PUTRAJAYA: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili doktor haiwan meluahkan kesal berhubung penyalahgunaan Ivermectin kononnya boleh merawat pesakit Covid-19.
Presiden Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (Mavma), Prof. Datuk Dr. Mohd. Azmi Mohd. Lila berkata, berita penjualan haram pil itu dikesan sejak bermula pandemik itu, malah semakin berleluasa walaupun pelbagai pihak menyeru agar aktiviti ini dihentikan kerana kesan terhadap kesihatan masyarakat.
Menurutnya, ubat itu lazim digunakan sebagai pegawai veterinar untuk mencegah penyakit cacing yang selamat kepada haiwan sahaja.
“Produk ini hanya didaftarkan untuk binatang semasa preskripsi oleh pakar bedah veterinar dan langsung tidak dibenarkan penggunaannya untuk tubuh manusia,” tegas beliau dalam kenyataan.
Setakat ini, Ivermectin belum lagi diluluskan Kementerian Kesihatan sebagai rawatan wabak Covid-19, namun kegiatan penjualan secara tidak sah pula semakin rancak di seluruh negara, sehinggakan beberapa NGO tempatan antaranya Persatuan Farmasi Malaysia dan Persatuan Perubatan Malaysia turut menggesa kerajaan agar melarang perniagaan pil itu di pasaran tempatan.
Malangnya, tindakan beberapa ahli politik dan NGO tertentu mendesak kerajaan meluluskan Ivermectin beberapa bulan lalu ternyata mengelirukan rakyat meskipun tiada bukti saintifik.
Secara am ujar Mohd. Azmi, Ivermectin yang digunakan klinik haiwan ialah dalam bentuk cecair boleh disuntik dan tiada pun berbentuk tablet kononnya sesuai untuk penggunaan pesakit manusia, bahkan preskripsi ubat ini hanya dikeluarkan doktor veterinar setelah diagnosis pesakit iaitu haiwan yang disahkan dan tiada pun preskripsi untuk pesakit seperti Covid-19.
Justeru kata beliau, sekiranya ada individu yang ditahan kerana menjual ubat tidak diluluskan, sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun. – UTUSAN ONLINE










