PETALING JAYA: Pakar kesihatan berpendapat sudah tiba masanya pesakit kategori tiga dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) susulan jumlah pesakit di kebanyakan PKRC sudah berkurangan.
Cadangan tersebut kerana banyak kematian akibat Covid-19 sebelum tiba ke hospital atau Brought in Dead (BID) direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Kematian harian BID tiga hari lalu mencatatkan 104 kes, dengan 51 daripada 285 kematian dicatatkan Ahad lalu, manakala 53 daripada 295 kematian direkodkan Isnin lalu.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, antara faktor berlakunya BID adalah apabila KKM membenarkan pesakit katogeri 1 hingga 3 dibenarkan kuarantin di rumah tanpa pemantauan kakitangan kesihatan.
“Isu di sini melibatkan pengetahuan pesakit mengenai nilai bacaan normal, seperti bacaan nadi oksimeter bawah 96 peratus yang tidak normal.
“Lebih membahayakan sekiranya alat ini tertanggal semasa tidur. Pesakit perlu lekatkan alat tersebut di jari menggunakan penampal, selain memilih alat penggera apabila turun daripada bacaan normal, jika tidak, akan menyebabkan happy hipoksia dengan reaksi sesak nafas,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, penurunan paras oksigen dalam badan sangat bahaya kerana ia tanpa gejala yang boleh membawa kepada pesakit itu terus sesak nafas.
Kata Dr. Hanafiah lagi, BID juga berlaku disebabkan ahli keluarga pesakit berpindah ke rumah saudara setelah mereka disahkan positif maka kesannya apabila pesakit memerlukan bantuan, tiada sesiapa dapat membantu mereka.
Senada dengan beliau, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, sekiranya individu sudah divaksin, sepatutnya jangkitan berada pada kategori 1 dan 2.
“Apabila belum divaksin terutamanya mempunyai masalah komobiditi termasuk masalah jantung, buah pinggang, kegemukan dan mengandung, mereka berpotensi beralih kepada kategori 3, 4 dan 5 dengan cepat sekiranya tidak tahu dijangkiti,
“Kerajaan perlu menggalakkan pemberian vaksin untuk mengatasi perkara ini, termasuk di negeri-negeri yang belum mencapai kadar vaksinasi 50 peratus dan kawasan luar bandar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berisiko tinggi,” jelasnya.
Menurut beliau, inisiatif program turun padang perlu ditingkatkan dengan mengerahkan pasukan pemvaksinan ke kawasan luar bandar dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – UTUSAN











