Khoon Hooi, bukan sekadar terkenal sebagai jenama busana mewah, elegan dan penuh gaya pilihan wanita. Ia juga adalah bukti hasil kreatif pereka fesyen tersohor, Lee Khoon Hooi. Setiap satu busana rekaannya pasti mencuri perhatian peminat fesyen tempatan dan antarabangsa.
Jenama dan label Khoon Hooi terkenal dengan pakaian malam dan gaun yang dibuat dengan sempurna dan kaya dengan perincian. Sesuai untuk digayakan oleh selebriti di permaidani merah dan sudah tentunya untuk saat-saat istimewa dalam kehidupan wanita.
Sempena musim luruh 2021, Khoon Hooi memperkenalkan koleksi busana glamor dan mewah yang berfokus kepada alam semesta dan pengembaraan di angkasa lepas. The Cosmos, itulah nama koleksi musim luruh sejuk 2021 Khoon Hooi.
“Musim ini, fokusnya adalah pada The Cosmos. Perjalanan ini bermula dari angkasa lepas dengan rasa optimis bebas dari pandemik yang suram. Ia turut diilhamkan melalui glamor futuristik filem sains fiksyen.
“Ia turut mencerminkan penampilan galaksi dan cakerawala di mana bentuk feminin dan gelembung yang menarik digabungkan untuk mewakili khayalan memakai busana ke majlis di ruang angkasa,” katanya kepada Utusan Malaysia. Himpunan ini boleh didapati di butik APW Bangsar dan melalui laman www.khoonhooi.com.
Tidak pernah ketandusan idea, katanya inspirasi untuk setiap rekaan diperoleh ketika berjalan dan melancong ke merata tempat.
“Saya selalunya akan mempamerkan koleksi saya di Paris Fashion Week dua kali setahun pada bulan Februari dan September. Pada masa itulah saya akan mengambil kesempatan untuk berjalan untuk take in the culture untuk koleksi yang akan datang,” katanya. Namun disebabkan perintah kawalan pergerakan, Khoon Hooi terhalang untuk melakukannya. Kini katanya, inspirasi banyak terhasil menerusi drama bersiri yang ditonton menerusi Nettflix.Food dan Art kerana beliau tidak dapat keluar mencari idea di galeri dan muzium seperti biasa.
Gaun anggun dan mewah
The Cosmos dibezakan melalui perincian menarik yang menampilkan keindahan alam semesta, keajaiban cakerawala dan warna yang mempesona dari pembentukan nebula.
Ia terlihat jelas melalui rekaan pada garis tengah gaun retro yang kembang.
Banyak menggunakan kain lame hingga kain tafeta, dua warna ini memberikan impak kilauan dalam menterjemahkan alam semesta. Sulaman diilhamkan daripada motif buruj dan bintang juga turut diperincikan pada setiap koleksi.
Sebagai contoh, Maia adalah gaun kembang daripada kain taffeta fuchsia terang dengan lengan cape yang diperkemaskan dengan tali pinggang bersimpul daripada baldu.
Luna pula gaun malam cape tanpa lengan daripada kain tafeta hijau berkilat.
Ia diserlahkan dengan perincian kristal hiasan berkilau.
Peminat gaun tanpa tali baldu warna-warni dengan perincian ruffle untuk korset boleh memilih gaun Ophelia.









