GERAKAN Black Lives Matter bermula sejak 2013 setelah kes pembunuhan remaja Afrika-Amerika berusia 17 tahun, Trayvon Marin oleh si pelaku, George Zimmerman. Setelah peristiwa itu, tanda pagar #blacklivesmatter digunakan secara meluas di media sosial bagi menyatakan protes terhadap segala diskriminasi ke atas mereka berketurunan Afrika-Amerika.
Namun, gerakan ini menjadi lebih terkenal di seluruh dunia setelah kes pembunuhan George Floyd pada 25 Mei 2020 oleh seorang pegawai polis kulit putih Amerika Syarikat (AS), Derek Chauvin dengan cara melutut di leher George selama hampir sembilan minit dengan keadaan George yang terbaring sambil kedua-dua tangannya digari ke belakang.
Saya tidak berminat untuk menulis tentang sejarah gerakan ini secara terperinci, sebaliknya ingin membawa pembaca memahami sedikit sebanyak tentang sikap dwistandard sesebuah kumpulan atau individu tertentu dalam memperjuangkan hak sama rata dan menentang perkauman.
Sebagai seorang Muslim, kita diajar dan dipupuk supaya bersikap adil dan menghormati sesama manusia tanpa mengira rupa paras dan darjat. Dalam surah Al-Hujurat, ayat ke-13, Allah SWT berfirman: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Realitinya, semua kaum di atas muka bumi ini rasis tetapi dengan caranya yang tersendiri. Mengapa kita hanya sekadar memperjuangkan untuk masyarakat Afrika?
Bagaimana pula dengan kaum-kaum lain?
Laporan 2020 Asian American Voter Survey (AAVS) menunjukkan lebih 80 peratus orang Asia didiskriminasi kerana Covid-19. Serangan perkauman terhadap orang Asia tersebut termasuklah dengan menolak, meludah, menghina bahkan menikam! Apa yang lebih menjengkelkan, serangan tersebut banyak dilakukan oleh mereka berketurunan Afrika.
Persoalannya di sini, di manakah para pejuang #blacklivesmatter dalam menyuarakan ketidakadilan ini? Adakah protes dan semangat antiperkauman hanya terpakai apabila ia berlaku kepada kaum Afrika?
Ini bukan fitnah atau cerita kosong kerana saya sendiri pernah merasai beberapa kali peristiwa diskriminasi daripada rakan-rakan Afrika sewaktu menuntut di Izmir, Turki. Pada 2014, saya bersama rakan-rakan duduk di sebuah kafe, kemudian datang sekumpulan rakan Afrika yang mengajak saya duduk bersama mereka.
Selang beberapa minit kemudian, saya dengan jelas dapat mendengar bisikan seorang rakan wanita Afrika yang duduk bersebelahan saya kepada rakannya yang lain. Dia meminta supaya saya dibawa pergi ke tempat lain. Kerana menurutnya, saya tidak berkulit hitam untuk duduk bersama mereka!
Begitu juga pengalaman melihat sendiri kebiadaban sebahagian warga Turki yang menghina dan mengejek rakan saya berketurunan Arab. Sejak itu, fahamlah saya bahawa perkauman itu berlaku pada semua kaum, agama dan negara.
Sebenarnya, ramai juga mereka dalam kalangan keturunan Afrika yang tidak menyokong gerakan #blacklivesmatter. Ini kerana mereka sedar tentang agenda dan ketidakadilan gerakan ini. Anda disarankan buat sedikit pembacaan tentang skandal penipuan salah seorang pengasas gerakan ini, Patrisse Cullors.
“Gerakan ini sekadar menggunakan kesakitan dan kesusahan kami (Afrika) sebagai topeng agenda mereka. AS dan dunia tidak memprotes ketika Mark Duggan dibunuh polis UK (United Kingdom), maka adakah perjuangan ini berfungsi sekiranya ia berlaku di AS sahaja? Atau adakah apabila pembunuhan itu dilakukan oleh pegawai polis berkulit putih sahaja?” Soal Nick, warga UK berketurunan Afrika.
Saya menyifatkan kaum kulit putih sangat malang memandangkan setiap kali serangan perkauman berlaku, ia pasti direkod, disebar luas dan dijadikan berita hangat. Tetapi sekiranya serangan perkauman tersebut berlaku di Asia atau Afrika, maka tidak ada yang merekod atau menjadikannya sebagai sebuah isu.
Orang Muslim pun tidak terlepas ya, lihat sahaja perangai kaum Arab yang sangat rasis, angkuh dan sering mengejek bangsa Asia lain. Saya yakin ramai pelajar kita yang menuntut di tanah Arab pernah merasai kejelikan perangai orang Arab ini. Mereka berasa superior ke atas kaum Asia lainnya tetapi merengek seperti anak kecil tatkala orang kulit putih mengajar mereka.
Di Malaysia pun sebelum ingin memperjuangkan #blacklivesmatter, pastikan kita adil. Bukankah kita sendiri pun bersikap dingin terhadap kaum-kaum lain? Kita gagal membendung masalah perkauman yang semakin membarah di negara ini.
Perkauman tidak mengira kaum, negara, masa dan tidak akan berpenghujung sama sekali. Perkauman merentasi zaman, dari satu generasi ke satu generasi. Perkauman hanya memerlukan kejahilan dan emosi yang membimbing kepada keangkuhan, penghinaan seterusnya dendam dan berakhir dengan bunuh-membunuh.
Perkauman menjadi santapan mereka yang rakuskan kuasa, santapan yang membuatkan mereka kenyang meraih sokongan daripada kaumnya sendiri sambil mentohmah kaum lain.
Impian melenyapkan perkauman tidak akan pernah berjaya dan ia akan tetap terus menjadi fantasi bagi si pencinta kesatuan. Umpama mimpi untuk melihat dunia yang berwarna-warni dengan kepelbagaian kaum bersatu, berbincang dan bekerjasama, tolong-menolong antara satu sama lain.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.











