BUKIT KEPONG: Pusara anggota-anggota polis yang terkorban dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong dinaik taraf dengan pembinaan struktur berbumbung.
Pembinaan bumbung tanpa dinding itu dapat mengurangkan kesan kerosakan kepada batu nisan akibat cuaca.
Ketua Kampung Bukit Kepong, Hazali Mohd Amin, 58, berkata, penaiktarafan melibatkan penggunaan tiang besi dan bumbung zink membabitkan kos RM50,000.
“Semua kos ditanggung Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Johor (ICU Johor)dan naik taraf itu juga melibatkan susur pejalan kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kerja-kerja pembinaan sudah dimulakan sejak dua minggu lalu dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.
Hazali berkata, kerja-kerja naik taraf susur pejalan kaki melibatkan laluan sejauh kira-kira 50 meter dari pintu gerbang pusara menuju lokasi pusara pejuang.
“Struktur berbumbung itu turut mampu dijadikan tempat berteduh dan mengurangkan kerosakan permukaan kubur. Kebetulan kita masih dalam bulan kemerdekaan dan ia tentu menjadi satu pemangkin kepada semangat patriotik dengan memastikan pusara itu terus terpelihara,” ujarnya.
Lokasi pusara itu mempunyai lakaran sejarah tersendiri dan ia penting bagi mengenang kembali kesan kekejaman komunis termasuk rentetan peristiwa yang berlaku.
“Terdapat kira-kira 200 pusara di tanah perkuburan ini yang wujud sejak 1940-an di atas tanah berkeluasan 1.5 hektar namun sebahagiannya tidak direkodkan,” ketanya.
Dalam tragedi pada 23 Februari 1950, seramai 19 anggota polis bersama ketua balai, Sarjan Jamil Mohd. Shah terbunuh manakala tujuh orang awam termasuk ahli keluarga anggota terbabit turut menjadi korban kekejaman komunis. – UTUSAN











