KUALA LUMPUR: Pendaftaran pemilih sewajarnya dilakukan secara manual bagi memastikan ketelusan dan hanya individu berusia 18 tahun yang benar-benar layak akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pergerakan Pemuda Pusat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang berkata, pendaftaran pemilih secara automatik dan mengundi di usia 18 tahun diharap tidak dimanipulasi pihak tertentu terhadap mereka yang tidak mempunyai kad pengenalan sah.
“Saya menyambut baik pelaksanaan had umur mengundi ini cuma perlu ada mekanisme yang memastikan kegiatan seperti ini tidak berlaku menjelang pilihan raya nanti.
“Yang merisaukan saya apabila terdapat warga asing yang mempunyai kad pengenalan tidak sah dan mengambil kesempatan mengundi setelah didaftarkan secara automatik,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan semakan kehakiman Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan kerajaan Malaysia menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun di seluruh negara, menjelang akhir tahun ini.
Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat yang ketika itu dipengerusi oleh Tan Sri Datuk Mohamad Arif Md. Yusof meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP, (DAPSY), Howard Lee Chuan How berkata, kerajaan sedia ada mesti memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan Undi 18 tahun bagi mengelakkan negara sekali lagi terjerumus dalam krisis Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu menggesa pihak defendan tidak membuang masa dalam mencabar keputusan semakan kehakiman Mahkamah Tinggi Kuching.
“DAPSY sendiri sedang giat mendaftarkan pengundi-pengundi baharu dan kami juga mendesak kerajaan supaya membenarkan pengundi berumur 18 hingga 20 tahun didaftarkan sebagai pemilih sementara pendaftaran automatik masih diusahakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










