Harta boleh dibawa mati? - Utusan Malaysia

Harta boleh dibawa mati?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PEREBUTAN harta pusaka dalam kalangan ahli keluarga sehingga membawa kepada nasib isteri dan anak-anak terabai biasa terjadi dalam kalangan orang Melayu ekoran kurangnya kesedaran terhadap kepentingan perancangan harta sewaktu hidup.

Bagi kes tidak berwasiat, apabila seseorang meninggal dunia semua aset dimiliki terbeku sebelum boleh diagihkan kepada waris yang berhak.

Menurut perunding profesional perancangan harta pusaka Islam, HARYATI MOHD. ALI, peranan pentadbir harta yang juga pemegang amanah adalah satu tugas dan tanggungjawab berat.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurugambar, FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR, mereka yang berwasiat menentukan pentadbir harta setelah kematian adalah hak mutlak pemilik harta. Justeru, penting untuk memastikan mereka yang dilantik mampu serta layak menjalankan tugas bagi menjamin kebajikan si mati dan ahli keluarganya.

UTUSAN: Apa dimaksudkan harta pusaka dan pengurusannya?
HARYATI: Harta pusaka adalah harta yang ditinggalkan oleh seseorang yang meninggal dunia untuk diwarisi oleh warisnya sama ada harta benda, hak dan sebagainya. Ramai memiliki pemikiran skeptikal dengan menganggap tuntutan harta pusaka semudah membawa sijil kematian sahaja tanpa menyedari waris perlu melalui satu proses tuntutan yang panjang, mendapatkan banyak maklumat, perundangan dan melibatkan kos tinggi dalam banyak keadaan.

Hal ini menyebabkan sering kali waris ‘tersangkut’ dan akhirnya harta menjadi beku. Kelemahan perancangan harta pusaka akan menyebabkan waris tidak mendapat hak yang sepatutnya.

Apa jenis-jenis harta pusaka?
Ia terdiri daripada dua jenis iaitu harta alih dan tak alih. Harta alih merujuk kepada wang tunai, saham, simpanan bank, wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans, kenderaan, barang kemas dan apa jua barangan berharga serta mempunyai nilai seperti beg tangan mewah, koleksi lukisan antik, perkakasan rumah seperti thermomix dan lain-lain sementara harta tak alih seperti tanah, rumah, bangunan dan lot pejabat.

Tindakan waris selepas tahu mengenai harta yang ditinggalkan kepadanya?
Dalam pembahagian harta pusaka Islam, sebelum pengagihan harta kepada waris, hak si mati perlulah diutamakan iaitu menyelesaikan perbelanjaan pengkebumian, menyelesaikan hutang dunia dan akhirat, tuntutan harta sepencarian, melaksanakan wasiat satu per tiga dan akhir sekali pembahagian harta kepada waris.

Terdapat tiga agensi yang menguruskan hal berkaitan harta pusaka iaitu ARB (nilai harta RM600,000 ke bawah dan hanya meliputi harta tak alih), Unit Pembahagian Pusaka di Pejabat Tanah (nilai harta melebihi RM600,00 hingga RM2 juta meliputi harta alih dan tak alih) serta mahkamah tinggi sivil (jumlah harta lebih RM2 juta).

Bagaimana pemahaman orang Melayu mengenai perkara ini?
Terlalu lemah iaitu dengan anggaran kurang daripada lima peratus yang peka terhadap pengurusan harta pusaka. Ramai yang mempunyai harta tetapi sayangnya tiada perancangan sehingga menyukarkan waris terutama yang bergantung harap kepada si mati sepanjang hidupnya. Akhirnya waris terpaksa melalui kehidupan yang sukar selepas kematian ketua keluarga.

Antara alasan kerap diberitahu orang ramai mengapa tidak membuat perancangan harta – kurang kesedaran tentang kepentingan wasiat, tidak peka proses tuntutan yang sukar selepas kematian, alpa dan bertangguh.

Pentingkah wasiat?
Ya. Ini kerana melalui wasiat, pemilik harta boleh menyediakan peruntukan bagi sedekah, wakaf dan infak setelah ketiadaan mereka nanti. Kita biasa dengar harta tidak boleh dibawa mati tetapi bagi saya, harta boleh dibawa mati dan sekiranya ia dapat dimanfaatkan dan terus mendatangkan pahala walaupun pemiliknya tiada di dunia.

Melalui wasiat, seseorang boleh melantik pentadbir harta yang layak, amanah dan berpengetahuan. Individu yang dilantik perlu sedar bahawa proses tuntutan harta pusaka memerlukan masa, kos, kesabaran dan keikhlasan.

Selain itu, ketua keluarga turut digalakkan menggunakan hibah untuk memastikan nasib isteri, anak-anak terbela dan mempunyai sumber kewangan mencukupi dalam menguruskan tuntutan. Kekangan kewangan boleh menyebabkan proses urus tadbir terbengkalai separuh jalan.

Bagaimana dikatakan pengurusan harta pusaka yang baik?
Ia perlu ada rancangan melibatkan kewangan yang cukup untuk waris sementara aset dapat dicairkan, dokumentasi lengkap tentang aset dan liabiliti pemilik, pelantikan wasi melalui wasiat dan pakar rujuk seperti agensi yang menguruskan hal harta pusaka. Maka sekiranya berlaku kematian, waris dapat bimbingan sepatutnya.

Ada peningkatan kes perebutan harta?
Berebut harta, saman menyaman, kes bunuh dan ada yang selepas 50 tahun baru selesai. Kerana itu saya berulang kali tegaskan pentingnya wasiat dilakukan bagi mengelak perkara tidak diingini.

Selain itu, isu perebutan harta terlalu banyak sehingga akhirnya terbengkalai kerana tiada permuafakatan dalam keluarga.

 

BANYAK KES TANGGUH, BEKU

Adakah pandemik Covid-19 memberi kesan kepada waris dalam menuntut hak?
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan terhadap proses tuntutan apabila melibatkan kehadiran waris yang tinggal berjauhan.

Dalam sesetengah keadaan, waris terpaksa membiarkan harta terbeku berikutan kurang sumber kewangan ketika pandemik kerana menguruskan harta pusaka memerlukan persediaan mencukupi dari segi kos.

Ada juga harta pusaka tidak sempat dirasai oleh waris akibat proses tuntutan yang tidak selesai setelah sekian lama sehingga (waris tersebut) meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 dan sebab-sebab lain. Akibatnya wujud keadaan dipanggil waris berlapis dan ini menambahkan lagi kesukaran pengurusan harta pusaka.

Nasihat kepada pembaca?
Perancangan pengurusan harta pusaka ini bukan hanya sekadar mengumpul, mengurus, membangunkan dan melindungi harta semata-mata, sebaliknya harus dipastikan dapat diwarisi dengan sebaiknya tanpa menimbulkan kesulitan dan kesusahan kepada waris yang layak. Sekiranya pengagihan secara faraid boleh mendatangkan isu kepada pewaris, persediaan merancang pengagihan harta semasa hidup melalui konsep hibah dan wasiat perlu dipertimbangkan.

Perancangan yang sempurna bukan sahaja dapat memberi kebaikan dari sudut perkembangan ekonomi masyarakat dan negara, malah turut dapat memastikan harta yang diusahakan dengan jerih perih semasa hidup tidak menjadi bahan pertelingkahan antara ahli keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×