini tiada batas ketika menulis di laman sosial. Mereka beranggapan tulisan mereka sahaja yang betul walaupun secara terang-terangan menggunakan kata-kata kesat, melampau dan menyinggung perasaan pihak lain. Tanpa disedari, sebenarnya mereka telah membuli seseorang secara maya. Dan kesan membuli dalam alam siber adalah lebih besar memandangkan platform itu boleh dilihat oleh orang ramai di serata dunia.
Tidak dinafikan dalam sesetengah perkara, kuasa netizen memainkan peranan penting seperti mendesak Israel memberhentikan serangan terhadap Palestin dan mencadangkan pandangan dalam pentadbiran negara seperti mendesak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat jumlah jangkitan Covid-19 yang meningkat. Ia bagus kerana suara netizen didengar oleh pemimpin negara, namun ia perlu ada had dan batasnya.
JAGA ADAB
Walau semoden mana pun seseorang, walau sekaya mana pun anda, walau setampan dan secantik mana pun tetapi ia tetap ‘kosong’ sekiranya tiada adab ketika berkomunikasi.
Adab dan nilai murni dalam berinteraksi semakin pupus ditelan zaman moden yang serba-serbi canggih. Semakin banyak dan berani rakyat Malaysia menggunakan kata-kata kesat dan maki hamun di media sosial. Mereka menganggap ia sebagai satu bentuk hiburan sehingga hilang rasa malu.
Apabila komunikasi atau interaksi tidak dilakukan secara berhemah, tidak mustahil akan berlakunya tikam lidah hingga berakhir dengan pergaduhan, lebih-lebih lagi jika kenyataan-kenyataan yang dimuat naik cenderung menyemarakkan rasa kebencian dan fitnah.
Bukankah lebih afdal jika kita membina hubungan yang baik di platform media sosial dan memilih untuk tidak membuat kenyataan yang bercanggah dengan adab dan tatasusila kita sebagai rakyat Malaysia? Ia sekali gus dapat memupuk Keluarga Malaysia yang hidup secara aman dan harmoni.
‘Sekiranya tiada benda yang baik untuk ditutur, adalah jauh lebih baik berdiam.’ Simpan kata-kata ini dan inilah yang perlu dilakukan oleh seseorang sekiranya mahu memuat naik status atau membalas komen di media sosial. Dalam apa jua keadaan pun, fikirkan kesan jangka pendek dan panjang akibat penulisan kita di media sosial.
Jangan sampai menyesal di kemudian hari.
KEMBALI PADA FITRAH
Biarlah orang mengata kita ini kuno atau ketinggalan zaman hanya dek masih mengamal dan menjaga budi bahasa ketika bergaul di media sosial. Sekurang-kurangnya kita dapat mengharmonikan kehidupan.
Walaupun kita bebas menyatakan ekspresi dan pendapat, namun ia perlu dilakukan dengan jujur berdasarkan bukti, fakta serta menggunakan gaya penulisan berhemah tanpa bahasa kesat dan tidak menyebarkan fitnah, berita palsu mahupun kebencian.
Pada masa sama, belajarlah menghormati hak orang lain. Kita tidak perlu terus mempertikaikan status atau gambar yang dimuat naik oleh kenalan di laman sosial.
Sekiranya anda kerap kali terkesan dengan apa yang dimuat naik oleh mereka, adalah lebih baik memilih untuk unfriend. Mudah, bukan? Anda tidak sakit hati dan rakan anda juga bebas menggunakan platform media sosial mengikut cara mereka.










