Setelah berbulan-bulan tidak pekena nasi minyak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya dapat juga saya menikmatinya bersama ayam masak merah dan daging masak hitam ketika menghadiri satu majlis perkahwinan di Shah Alam, Selangor, minggu lalu.
Memahami penularan Covid-19 yang masih tidak menunjukkan tanda ‘lenyap’ dari bumi, saya akur untuk tidak bersalam ketika bertemu keluarga dan sanak saudara, selain mengekalkan penjarakan fizikal.
Tuan rumah juga tidak memandang enteng arahan Kementerian Kesihatan untuk memastikan tetamu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka, mengambil suhu badan, menyediakan sanitasi tangan dan mendaftar tetamu melalui aplikasi MySejahtera. Cukup cantik susunan majlis bagi mengelakkan penularan pandemik.
Malangnya, pihak katering seperti lepas tangan apabila gagal memastikan pekerjanya mengambil langkah sepatutnya. Senduk yang sama digunakan oleh tetamu untuk mencedok makanan sama ada di meja bufet atau meja beradab. Selain tidak memastikan penjarakan fizikal tetamu yang beratur mengambil makanan.
Tidakkah mereka terfikir, berapa ramai memegang senduk yang sama? Jika ada seorang pembawa Covid-19, tidakkah ramai yang boleh dijangkiti?
Ketika itu saya tertanya-tanya, di mana pengurus atau perancang perkahwinan sepanjang empat jam majlis berlangsung? Jika saya sendiri pun terkilan dengan sikap sambil lewa perancang majlis, apatah lagi tuan rumah yang sudah berhabis puluhan ribu ringgit.
Tidak dapat dibayangkan, perasaan barisan hadapan yang masih belum hilang penat merawat pesakit Covid-19 dan perlu berhadapan dengan pesakit baharu. Mereka tentu kecewa sekiranya berada di tempat kejadian sambil melihat dengan mata sendiri, kealpaan dan kelalaian perancang majlis.
Tolonglah pengendali majlis, jangan ambil ringan perkara ini. Bukan sahaja memudaratkan kesihatan tetamu, kalau perkara buruk berlaku, sudah pastinya perniagaan anda juga turut terjejas.
Janganlah kerana sikap acuh tak acuh anda, semua pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan terpaksa menunda majlis. Akhirnya membawa kesusahan serta kekecewaan kepada mereka yang sudah merancang untuk bersatu di mahligai indah.










