Bukan mudah isi sebuah kemerdekaan - Utusan Malaysia

Bukan mudah isi sebuah kemerdekaan

TEMA kemerdekaan bukanlah hanya satu slogan berbentuk retorik semata-mata untuk menghiasi Hari Kebangsaan. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Kebangsaan, iaitu hari yang begitu bermakna bagi mereka yang memahami betapa sukarnya untuk mencapai kemerdekaan. Namun, terdapat amanah yang lebih berat untuk Malaysia bagi mengisi sebuah kemerdekaan selepas 64 tahun.

Setiap kali menyambut ulang tahun kemerdekaan, kita disajikan dengan tema. Satu persoalan yang harus ditanya, sejauh manakah tema kemerdekaan ini dapat difahami dan dihadamkan oleh rakyat?

Tema kemerdekaan sebenarnya amat berkait rapat dengan mengisi sebuah kemerdekaan. Jika kita lihat mulai 1970-an, pelbagai tema diperkenalkan. Pada 1970 misalnya, tema kemerdekaan ialah Muhibah dan Perpaduan, manakala pada 1974, Sains dan Teknologi Alat Perpaduan.

Sepanjang 1974 hingga 2021, hanya sekali tema yang menyentuh berkenaan sains dan teknologi. Dari 1979 hingga 1982, tema kemerdekaan menekankan pentingnya disiplin. Selama empat tahun berturut-turut tema disiplin tersebut diguna pakai seperti Bersatu Berdisiplin (1979), Berdisiplin Berbakti (1980), Berdisiplin Berharmoni (1981) Berdisiplin Giat Maju (1982) dan pada 2020 serta 2021, Malaysia Prihatin.

Tema kemerdekaan bukanlah hanya satu slogan berbentuk retorik semata-mata untuk menghiasi Hari Kebangsaan dan berakhir selepas 31 Ogos tetapi merupakan satu gagasan yang mengisi sebuah kemerdekaan dan dapat diterjemahkan di dalam sanubari pemimpin dan rakyat.

Begitu juga pandemik Covid-19 yang melanda dunia memberikan impak yang besar terhadap pengisian sebuah kemerdekaan. Kita kini berdepan dengan pelbagai krisis yang perlu ditangani segera bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Oleh itu, amatlah penting untuk kita merangka pengisian kemerdekaan agar rakyat dapat terus menikmati kehidupan mereka dengan lebih bermakna.

Untuk memahami dengan lebih jelas bagaimana mengisi sebuah kemerdekaan, kita memerlukan contoh dengan melihat kepada sejarah negara Jepun. Jepun sekitar 1870-an dipimpin oleh kerajaan tentera Shogun yang korup menyebabkan rakyatnya mundur dan berada dalam keadaan kemiskinan. Pelbagai kekerasan dan kekejaman dilakukan oleh kerajaan Shogun kepada rakyatnya. Mereka dihalang kebebasan bersuara, ditindas dan tidak dibenarkan bergerak sesuka hati.

Akhirnya rakyat bangkit dan melawan kerajaan Shogun. Setelah kerajaan Shogun jatuh, rakyat mengangkat Maharaja Meiji sebagai pemimpin mereka. Maharaja Meiji memilih pemimpin dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada golongan cerdik pandai dan mempunyai kepakaran untuk menerajui negara. Akhirnya, Jepun menjadi negara moden dan maju seperti yang dapat dilihat pada hari ini.

Yang paling penting dalam mengisi kemerdekaan ini ialah jiwa yang merdeka. Jiwa yang merdeka bukanlah bermaksud bebas melakukan apa-apa sahaja tanpa batas sempadan. Sebuah negara yang merdeka belum tentu mampu melahirkan rakyat berjiwa merdeka. Memahami jiwa merdeka bukanlah secara berteori tetapi lebih kepada praktikal.

ASTRAZENECA
Cuba lihat kepada dua contoh rakyat yang berjiwa merdeka. Pertama, siapakah watak di sebalik vaksin AstraZeneca? Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, ada insan yang sedang sibuk bekerja di makmal siang dan malam untuk menghasilkan vaksin bagi menyelamatkan umat manusia di dunia ini. Beliau ialah Profesor Dr. Sarah Catherine Gilbert. Beliau yang berusia 59 tahun merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menemukan vaksin AstraZeneca.

Apa yang menarik, beliau menyarankan agar pembuatan vaksin AstraZeneca tidak dipatenkan sepenuhnya supaya mana-mana syarikat yang mampu mengeluarkan vaksin boleh melakukannya untuk mencapai komuniti global. Sarah menolak untuk menjadi jutawan dengan mengkomersialkan penemuan beliau. Menurutnya, yang lebih utama ialah nyawa manusia, bukan wang ringgit.

“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.” (Al-Hujuraat: 18)

Contoh kedua, seorang atlet wanita Filipina angkat berat kategori 55 kilogram di Sukan Olimpik, Jepun baru-baru ini. Hidilyn Diaz terkandas di Malaysia kerana wabak Covid-19. Dengan hanya berlatih di belakang rumah di sebuah kampung di Jasin, Melaka, dia berjaya menyumbangkan pingat emas Olimpik untuk negaranya.

Dalam mengisi sebuah kemerdekaan, elemen asas yang terpenting bagi seseorang pemimpin ialah meritokrasi, pragmatik dan kejujuran. Meritokrasi ialah kita memilih pemimpin yang paling terbaik dalam kalangan rakyat melalui kejayaan yang telah dicapai dalam hidup mereka dan bukan berdasarkan kepada populariti. Kejujuran atau amanah pula ialah elemen terpenting dalam kepimpinan.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukuman di antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat.” (An-Nisaa: 58)

Pragmatik pula lebih kepada pelaksanaan berbanding dengan berteori dan berfalsafah atau dalam bahasa Inggeris, to be concerned with result rather than theory.

DR. Nor Azaruddin Husni Nuruddin ialah Felow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×