fbpx

Machiavelli ‘tatap’ kuasai kempen

Pemandangan kehidupan di Kampung Tanjung Aru Lama di Kota Kinabalu pada 21 Septembr 2020. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

POLITIK adalah seni pengurusan angka, persepsi dan permainan propaganda.

Dalam konteks memahami strategi kempen parti-parti bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, masing-masing parti berkomunikasi langsung dalam bentuk bersemuka.

Dalam konteks ini, umum maklum dua pemimpin utama Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Parti Warisan diketuai Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mempunyai keistimewaan tersendiri. Khususnya Mohd. Shafie dari segi penguasaan bahasa Bajau, hubungan awam serta ‘pengurusan pentas yang bijak’ (lebih-lebih lagi Mohd. Shafie).

Mesej hendak disampaikan adalah kepada rakyat. Dan bukannya kepada media dan kepada penonton televisyen yang terbatas.

Itu sebabnya dia menjawab “apa yang rakyat mahu dengar”.

Dalam ceramahnya, ‘Kuala Lumpur’ sering ‘dikambing hitam’ atas isu ‘hak-hak Sabah’. Strateginya mengena dengan sebahagian pengundi merasai kecewa atau marah kepada pemimpin Pusat.

Begitulah segelintir pemimpin memberikan janji dan harapan yang dilihat ‘macam praktikal dan logik’. Memberi harapan kepada rakyat dengan pelbagai janji antaranya bayaran Covid-19. Walhal, ada mengatakan bantuan tak sampai hingga hari ini di Sabah.

Demikianlah bijak pandai selalu berkata, sejarah banyak mengajar manusia.

Tetapi manusia biasanya mengulangi perilaku sejarah seperti yang disebut dalam peribahasa Inggeris, “History repeats itself”.

Salahkah Machiavelli, pemikir politik Itali abad ke-16?

Mengikut Machiavelli, segalanya harus diperalat termasuk agama untuk menjayakan matlamat menghalalkan cara. Machiavelli mengambil contoh dari Numa Pompilius yang memimpin Rom dengan menjinakkan sebuah masyarakat yang ganas dengan cara yang harmoni.

Pompilius memakai agama sebagai ‘tunjang paling perlu bagi setiap masyarakat yang beradab’.

Namun kepada Machiavelli, dorongan pertamanya bukanlah agama. Tidak juga untuk mendekatkan diri kepada kebaikan, melainkan semata-mata dorongan politik. Nilai-nilai yang dianjurkan Tuhan katanya tidak penting.

Tidak hairanlah bila pengagum Machiavelli menyebutnya sebagai irrisor et atheos: “seorang ateis yang membawa satira dalam falsafahnya tentang kuasa”.

Masihkah politik Malaysia hari ini menyaksikan saranan Machiavelli, dengan ‘insiden 1987, 1998, 2008, 2018’ diulangi dalam 2020?

Suatu ketika Mahatma Gandhi mengetengahkan tindak balas kepada Machiavelli yang ‘matlamat dan kaedah adalah perkara sama’.

Gandhi percaya jika seseorang itu menggunakan kaedah salah untuk mencapai matlamat, ia akan mencetuskan tindak balas salah. Jika guna kekerasan, maka kekerasan akan berulang.

Justeru konon Machiavelli adalah pencetus kepada ‘gagasan sains politik moden’ tidak boleh dipakai umat manusia.

Begitupun Machiavelli tidak salah. Dia membongkar apa yang nyata dalam kehidupan politik bahawa keunggulan ditentukan tafsirannya oleh siapa di dunia ini menang atau ingin menang.

Cuma kita masih boleh menunjukkan Machiavelli tidaklah sempurna: Hidup di dunia tidak hanya bersandarkan kuasa semata-mata. Pengalaman menunjukkan kehidupan juga mempunyai momen yang unggul.

Walaupun bertunjangkan kuasa, harus diselitkan tanggungjawab untuk berlaku adil kepada orang lain.

Yakni, akhirnya demi manfaat rakyat agar tidak terjadi dek penangan ‘gajah sama gajah berlaga, pelanduk mati di tengah-tengah’. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN