Rindu solat Jumaat - Utusan Malaysia

Rindu solat Jumaat

ADA rakan-rakan penulis mengadu sudah lebih tiga bulan tidak dapat solat Jumaat berikutan jumlah jemaah dihadkan. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini, Lembah Klang memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Alhamdulillah, satu pengumuman yang amat dialu-alukan oleh warga kota. Kini, warga kota sudah bebas bergerak dan merentas negeri di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Namun, perlu diingat, kita masih berhadapan dengan wabak Covid-19. Walaupun bebas merentas daerah dan beberapa kelonggaran lain, prosedur operasi standard (SOP) mesti sentiasa dipatuhi.

Antara yang diberi kelonggaran adalah melibatkan industri kreatif yang pastinya memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja selain lebih 19,000 syarikat berkaitan industri tersebut mulai semalam.

Kelonggaran ini juga diberi berasaskan faktor terdapat negeri-negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok.

Sehubungan itu, semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN.

Antara yang dibenarkan termasuklah aktiviti panggung wayang. Syaratnya, individu berkenaan telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam.

Bagi umat Islam, yang sangat ditunggu-tunggu adalah pembukaan masjid dan surau untuk lebih ramai jemaah menunaikan solat jemaah. Terutamanya solat Jumaat.

Jika mengambil contoh Fasa 2 PPN di Negeri Sembilan sejak 26 Ogos lalu, semua masjid dan surau Jumaat dibenarkan beroperasi dengan terhad kepada 150 jemaah terawal termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid serta petugas keselamatan dan sukarelawan.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jemaah dibenarkan itu perlu melepasi tempoh 14 hari selepas menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, kita mengharapkan kapasiti jemaah itu dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya ke tahap separuh daripada saiz sebenar masjid. Permintaan ini bukanlah luar biasa sementelah panggung wayang juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam.

Rasionalnya, sudah lebih dua tahun umat Islam terhalang berjemaah. Memanglah kita memahami sebab musabab kerajaan membuat keputusan demikian yang mana pada ketika itu kes Covid-19 mencecah puluhan ribu. Ditambah dengan majoriti rakyat masih belum divaksin.

Setakat 7 September lalu, Lembah Klang merekodkan 69.6 peratus populasi dewasa yang sudah pun lengkap dua dos manakala 88.9 peratus lagi sudah menerima satu dos.

Sehubungan itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bakal menamatkan vaksinasi secara walk-in atau jumpa terus di Lembah Klang bermula 16 September ini.

PICK dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari lalu dengan sejumlah 672 Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) diwujudkan di seluruh negara.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia bagi suku pertama 2021, jumlah penduduk di Selangor ialah kira-kira 6.56 juta, Kuala Lumpur 1.68 juta manakala Putrajaya 114,900.

Jumlahnya kira-kira 8.25 juta.

Sifir mudahnya, jumlah umat Islam kita anggarkan 30 peratus daripada jumlah itu maka jumlah orang Islam adalah lebih 3.6 juta. Jika hanya 50 peratus wanita, maka golongan lelaki yang wajib solat Jumaat mungkin sekitar sejuta orang.

Jumlah masjid di Lembah Klang pula adalah 491 buah iaitu Selangor (421), Kuala Lumpur (67) dan Putrajaya (tiga). Jumlah surau pula adalah 2,426 iaitu di Selangor (1.904), Kuala Lumpur (431) dan Putrajaya (91).

Namun, bukan semua surau mendapat kebenaran untuk melaksanakan solat Jumaat. Dengan kata lain, jika semua orang lelaki yang mukallaf menunaikan solat Jumaat nescaya melimpah ruahlah masjid-masjid.

Inikan pula dalam keadaan pandemik Covid-19 di mana masjid dihadkan bilangan jemaah. Bayangkan bukan sedikit ‘jemaah tegar’ yang merindui untuk solat berjemaah terutama solat Jumaat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ada rakan-rakan yang mengadu sudah lebih tiga bulan tidak dapat solat Jumaat. Sebabnya, bilangan jemaah dihadkan. Jika di Selangor ia pernah dihadkan tiga jemaah, enam jemaah, 12 jemaah dan terkini 50 jemaah untuk solat fardu dan 100 untuk fardu Jumaat.

Di Kuala Lumpur dan Putrajaya, bilangannya lebih sedikit. Berdasarkan pekeliling Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan 8 Julai lalu, bilangan jemaah solat Jumaat di Masjid Wilayah dan masjid utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah 300 orang.

Masjid Pusat Zon 100 orang, Masjid Kariah dan Surau Jumaat 50 orang, Surau kebenaran Khas Solat Jumaat 40 orang, Surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 12 orang.

Solat Fardu di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan 100 orang, Masjid Pusat Zon 50 orang, Masjid Kariah dan surau Jumaat 50 orang, surau kebenaran khas solat Jumaat 40 orang, surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 12 orang.

Besarlah harapan agar bilangan jemaah terutama solat Jumaat dapat ditambah. Demikian juga dengan solat fardu dengan mengekalkan pematuhan SOP sedia ada.

Apa yang dibimbangi, masyarakat mula lupa dan lalai tentang tuntutan kefarduan solat Jumaat lantaran sudah terlalu lama tidak menunaikannya.

Ini kerana sudah ada orang yang tidak segan silu keluar rumah pada waktu tengah hari Jumaat untuk tujuan membeli barang keperluan dan sebagainya. Macam ‘tak rasa apa-apa’ tidak dapat solat Jumaat.

Itu belum cerita adegan petugas masjid yang terpaksa tahan telinga dimaki orang yang tidak dapat solat Jumaat walaupun sudah datang tepat-tepat waktu pagar masjid dibuka.

Apakan daya, walaupun pintu pagar masjid dibuka pukul 12 tengah hari, tetapi jemaah dah beratur pukul 11.15 lagi. Sebab itu, buka saja pintu, masjid penuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×