PETALING JAYA: Sektor perhotelan mencatatkan kerugian mencecah RM15.5 bilion sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu hingga Ogos tahun ini.
Daripada angka tersebut jumlah kerugian dicatatkan sebanyak RM6.5 bilion pada Mac hingga hujung tahun lalu manakala RM9 bilion direkodkan bermula Januari hingga Ogos tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng berkata, jika keadaan berterusan ia akan menjejaskan kelangsungan hidup bukan sahaja membabitkan 3.6 juta yang terlibat sektor pelancongan tetapi rakyat secara keseluruhan.
Menurut beliau, kadar pemulihan sektor pelancongan terutamanya perhotelan lebih bergantung kepada arahan larangan rentas negeri walaupun di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 dan 3.
“Kelonggaran yang diberi dalam negeri-negeri ini tidak memberi impak tinggi sekiranya rakyat tidak dibenarkan rentas antara negeri, terutamanya apabila Kuala Lumpur dan Selangor masih berada dalam Fasa 1 yang menjadi pasaran utama untuk pelancongan domestik,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Datuk Azlie Halim berkata, sektor pelancongan dijangka pulih lebih cepat berbanding unjuran awal susulan kejayaan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang giat dijalankan di seluruh negara.
“Berdasarkan perancangan menerusi pelan PPN, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menjangkakan aktiviti pelancongan dapat dilaksanakan di destinasi pelancongan yang mempunyai kadar imuniti kelompok yang tinggi iaitu melebihi 80 peratus penduduknya telah divaksin.
“Malah, sebagai projek perintis Pulau Langkawi dan beberapa pulau peranginan seperti Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan Pulau Redang dijangka dibuka kepada pelancong domestik yang lengkap dua dos vaksin dan selesai tempoh 14 hari bagi vaksin kedua,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Azlie, pengusaha seharusnya berganding bahu bersama-sama, menyemarakkan semula industri pelancongan negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi.
Terdahulu, Terengganu telah membuka semula lokasi pelancongannya sejak 1 September kepada pengunjung yang lengkap vaksinasi.
Lokasi pelancongan pulau i negeri itu seperti Pulau Kapas di Marang, Pulau Redang di Kuala Nerus dan Pulau Tenggol di Dungun, selain Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.
Mengulas lanjut Azlie memberitahu, berdasarkan tinjauan Tourism Malaysia, persepsi rakyat mengenai pelancongan domestik selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ke atas 13,797 individu di negara ini mendapati 50.9 peratus responden mempercayai bahawa melancong dalam negara lebih selamat.
Sebanyak 84.2 peratus mempercayai Covid-19 mempengaruhi sikap mereka untuk mengembara dan 71.3 peratus memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan berbanding ke luar negara.
Malah, dalam tinjauan itu juga mendapati 30.7 peratus individu dalam kajian ingin bercuti antara enam bulan sehingga setahun, diikuti 22.8 peratus (dua hingga enam bulan) dan 22.6 peratus kurang dari dua minggu,” katanya. – UTUSAN











