Iktiraf jawatankuasa sempadan - Utusan Malaysia

Iktiraf jawatankuasa sempadan

Hasni Mohammad. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengiktiraf pembentukan jawatankuasa me­­libatkan Johor-Singapura ba­gi membincangkan pembuka­an sempadan kedua-dua negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ketiadaan pengiktirafan terhadap jawatankuasa itu mungkin menyebabkan proses ke arah pembukaan semula laluan darat paling sibuk itu akan memakan masa lebih lama.

Ujar beliau, hal ini kerana perbincangan terhadap setiap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan di peringkat negeri perlu dibawa ke peringkat kebangsaan sebelum kerajaan menerusi Kementerian Luar berbincang dengan Singapura.

“Saya rasa proses tu boleh dipermudahkan melalui pembentukan jawatankuasa khas secara terus antara Johor dengan Singapura. Dalam jawatankuasa itu juga kita boleh menyentuh soal vaksin kepada mereka yang ingin bekerja di sana dan perkara-perkara lain yang berkaitan,” katanya di sini semalam.

Pintu sempadan Malaysia-Singapura di Tambak Johor dan Linkedua ditutup hampir dua tahun sejak 18 Mac tahun lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi membendung pandemik Covid-19.

Mengulas kepentingan lain jawatankuasa itu, kata Hasni, Johor lebih memahami keadaan antara negeri itu dan Singapura melalui kerjasama erat yang terjalin selama ini, selain hubungan antara rakyat kedua-dua negara dan negeri itu yang amat rapat.

“Johor dan Singapura bukan hanya penting dari segi pekerjaan tetapi juga ekonomi secara keseluruhan, kita perlu mengambil kira (pembukaan) sempadan yang boleh membenarkan mereka berulang-alik setiap hari.

“Justeru, dalam masa terdekat melalui Sidang Khas MKN, saya akan kemukakan cadangan kepada kerajaan tentang satu jawatankuasa khusus antara Johor-Singapura dapat diberi pengiktirafan untuk kami berbincang bersama-sama.

“Faktor ini kerana saya tahu Johor lebih memahami keadaan dan suasana serta hubungan kerjasama dalam segi people to people antara rakyat yang saya rasa lebih biasa bagi orang Johor sendiri,” katanya.

Bercakap lebih lanjut, Hasni berkata, langkah-langkah awal juga telah dibuat oleh kerajaan negeri seperti ‘Johor Immunity Planning System’ (Johor ImmuPlan) iaitu program vaksinasi khusus kepada barisan hadapan ekonomi negeri termasuk mereka yang berhajat bekerja di Singapura.

“Lebih 100,000 yang berdaftar dengan majoritinya adalah mereka yang mahu kembali ke Singapura, walaupun kita tahu ada sekitar 250,000 ke 300,000 rakyat bekerja di sana mungkin bakinya telah mendapat vaksin melalui MySejahtera.

“Angka 100,000 itu sahaja sudah menjadi penanda bahawa harapan tinggi untuk sempadan negara kembali dibuka walaupun kita sudah mulakan dengan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang kini digantung sementara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×