MELAKA: Pendaratan tertinggi udang geragau yang direkodkan di Melaka adalah sebanyak 78 tan metrik bersamaan 78,000 kilogram (kg) pada 2006.
Bagaimanapaun, pada 2013 dan 2014, dilaporkan tiada pendaratan spesies berkenaan yang menjadi bahan komoditi utama industri pembuatan cencaluk dan belacan di negeri ini.
Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2009 memaklumkan, spesies berkenaan membiak sepanjang tahun dan mencapai kemuncaknya pada Februari, April, Jun Ogos serta Oktober.
Pejabat Perikanan Melaka mengesahkan bahawa, suatu masa dahulu sebelum berlakunya aktiviti penambakan pantai di kawasan-kawasan terlibat, nelayan mampu memperoleh sekitar 200 hingga 300kg tangkapan udang geragau setiap kali turun ke laut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengarahnya, Mohd. Fauzi Salehon berkata, kini nelayan di sekitar Pantai Puteri, Tanjong Bidara dan Pengkalan Balak hanya mampu meraih sekitar 20 hingga 30kg untuk sekali tangkapan, iaitu penurunan ketara hampir 10 kali ganda.
Katanya, kekurangan hasil laut adalah implikasi yang sudahpun diramal sebelum sesuatu projek mega seperti Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) dan Melaka Gateway bermula.
Bagaimanapun, jelasnya, telah wujud perbincangan antara kerajaan negeri dengan Jabatan Perikanan untuk menjadikan tiga pulau di Melaka sebagai lokasi baharu sumber protein negeri ini, termasuk pembiakan udang geragau.
Ujarnya, pulau-pulau tersebut adalah Pulau Nangka, Pulau Dodol dan Pulau Undan yang kini dalam proses untuk diwartakan sebagai taman laut.
“Sekarang dalam proses mewartakan, bukan Melaka sahaja. Sumber laut di semua perairan terutama ikan komersial memang terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Fauzi memberitahu, kesukaran nelayan mendapatkan stok udang geragau bukanlah perkara baharu sebaliknya ia sudah bermula sejak 2016.
“Sebelum sesuatu projek tambakan laut atau pengorekan pasir bermula, telah ada perbincangan antara kerajaan negeri dengan nelayan tentang sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
“Ada diberikan pampasan disebabkan akan berlaku pengurangan sumber dan sebagainya. Untuk membantu lagi, seperti yang dimaklumkan kita bercadang untuk mewujudkan lokasi sumber baharu di tiga buah pulau,” jelasnya.
Sementara itu, penyelidik lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kerajaan Persekutuan atau negeri perlu mewartakan kawasan pesisir pantai yang kaya dengan hidupan akuatik sebagai kawasan perlindungan bagi mengelakkannya musnah.
Menurut beliau, kerajaan boleh memperuntukkan akta atau enakmen negeri supaya tidak mengganggu ekosistem di kawasan terbabit kecuali kerja-kerja penangkapan hasil laut sahaja boleh dilakukan.
Dalam pada itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabri Syed Akil berkata, penduduk seharusnya membuat laporan dan menghantar surat bantahan kepada pihak berkuasa apabila menyedari pendapatan mereka terjejas akibat kegiatan tambakan laut..
“Kalau masyarakat bangun ramai-ramai dan bersama wakil rakyat di situ, maka, tidak mustahil ia boleh diselamatkan. Yang saya lihat, kerajaan tidak peduli pun soal kerosakan alam, asalkan mendapat projek,” katanya.- UTUSAN











