“IINILAH Pahang. This is Pahang – satu perkara yang boleh kita tonjolkan untuk menunjukkan negeri kita adalah istimewa berbanding negeri-negeri lain,” kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 25 Ogos lalu.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan menjunjung kasih atas titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menyempurnakan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, dua hari sebelumnya.
Ia sebagai maklum balas kepada perbahasan oleh Datuk Mustapha Long (BN-Padang Tengku) pada 24 Ogos, antara lain memuji pentadbirannya hingga menjadikan Pahang aman, tidak sepertimana di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Sukacita saya katakan bahawa Muafakat Nasional (MN) serta kerjasamanya dengan Barisan Nasional (BN) negeri, is our way forward, waima apa pun yang mungkin berlaku di peringkat pusat (serta di negeri-negeri lain), kita akan teruskan kerjasama kita dalam MN, insya-Allah,” kata Wan Rosdy merujuk kepada perbahasan yang menyentuh hal sama oleh Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin (BN-Dong) pula.
Pada malam 23 Ogos sebelum itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu dalam program bual bicara langsung secara dalam talian, turut bercakap mengenai MN dan Perikatan Nasional (PN) serta pendirian Pas terhadap kedua-duanya.
“Ada kata (Pas) tak ada pendirian, ada yang kata main dua, tiga kolam. Bagi Pas, main 10 kolam sekalipun, asalkan ia mendatangkan kebaikan apa salahnya,” kata Andansura.
Dalam konteks MN di negeri ini bagaimanapun, Andansura menegaskan, Pahang ialah model terbaik apatah lagi dengan kejujuran dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Wan Rosdy sendiri.
Oleh itu beliau yang juga wakil rakyat (Pas-Beserah) berharap parti-parti komponen dalam PN ditunjangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menerima hakikat tersebut.
Perkembangan terbaru ini tentu menarik sekali setelah lama menyepi ekoran didominasi dan diselubungi kemelut apabila Kerajaan Persekutuan ketika itu yang dikemudi PN khususnya Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima tamparan hebat akibat penarikan sokongan UMNO terhadapnya.
Ekoran itu, Muhyiddin yang mengakui kehilangan majoriti dalam Dewan Rakyat meletakkan jawatan pada 16 Ogos, digantikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos lalu.
Kali terakhir cakap-cakap mengenai MN di Pahang ialah kira-kira empat bulan lepas pada 28 April semasa kedua-dua UMNO dan Pas Pahang memeterai perjanjian MN dalam majlis ringkas di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar, Kuantan.
Perjanjian ditandatangani oleh Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dengan Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar. Perjanjian tersebut susulan majlis menandatangani Piagam MN peringkat pusat di Kuala Lumpur pada 14 September 2019.
Perjanjian antara lain memberi jaminan kedua-dua parti tidak akan meletakkan calon masing-masing bertanding di kerusi-kerusi DUN yang telah sedia dimenangi calon daripada parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Kedua-dua parti juga bersetuju untuk tidak menjalinkan kerjasama atau menyokong mana-mana calon yang bertanding di mana-mana 33 kerusi DUN yang telah sedia dimenangi oleh parti masing-masing pada PRU-14.
Bagi sembilan lagi kerusi yang kini diduduki oleh parti-parti Pakatan Harapan (PH) iaitu tujuh DAP dan dua PKR, dipersetujui agar perbincangan lanjut diadakan bagi menentukan calon mana dalam kalangan UMNO/BN dan Pas akan bertanding di sana.
Ketika ditemui dalam majlis sama, Rosli ditanyakan tentang perjanjian tersebut dan katanya, “sekarang ini tindakan kita ialah untuk beritahu Bersatu supaya tidak bertanding di Pahang, tidak mengambil (mana-mana) kerusi.”
Beliau juga berkata, “tugas Pas Pahang sekarang ialah untuk maklum kepada (Pas) pusat dan sebagaimana UMNO (negeri) meminta kepimpinan UMNO pusat memberi kebebasan kepadanya.”
Dan perjanjian bersejarah ini dilihat kemuncak kepada ‘momentum’ yang baik dan lancar sebelum itu, bermula dengan kerjasama kedua-dua UMNO/BN dan Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari 2019 hingga menyaksikan calon UMNO/BN menang besar.
Ini disusuli Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) Pahang menghimpunkan 10,000 ahli dari kedua-dua parti di Padang MPK 2, Kuantan pada 26 April 2019. Hasil kerjasama erat UMNO/BN dan Pas sekali lagi memastikan kemenangan selesa calon UMNO/BN pada PRK DUN Chini, 4 Julai 2020.
Tak sampai pun sebulan kemudian, persepakatan keduanya-duanya terserlah lagi dengan memperoleh sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu kesemua 24 UMNO, lapan Pas dan seorang daripada MCA bagi maksud untuk meluluskan sebuah rang undang-undang (RUU).
Dengan sokongan 33 ADUN ini, berjaya memperoleh majoriti lebih dua pertiga dalam DUN yang mempunyai 42 kerusi, untuk RUU berkenaan – Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2020 berkaitan pelantikan tidak lebih lima ADUN (dilantik) tanpa melalui proses pilihan raya diluluskan.
Begitulah sudah teruji dan terbukti persepakatan kukuh antara UMNO khususnya dengan Pas dalam MN Negeri, seterusnya turut melibatkan BN yang mempunyai MCA dan MIC sebagai parti komponen di Pahang.
Apa yang diperkatakan semula tentang MN negeri dalam tempoh seminggu dua kebelakangan ini, boleh dikatakan sebagai pengesahan semula lebih jitu kepada persepakatan MN negeri, demi menghadapi dengan jaya PRU-15 kelak.
PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa.










