Polemik jawatan duta khas - Utusan Malaysia

Polemik jawatan duta khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA krisis Rohingya memuncak beberapa tahun lalu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melantik bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai duta khas OIC untuk berhubung secara langsung dengan kerajaan Myanmar demi mencari penyelesaian isu etnik itu.

Begitu jua pada 2001, diplomat Malaysia, Tan Sri Razali Ismail diberi peranan duta khas oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika kemelut politik dalaman Myanmar memuncak pada ketika itu.

Pelantikan duta khas ini bukan sahaja terhad untuk mewakili organisasi tetapi pemimpin tertinggi sesebuah negara jua sering melantik duta khas bagi mewakili pemimpin berkenaan.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menjadikan isu alam sekitar dan iklim sebagai salah satu agenda presidensi beliau dan sebab itu jua Biden melantik bekas Setiausaha Negara era Barack Obama, iaitu John Kerry sebagai duta khas dalam hal ini.

Sebab itu jua kita sering saksi Kerry hadir dalam mesyuarat mengenai alam sekitar sebagai wakil Presiden AS. Umpamanya Kerry adalah wakil AS dalam mesyuarat G20 mengenai alam sekitar, Julai lalu. Malah Biden sering dituduh melantik duta khas terlalu semberono dan setakat ini ada 55 duta dan wakil khas yang mempunyai tugas dari hal Sudan sehinggalah isu saluran minyak dari Rusia ke Eropah!

Sebab itu tidak mengejutkan jua apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan pelantikan tiga duta khas yang mula diperkenalkan semasa era Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi isu duta khas ini menjadi kontroversi dan polemik kerana wujud persepsi pelantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai duta khas ke Timur Tengah, Datuk Seri Tiong King Sing sebagai duta khas ke China dan Datuk Seri Richard Riot sebagai duta khas ke Asia Timur lebih menjurus kepada kepentingan politik dalaman berbanding kepentingan diplomasi.

Polemik duta khas ini makin menjadi-jadi kerana ketiga-tiga mereka adalah pemimpin tertinggi parti politik masing-masing yang ketika ini sebahagian daripada kerajaan pimpinan Ismail Sabri. Abdul Hadi adalah Presiden Pas, King Sing pula merupakan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) manakala Richard, Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

KPI

Tetapi sebenarnya polemik duta khas ini walaupun tidak mampu dipadamkan sepenuhnya, ia mungkin dapat dikendurkan jika tanggungjawab ketiga-tiga mereka diperincikan. Abdul Hadi yang dipertanggung jawab mewakili Perdana Menteri ke rantau Timur Tengah sememangnya bersesuaian dengan pengalaman dimiliki, tetapi terlalu luas untuk dibentuk petunjuk prestasi utama (KPI) yang sesuai.

Mengapa KPI menjadi faktor adalah kerana jawatan tersebut bertaraf menteri dan seperti diketahui, semua jemaah menteri mempunyai KPI yang akan dinilai bukan sahaja oleh Perdana Menteri tetapi juga rakyat menjelang 100 hari.

Seperti mana duta khas yang diperkatakan iaitu Syed Hamid, Razali dan Kerry, kesemua mereka mempunyai terma tanggungjawab agak telus dan nyata yang mana kewujudan KPI mudah dinilai pencapaiannya.

Timur Tengah umpamanya adalah rantau yang kritikal buat Malaysia dan kadang kala isu berpunca dari sini dan berkait dengan kita sukar dirungkai oleh duta yang lazim.

Umpamanya, Qatar ketika ini memainkan peranan agak penting dalam menentukan masa depan Afghanistan yang diterajui kerajaan Taliban. Oleh kerana pengaruh Kuala Lumpur agak terhad terhadap Kabul kerana kita tidak mepunyai duta ke Afghanistan, maka Abdul Hadi mampu memainkan peranan melalui Qatar demi membantu rakyat Afghanistan bersama-sama dengan negara Islam lain.

Dalam hal ini, hubungan yang baik antara Kuala Lumpur dan Doha akan memudahkan lagi tugas duta khas ke Timur Tengah ini. Agak pasti jua Abdul Hadi mampu melaksanakan amanah dengan baik apabila diambil kira isu beberapa negara Timur Tengah yang saling mencurigai terhadap Iran. Tetapi Malaysia berbaik dengan kedua-dua belah pihak yang bertentangan dan di sinilah peranan duta khas amat ditagih supaya tidak timbul syak wasangka terhadap niat Malaysia.

Serupa jua dengan duta khas ke China, King Sing mempunyai peranan yang sama berat dengan Abdul Hadi jika dikaitkan dengan tuntutan bertindih Laut China Selatan.

Beijing mendakwa sebahagian besar perairan tersebut adalah milik mereka dan bukan sahaja bot nelayan tetapi pengawal pantai China sering menceroboh Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia. Walaupun China mempunyai kekuatan ekonomi dan ketenteraan berbanding Malaysia, jika kena caranya pengamalan diplomasi duta khas ke China, ketegangan seperti ini mungkin dapat dikendurkan sedikit.

Tetapi untuk berlaku adil, pentadbiran Ismail Sabri hanya mempunyai tiga duta khas dan itu pun diwarisi daripada pentadbiran sebelum ini. Seharusnya untuk mengendurkan polemik jawatan ini, KPI yang spesifik dinyatakan dengan terperinci iaitu apakah terma tanggung jawab ketiga-tiga mereka ini.

Kewujudan duta khas adalah perkara lazim dalam dunia diplomasi dan lazimnya individu yang dilantik itu adalah untuk mempermudahkan urusan diplomasi negara masing-masing. Dan seharusnya juga tidak bertindih dengan tanggung jawab duta kita sedia ada di negara asing.

PENULIS ialah penganalisis politik dan geostrategis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×