`Gabung-gabung juga, pentas pulun seorang’ - Utusan Malaysia

`Gabung-gabung juga, pentas pulun seorang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di pasar malam Sinsuran atau lebih popular dengan gelaran pasar Filipina di Kota Kinabalu, orang luar `jaga-jaga’ kalau mahu makan ikan bakar.

Harganya mahal kalau pilih ikan mentah yang ingin dimasak ikut citarasa sendiri. Tapi kalau beli ikan siap bakar di gerai jual `sayap’ (kepak) ayam madu bakar dekat situ juga, seekor ikan putih bakar cuma RM15.

Beli ikan bakar situ dan makan di warung `goreng-goreng semua ada ’ bersebelahan, pesan nasi putih, jimat duit sikit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Oh! nak makan pun kena ada strategi. Ya mestilah hidup musim Covid-19 hari ini.

Seakan-akan strategi taktikal parti-parti bertanding di Sabah pula kala ini, khususnya yang digerakkkan Parti Warisan Sabah. Sudah masuk hari ke-10 minggu kempen pilihan raya negeri pun, presidennya Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal belum dilihat berkongsi pentas dengan mana-mana parti sekutunya dalam Warisan Plus dari Semenanjung.

Padahal lawannya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersilih ganti saling bergandingan kalangan pemimpin Sabah dan Kuala Lumpur.

Berdasarkan jadual, dalam sehari, lebih tujuh kali Mohd. Shafie berseorangan jadi host atas pentas di seluruh Sabah.

Enggan berkongsi pentas inipun dikatakan relevan dengan prinsip perjuangan Warisan yang saban hari, setiap jam `membantai’ Kuala Lumpur serta menempelak pemimpin parti-parti Semenanjung yang datang berkempen di bumi Sabah untuk memenangkan GRS.

Yang hairannya, anggota gabungan Warisan Plus disertai juga DAP, PKR, Amanah selain Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO). Ketiga-tiganya parti Semenanjung berkempen diam-diam.

Berbanding PKR, sekutu Warisan iaitu DAP lebih cerdik. Tujuh kerusi ditandingi DAP memakai logo Warisan. Kata setiausaha agungnya, Lim Guan Eng, pertaruhan politik terlalu tinggi.

“Kita tidak boleh kalah dalam PRN Sabah. Hanya pakatan yang bersatu dapat memperoleh kemenangan besar bagi kita dan sekutu dalam Warisan Plus,” katanya.

Di satu dua kawasan DUN di Sabah beberapa hari lepas, Guan Eng dan rakannya, Gobind Singh Deo cukup agresif berkempen di merata medan selera. Isu yang mereka lagukan “jangan pilih YB lompat. Kasi `patah kaki’ itu katak.”

Maka tidak pelik jugalah setakat berbaki empat hari lagi kempen ini tiada kehadiran pemimpin utama DAP mengiringi Mohd. Shafie. Malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak muncul di pentas kempen Warisan.

Kalau adapun kelibat mereka dari Semenanjung bersama presiden Warisan ini ada lah seorang dua. Yang kelihatan Datuk Marzuki Yahya, bekas Timbalan Menteri Luar duduk bersebelahan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sekadar melihat `pencak silat’ Mohd. Shafie di sebuah sekolah Cina di Tuaran baru-baru ini.

Tiada juga pun kelihatan pengasas Parti Pejuang Tanahair, Tun Dr. Mahathir Mohamad sepanjang kempen Warisan berjalan. Tapi pagi 12 September lepas sempat Mohd. Shafie main telefon hubungi Dr. Mahathir bertanya khabar dari Semporna sebelum ke pusat penamaan calon.

Tapi nama untuk berkongsi pentas dengan sekutu-sekutu dari Semenanjung setakat ini minta maaflah.

Itu strategi Warisan. Barangkali sebab itukah Guan Eng menyuarakan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mampu, beri peluang kepada Mohd. Shafie sebagai calon Perdana Menteri. Dan penghormatan sewajarnya kepada PM pertama dari Malaysia Timur.

Menjadikan `Kuala Lumpur’ atas `modal’ pertahan hak-hak orang Sabah, memperlecehkan kelibat pemimpin politik Semenanjung membantu kempen GRS, tapi apa pula halnya bila mana Warisan diperkuatkan parti-parti KL untuk berlawan dengan Perikatan Nasional, BN dan PBS? – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN