Merdekakan bangsaku, Bangsa Malaysia - Utusan Malaysia

Merdekakan bangsaku, Bangsa Malaysia

MERDEKA berasal daripada perkataan Sanskrit, maharddika bererti kaya, sejahtera dan berkuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAPA Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersama pemimpin MCA dan MIC berjaya mendapatkan kemerdekaan negara daripada British melalui Perjanjian London pada 8 Februari 1956.

Kejayaan itu membolehkan negara ditadbir secara aman dan damai mengikut lunas perlembagaan kita sendiri. Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh Allahyarham Tunku pasti terpahat dalam kenangan kita.

Kelmarin, kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-64. Setelah 64 tahun merdeka, apakah Malaysia benar-benar merdeka? Merdeka yang berasal daripada perkataan Sanskrit, maharddika bererti kaya, sejahtera dan berkuasa.

Apakah negara sudah merdeka dari segi pemikiran minda rakyatnya, kesejahteraan penduduknya dan dari segi fahaman dan kuasa politik? Bila Datuk Lee Chong Wei, Datuk Azizul Hasni Awang atau pun wira paralimpik, Bonnie Banyau bertanding dalam sukan Olimpik, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum serta etnik bersorak, menyokong dan memberi kata-kata semangat demi kemenangan negara tercinta.

Semangat inilah yang perlu untuk membina negara ke arah kecemerlangan.

BUMI EMAS

Seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung konsep Keluarga Malaysia yang mengajak kita semua bersama-sama demi kepentingan negara haruslah disahut oleh seluruh rakyat yang inginkan Malaysia sejahtera dan maju dari sudut kesejahteraan, ekonomi, politik dan sosial.

Rakyat haruslah belajar menghormati agama dan tradisi kaum-kaum lain supaya dapat saling mempereratkan dan memperkukuhkan tali persaudaraan yang dikecapi sekian lama.

Jangan biarkan sesuatu insiden yang khusus dijadikan tanggapan dan membuat andaian terhadap sesuatu suku kaum. Pada umumnya, nenek moyang kita yang berasal dari Kepulauan Sulawesi, China dan India telah berhijrah ke swarna bumi (bumi emas) Malaya mencari nafkah hidup.

Asalnya kampung, kampung baharu dan estet telah membentuk kepelbagaian kita dan membentuk tradisi serta cara hidup. Semangat kejiranan pelbagai bangsa, kemesraan di sekolah dan aktiviti lain telah mengajar kita supaya bersatu.

Kepelbagaian kita ialah keunikan dan kekuatan masing-masing. Kita harus menjadi teladan kepada generasi muda yang mungkin tidak pernah merasai semangat kekitaan Bangsa Malaysia. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Inilah tanah tumpah darah kita demi Malaysia gemilang.

Ayuh, kita mempereratkan persaudaraan kita. Merdekakan bangsaku, Bangsa Malaysia.

PENULIS ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi MIC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×