PEMIKIR Russia Mikhail Bakhtin pernah berkata, makhluk yang boleh bertahan dengan apa sahaja persekitaran dalam sesebuah pesta keraian adalah badut. Dia sentiasa terlepas dari apa sahaja perkara sama ada yang baik mahupun yang buruk. Diejek, diperlekeh, dipermainkan atau mungkin kadang-kadang dihina, badut tetap memainkan peranannya.
Bakhtin menggunakan analogi badut untuk merujuk kepada rakyat biasa yang menggunakan satira, parodi dan humor sebagai kaedah yang berkesan memerangi golongan yang menindas mereka terutama pemimpin politik. Sama ada kita sedar atau tidak situasi ini berlaku di Malaysia, di mana rakyat menggunakan bahan-bahan jenaka untuk menyindir tindakan atau perbuatan mana-mana pemimpin.
Kalau lihat di media sosial, satira, parodi dan jenaka banyak digunakan untuk menegur pemimpin atau untuk menyatakan rasa kurang senang dengan sesuatu tindakan atau dasar.Banyak parodi dihasilkan untuk memberitahu bahawa sesuatu itu tidak sepatutnya dilakukan atau berlaku.
Cuma satu perkara yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh Bakhtin iaitu bukan sahaja rakyat menggunakan satira untuk meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap pemimpin, dia gagal meramal bahawa akan ada rakyat yang memilih badut-badut sebagai pemimpin mereka. Atau individu yang hebat boleh menjadi bahan jenaka setelah dipilih menjadi pemimpin.
Lebih buruk lagi akan ada pemimpin di akhir zaman ini yang mengubah landskap politik sebagai pentas komedi besar. Ia apabila yang dilantik memegang jawatan penting mengubah politik menjadi satu persembahan lawak demi mencapai kepentingan peribadi mereka.
Sekarang ini unsur jenaka ini mula muncul dalam arena politik Malaysia. Sebab itu istilah katak digunakan secara meluas oleh rakyat marhaen merujuk kepada pemimpin-pemimpin politik yang melompat ke sana sini. Walaupun mereka bersumpah mengatakan itu adalah demi rakyat, tapi realitinya semua orang tahu kenapa mereka berbuat demikian.
Para pemimpin ini pula rela digelar katak dan pelbagai gelaran lagi oleh rakyat daripada bertindak meluluskan segera akta atau peraturan yang berkaitan dengan lompat parti. Syor demi syor dan cadangan demi cadangan telah dikemukakan tetapi ia ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Kenapa? Mungkin mereka takut jika perkara ini dilaksanakan mereka tidak lagi boleh bertindak mengikut kepentingan peribadi.
Undang-undang khusus antilompat parti ini tidak sukar jika ia mahu dilaksanakan. Usaha murni ini hanya memerlukan sebahagian besar ahli Parlimen tampil menyokong usulnya.
Jika mahu membendung unsur tidak amanah dan politik jenaka dalam negara kita, undang-undang seperti ini perlu disokong sebagai satu penyelesaian atau jalan keluar kepada budaya lompat parti yang telah menjadi bahan lawak di seluruh dunia. Jika para pemimpin ini serius, mereka perlu ikhlas menyokongnya waima jika perlu pinda Perlembagaan sekalipun. Ia mesti diusahakan dan pandangan itu harus diambil serius.
Kononnya negara kita mendukung prinsip demokrasi dengan rakyat berkuasa memilih pemimpin untuk mewakili mereka di Parlimen dan seterusnya membentuk kerajaan. Tetapi selepas dipilih, pemimpin ini lebih berkuasa daripada rakyat untuk menentukan siapa yang akan mereka sokong dan ke mana mereka akan melompat. Akhirnya bukan sahaja amanah rakyat yang dilanggar, tetapi negara juga huru hara. Walaupun tindakan mereka itu masih berlandaskan perlembagaan tetapi ia bertentangan dengan hasrat dan aspirasi rakyat.
Begitu juga dengan 49 cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC). Sampai sekarang ia dipandang sepi. Kenapa? Sebab, jika syor itu dilaksanakan ia mungkin menghalang ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita daripada bertindak sesuka hati. Untuk mengelakkan perkara itu, maka segala syor dan cadangan untuk menambah baik sistem dan memantapkan sistem demokrasi berparlimen negara ini dibiarkan begitu sahaja.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar turut hairan kerana jawatankuasa itu sudah selesai menjalankan tugasnya dan mengeluarkan laporan mengandungi 49 syor dan telah pun diserahkan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, laporan berkenaan tidak didedahkan, malah parti-parti politik dan rakyat selaku stakeholder utama masih menunggu jawapan.
“Bilakah antara syor-syor ERC itu boleh dilaksanakan? Atau, masih ketiadaan iltizam politik di pihak siapa jua yang menang menjadi kerajaan?” Soalnya.
Antara syor oleh jawatankuasa itu ialah menggubal Akta Parti Politik untuk mewujudkan keseragaman dan keadilan keseluruhan aspek perjalanan institusi politik di negara ini yang bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi kerajaan.
Aspek kedua dalam transformasi politik dan pilihan raya ialah menyediakan perundangan bagi sistem Pilihan Raya Semula (Recall Election) sebagai cara berkesan menghalang perbuatan lompat parti oleh wakil-wakil rakyat.
Ini akan dapat mencegah perbuatan lompat parti dengan cara menarik balik kerusi yang dimenangi. Wakil rakyat itu boleh melompat ke mana-mana parti yang dimahukannya, tetapi kerusi yang dimenanginya tidak boleh dipindahkan kepada mana-mana parti politik lain bertujuan menjatuhkan kerajaan yang dipilih.
Tetapi malangnya semua perkara baik sukar mendapat sokongan daripada pemimpin politik di negara kita. Mereka lebih suka menjadi badut yang digelar katak dan ditertawakan di seluruh dunia daripada bersama-sama membentuk satu sistem yang komprehensif yang mengangkat sistem demokrasi di negara ini ke tempat yang lebih tinggi. Ini juga akan menjadikan sistem politik di Malaysia lebih dihormati berbanding sekarang yang kadang-kadang dijadikan bahan jenaka.
Para pemimpin yang enggan menyokong perubahan dan penambahbaikan ini sebenarnya telah mengubah politik termasuk institusi Parlimen menjadi satu bentuk pesta atau karnival. Tempat di mana mereka boleh melakukan apa sahaja sesuka hati tanpa mempedulikan kemahuan rakyat. Rakyat pula menjadi penonton hanya mampu ketawa dan kadang kala menggelengkan kepala kerana sukar mempercayai tingkah laku dan ayat-ayat yang keluar dari mulut para pemimpin yang mereka pilih ini.
Jika kita mahukan sebuah negara dengan sistem demokrasi dan politik yang stabil, jenaka politik yang sedang berlaku tidak boleh dibiarkan berterusan. Ini memerlukan komitmen dan iltizam para pemimpin kita. Hendak seribu daya tidak mahu akan diberikan seribu dalih.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia