Generasi muda Rusia tak minat baca buku? - Utusan Malaysia

Generasi muda Rusia tak minat baca buku?

ORANG Rusia dikatakan salah satu warga dunia paling banyak membaca. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI ini saya ingin membawa anda menelusuri dunia buku di Rusia. Baru-baru ini, saya sempat berbual dengan seorang ulat buku dari Rusia, Ekaterina, 22, yang merupakan seorang ahli bahasa dan pelajar pascasiswazah di sebuah universiti tempatan.

“Orang Rusia dikatakan sebagai salah satu warga dunia yang paling banyak membaca. Perkara ini berlaku sejak dari zaman Kesatuan Soviet yang mewajibkan pembelajaran sastera kepada seluruh rakyat tanpa mengira status sosial,” katanya.

Program yang dinamakan Likbez (singkatan bahasa Rusia bagi pembasmian buta huruf) diwujudkan bagi meningkatkan kadar peratusan mereka yang boleh membaca dan menulis.

Program ini ternyata berkesan apabila kadar celik huruf pada 1940-an meningkat kepada 90 peratus dibandingkan pada awal abad ke-20 yang hanya sekitar 20 peratus.

Kenaikan ini juga dikatakan sebagai bermulanya era budaya Rusia yang suka membaca. Bagaimanapun, sastera Rusia telah bermula semenjak sekian lama dahulu.

Sebagai contoh, karya pada abad ke-12 oleh Sami Nestor berjudul Kisah Tahun-Tahun Yang Berlalu. Penulisannya dijadikan sumber utama sejarah asal usul Rusia kuno.

Namun, memandangkan risalah itu ditulis dalam bahasa lama Timur Slavik, maka ia menjadi begitu sukar untuk dibaca pada masa kini. Ia turut menjadi rujukan kepada kebanyakan sejarawan dan ahli bahasa.

Menurut Ekaterina lagi, zaman keemasan sastera Rusia bermula pada abad ke-19. Nama-nama sasterawan tersohor seperti Alexander Pushkin, Mikhail Lermontov, Nikolai Gogol, Fyodor Dostoevsky, Leo Tolstoy, Ivan Turgenev dan Anton Chekhov terkenal di seluruh dunia.

Karya-karya mereka dikatakan sangat indah dan berkualiti. Bahkan ramai orang asing meminati budaya Rusia menerusi sastera khususnya daripada karya Tolstoy berjudul Perang dan Aman dan Saudara-Saudara Karamazov oleh Dostoevsky.

INTERNET

Ekaterina mencadangkan membaca penulisan Nikolai Gogol berjudul Sepetang di Ladang berdekatan Dikanka atau kisah-kisah pendek Checkov seperti Gemuk dan Kurus atau Bunglon.

Karya-karya berkenaan sesuai untuk mereka yang ingin mula memahami sastera Rusia. Legasi-legasi sasterawan hebat Rusia tidak dilupakan sehingga kini.

Kokurikulum sekolah rendah dan menengah di Rusia mewajibkan setiap pelajar untuk mempelajari sastera dari era berbeza. “Namun ramai orang Rusia mendakwa generasi baharu Rusia tidak lagi membaca buku, sebaliknya menghabiskan masa dengan internet.

Disebabkan perkembangan digital, maka orang ramai mula menumpukan pembacaan menggunakan aplikasi peranti digital.

“Saya percaya membaca menerusi peranti jauh lebih selesa daripada membawa buku-buku yang berat. Di samping itu, ia dapat menyelamatkan alam sekitar dengan menghalang pemusnahan hutan,” ujar Ekaterina.

Saya menyeru para pembaca dan penulis di negara ini agar menerokai dunia penulisan buku karangan sasterawan dari negara-negara berbeza.

Perbanyakkan bahan bacaan supaya kita boleh melihat dunia dari pelbagai perspektif. Yang penting, pastikan bahan bacaan itu tidak mempunyai unsur-unsur perkauman, sentimen agama keterlaluan dan perkara-perkara yang boleh merosakkan ­fikiran.

Kita juga berharap supaya buku-buku tempatan kita turut mendapat tempat di perpustakaan-perpustakaan di seluruh dunia.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×