Penuntut IPT belum vaksin boleh walk-in - Utusan Malaysia

Penuntut IPT belum vaksin boleh walk-in

ORANG ramai menunggu giliran menerima vaksin Covid-19 di Pusat Pengambilan Vaksin Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 200,000 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang belum menerima vaksin boleh berbuat demikian secara walk-in di pusat pemberian vaksin (PPV).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberi jaminan itu ketika mengulas isu ramai pelajar IPT awam dan swasta di negara ini yang tidak daftar vaksinasi.

“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah buat keputusan membenarkan pelajar terbabit datang walk-in di PPV dengan syarat tunjuk kad ma­trik sah,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadi­ri majlis serah terima tugas dengan penyandang sebelumnya, Khairy Jamaluddin yang bertukar portfolio sebagai Menteri Kesihatan baharu.

Pada masa ini terdapat 20 IPT awam dan lebih 30 IPT swasta selain 10 kampus cawangan universiti luar negara serta puluhan kolej universiti dan lebih 400 kolej swasta di negara ini.

Dianggarkan lebih 700,000 pelajar di IPT awam manakala lebih 600,000 di IPT swasta seluruh negara yang berusia 18 tahun sehingga 24 tahun.

“CITF sudah menerima rekod dari Kementerian Pengajian Tinggi yang menunjukkan seramai 547,595 pelajar IPT awam dan swasta di seluruh negara sudah pun lengkap vaksin,” katanya.

Angka ini mewakili 53.2 peratus tetapi semakan kementerian itu juga mendapati lebih 195,000 atau 37.5 peratus pelajar IPT awam langsung tidak mempunyai rekod pendaftaran vaksinasi.

Jumlah tersebut, tambah Dr. Adham, adalah lebih tinggi berbanding pelajar IPT swasta yang tiada rekod pendaftaran imunisasi iaitu lebih 51,000 atau 10.2 peratus setakat ini.

“Saya berharap usaha CITF dan pihak kementerian tersebut memberi kesedaran berhubung kepentingan vaksinasi yang perlu dipertingkatkan dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan program vaksinasi khas akan dibuat untuk banduan institusi penjara dan depoh tahanan imigresen di seluruh negara.

Sementara itu, menurut Dr. Adham, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bakal menamatkan vaksinasi secara walk-in di Lembah Klang pada 16 September ini.

Beliau berkata, ia susulan trend penurunan vaksinasi ketika ini disebabkan sebahagian besar penduduknya sudah diimunisasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×