MELAKA: Pembuatan belacan dan cencaluk secara tradisional di negeri ini semakin terancam berikutan bahan mentah utamanya iaitu udang geragau semakin sukar dicari nelayan pesisir pantai terutamanya di Pantai Puteri, Tanjong Bidara dan Pengkalan Balak.
Aktiviti menangkap udang geragau dengan kaedah tradisional menyungkur iaitu menyodok anak udang menggunakan jaring halus diikat buluh, tidak lagi mampu membawa hasil lumayan.
Dahulu, seseorang nelayan biasanya pulang gembira setiap kali tiba musim air bani atau air mati, iaitu masa paling sesuai menyungkur hasil laut itu sehingga memperoleh hasil 100 kilogram (kg) setiap hari.
Namun, sejak lebih tujuh tahun lalu, pekerjaan tersebut tidak lagi mendatangkan ‘durian runtuh’ apabila mereka kini hanya mendapat sekitar 2 hingga 5 kg setiap kali keluar menyukur.
Itu hakikat yang sedang dilalui masyarakat di sini, kesan daripada aktiviti pembangunan akibat projek tambakan laut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penangkap udang geragau, Ali Zainol, 59, mengakui, sekarang sukar mencari hasil laut tersebut setiap kali tiba waktu untuk menyungkur di pesisir pantai.
Katanya, tiada lagi makna untuk mencari pendapatan tambahan melalui jualan udang geragau, yakni perkara biasa dilakukan nelayan seusia pada 15 tahun lalu.
“Semua ini terjadi disebabkan penambakan laut dari Limbungan hingga ke Pantai Klebang. Apabila laut ditambak ia telah menjejaskan ekosistem pembiakan udang geragau.
“Yang turut terkesan, apabila arus laut turut berubah. Pergerakannya menyongsang dan secara tidak langsung udang geragau lenyap sedikit demi sedikit.
“Saya menyungkur sejak usia 14 tahun. Dulu apabila sekali turun menangkap, bolehlah dapat lebih 100kg setiap kali tiba air bani.“Pendapatan masa itu boleh dapat antara RM1,000 hingga RM3,000 sehari. Tetapi sejak tujuh tahun kebelakang, nak dapat 10kg pun payah,” katanya ketika ditemui di Pondok Mahat Hashim dekat sini.
Ali menambah, daripada 20 nelayan yang mencari udang geragau sebelum ini, kini hanya beberapa orang sahaja masih aktif.
Jelasnya, keadaan berkenaan secara tidak langsung menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuat belacan dan cencaluk secara tradisional.
Menurut seorang lagi nelayan, Abdul Aziz Yahya, 59, berkata, pesisir pantai Melaka tidak lagi membawa ‘khabar gembira’ buat pencari udang geragau.
“Penambakan laut adalah punca utama menyebabkan udang geragau kian sukar diperolehi khususnya di sekitar kawasan ini dan sekali gus mengancam pembuatan belacan dan cencaluk negeri ini,” katanya.
Sementara itu, pengusaha belacan pula mengambarkan pembuatan makanan itu dilihat tidak akan bertahan lama bukan sahaja disebabkan udang geragau yang pupus tetapi lebih bermasalah kerana tiada pewaris untuk meneruskan tradisi berkenaan.
Kebimbangan itu disuarakan, seorang pengusaha belacan tradisional sejak lebih 60 tahun, Aini Abd. Majid, 63, enam anaknya yang sudah bekerja enggan mewarisi bakatnya.
“Mereka semua sudah tidak minat nak ikut jejak langkah saya dan suami, Mohd. Yusof Isnin mengusahakan belacan secara tradisional.
“Kami berdua semakin dimamah usia. Dulu saya mampu buat belacan sehingga lebih 60 kilogram (kg) sekali buat, tetapi kudrat tidak lagi mengizinkan.
“Sekarang ini saya hanya terdaya setakat 30kg sahaja,” katanya ketika ditemui di gerai milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Kampung Batang Tiga dekat sini.
Norashikin Jantan, 43, turut berkongsi masalah sama berikutan enam anaknya berusia tujuh hingga 17 tahun langsung tidak berminat untuk meneruskan legasi keluarga. – UTUSAN










