Pekerja belakang tabir lalui kerenah birokrasi - Utusan Malaysia

Pekerja belakang tabir lalui kerenah birokrasi

Timbul persoalan sampai bila pekerja belakang tabir akan terus melalui pelbagai kerenah untuk menagih hak mereka. Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Walau patah kaki sekalipun, ada kru disuruh datang ke pejabat untuk proses tuntutan insurans.”
Itu antara birokrasi dihadapi seorang pekerja filem kemalangan ketika pulang dari kerja dan mahu membuat tuntutan insu­rans menerusi Persatuan Pekerja Filem Profesional (Profima).

Pengarah Sinematografi, Madnor Kassim berkata, birokrasi tersebut menimbulkan persoalan di sebalik kewujudan dan fungsi persatuan serta agensi lain yang dikaitkan dengan industri perfileman termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasio­nal Malaysia (Finas).

Selain itu, menurut beliau, pekerja filem terutama kru teknikal yang berdepan risiko kemalangan di tempat kerja turut menghadapi masalah isu gaji yang sehingga kini tiada penyelarasan.

“Saya masuk industri ini tahun 1989. Dahulu gaji lebih baik berbanding sekarang. Sebagai contoh pendapatan pembantu penata cahaya RM100 hingga RM120 sehari dengan tempoh pengambaran 14 hari. Tetapi kini antara RM80 sehingga RM120 sahaja tetapi masa bekerja pula kadangkala hampir 20 jam sehari dan tempoh penggambaran lebih pendek.

“Sekarang wujud fakulti atau institusi yang mengajar perfileman bagai ‘cendawan tumbuh lepas hujan’.
“Tetapi apa nasib dengan industri ini dalam aspek keseluruhannya? Mampukah kita menyaingi industri filem negara jiran kalau masalah masih berlarutan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim berkata, Finas perlu melakukan beberapa rombakan terhadap modul kursus yang disediakan kepada pekerja belakang tabir perfileman negara sebagai langkah meningkatkan kemahiran mereka.

“Sepatutnya, Finas buat dalam skala lebih besar. Setiap kali kursus sepatutnya peserta perlu mendapatkan sokongan persatuan dan selepas itu diberikan sijil sebagai pengesahan,” kata beliau.

Bagi kru yang hanya mahu dikenali sebagai Isa berkata, dia terpaksa bekerja melebihi tarikh tamat kontrak dengan bayaran tidak setimpal antara pengalaman dan risiko bekerja dalam industri perfileman negara.

Apa yang mendukacitakan, ada segelintir penerbit seolah-olah mengambil kesempatan ko­nonnya syarikat tersebut mempunyai banyak kerja lain yang akan diberikan kepada kru terbabit sekiranya kerja diteruskan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×