Adakah orang Melayu rasis? - Utusan Malaysia

Adakah orang Melayu rasis?

ARSHAD AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PENGARAH pertama Institut Teknologi Mara (ITM), TUN DR. ARSHAD AYUB dikenali sebagai individu yang berjaya merealisasikan sasaran pendidikan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

ITM yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah melahirkan ramai golongan profesional dan kelas menengah bumiputera.

Pada 15 November ini, genap usianya 93 tahun tapi Arshad masih bersemangat, berkobar-kobar untuk menyumbang idea walaupun mungkin ada yang berkata, beliau sudah out of date (luput tarikh) untuk memberikan pendapat.

Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia yang ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, meluahkan kebimbangan berhubung pelabur meninggalkan negara ini dan mahu penguasaan kaum Melayu dalam jawatan utama universiti awam (UA) dan sekolah kebangsaan dihentikan.

SEKARANG LEBIH TERUK

UTUSAN: Boleh kongsi keadaan sebelum merdeka berbanding sekarang?

ARSHAD: Kita memang sudah jauh maju ke hadapan. Saya ingat kalau masa sebelum merdeka hanya ada tiga institusi pengajian tinggi (IPT).

Sekarang kita ada 20 UA dan berpuluh-puluh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan peringkat kolej serta politeknik.

Jadi, kita tidak boleh mena­fikan kemajuan yang kita telah capai, memang banyak pencapaian dan peluang-peluang yang diberikan.

Dari segi ekonomi dan kehidupan rakyat, kalau tanya saya, memang teruklah sebelum merdeka.

Tetapi jangan lupa, ketika itu orang tak ramai dan mereka tidak mempunyai kehendak bermacam-macam. Dan kalau duduk di kampung, tak ada berhutang sangat.

Bagaimana keadaan sekarang?

Sekarang hendak tambah kehidupan yang lebih baik, kita terus berhutang untuk beli motosikal, kereta, rumah dan makanan.

Jadi, sekarang kerana pandemik Covid-19, apabila kita sudah tak dapat bekerja, di mana kita nak cari duit?

Orang yang dapat gaji bulanan macam pegawai kerajaan tak ada masalah tetapi yang bekerja sendiri ini ada masalah besar.

Orang yang ada harta sedikit, dia pakai overdraft (kemudahan kredit daripada bank) tetapi itu berhutang juga.

Yang satu itu tak dapat bayar hutang dan satu lagi dapat berbelanja tetapi terus tambah hutang.

Kalau tanya dari segi (kehilangan) pendapatan, lagi teruk sekarang. Tak boleh kerajaan nak bantu semua. Duit itu mana dia nak dapat? Bukan kita boleh cap (duit). Nak cap boleh, tetapi besok berhutanglah.

Sebab itu (kerajaan) sebut sudah bilion dan trilion berhutang. Ini selain yang kena tipu itu (1MDB).

Ada orang berkata, berjimatlah. Tetapi kalau kita berhenti berbelanja, kalau kita berjimat RM500, jadi nilai sebanyak itu, ada orang lain tak dapat jual barang dia. Itu (memberi) kesan kepada ekonomi, kalau lama susahlah.

ALLAHYARHAM Abdul Razak Hussein (tengah) menghadiri majlis rasmi yang turut disertai Arshad Ayub (dua dari kanan) di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada 1973. – ARKIB UTUSAN

BIMBANG PELABUR LARI

Cabaran dihadapi kerajaan?

Kalau kita tengok, sesetengah mereka yang ada kelapa sawit, harga naik dan banyak syarikat yang untung serta yang gulung tikar pun ada.

Yang untung bayarlah cukai, kerajaan ambil ikut undang-undanglah. Jadi pegawai kerajaan, tengoklah supaya orang jangan mengelak cukai.

Ini sibuk kenakan gain tax (cukai keuntungan) tetapi orang itu sudah bayar (cukai syarikat). Lama-lama besok dia lari pula.

Bila kita kenakan cukai berlebihan, orang itu besok lari ke negara lain yang kurang mengenakan cukai. Kalau dia tidak setuju dengan politik kita pun, dia boleh tinggalkan negara ini.

KITA BELUM BERSATU

Apa kekurangan yang masih wujud sekarang?

Saya cakap betullah, ikhlas. Di peringkat prasekolah, berapa medium ada? Secara hafiz (agama Islam), Cina, India, Melayu dan Inggeris pun ada.

Kita bercakap mengenai persefahaman dalam kalangan masyarakat, tetapi sejak peringkat prasekolah pun sudah ada lima kaedah berlainan. Jadi, kalau nak bersatu, susah sikit.

Bila masuk sekolah rendah, ada tiga, sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil. Ada pula sekolah swasta yang gendangnya sudah lain.

Sekarang banyak orang yang menghantar anak ke sekolah swasta. Di peringkat IPTS, kebanyakan (pelajar) pula bukan Melayu. Ini kerajaan mesti ­ fikirlah.

Sebab itu saya cadangkan kerajaan menubuhkan suruhanjaya pendidikan untuk menambah baik di semua peringkat dari prasekolah hingga universiti. Ambil masa lama untuk kaji sehingga lima tahun pun tidak apa.

Kenapa bukan Melayu tidak hantar anak ke sekolah kebangsaan?

Kalau kita tengok, berapa ramai dia punya cikgu orang Melayu? Majoritinya orang Melayu dari atas sampai ke bawah.

Kelulusan dia pun kita mesti lihat dengan teliti dan bukan sekadar nak menjadi cikgu dengan mendapat diploma pendidikan sahaja, tidak cukup.

Berapa ramai yang ada (kemahiran) untuk mengajar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)?

Dahulu guru besar sekolah kebangsaan ada bukan Melayu tetapi sekarang susah (cari). Kalau ada pun sangat kecil bilangannya. Itu yang menjadi kebanggaan kita, (ramai) orang Melayu termasuk setiausaha kerajaan negeri Melayu.

Sebab itu orang Cina tidak mahu menghantar anak ke sekolah kebangsaan, melainkan mereka orang kurang berada.

Adakah terdapat naib canselor bukan Melayu di UA?

Di IPTS kebanyakan ada. Orang Melayu pun ada menjadi naib canselor di IPTS. Tetapi di UA yang 20 buah ini tidak ada, tetapi timbalan naib canselor ada.

Dahulu ada (naib canselor bukan Melayu), orang putih pun ada. Tetapi sekarang tak ada dah. Sebab dia orang ini (orang yang melantik) tidak pandai pengurusan.

Kalau saya, saya lantik (bukan Melayu). Lantik dua, tiga orang, tengok boleh kerja atau tidak. Kita pasang kita punya timbalan naib canselor Melayu yang kuat.

Itu yang saya telah buat (di ITM). Ini kita macam dari satu segi sama ada rasis atau tak, kita kurang kepercayaan (terhadap bukan Melayu).

Tidak bolehkah orang Melayu menguasai semua bidang?

Kadang-kadang kalau banyak sangat orang Melayu macam di UiTM, saya takut dan bimbang, mereka akan iri hati dan mencantas antara satu sama lain.

Kalau diperhatikan masalah yang kita hadapi ini, kita yang membuatnya. Kalau kita tengok dalam grup WhatsApp dan Facebook, macam-macam menghentam dan memberi cadangan tetapi tidak tahu siapa yang nak membuatnya.

Cadangan itu orang tak dengar pun. Sebab itu, di setiap sekolah dan universiti kalau mahu menjadi bagus mesti ada leadership (kepimpinan).

ORANG POLITIK MENTADBIR UNIVERSITI

Sekarang banyak orang politik dilantik dalam lembaga pengarah universiti?

Dalam pengalaman saya, tiada masalah orang politik dilantik. Sebab hari ini orang politik pun ada kelayakan dan pengalaman yang bagus.

Masa saya dahulu, ada seorang Cina dan seorang orang putih dalam Lembaga ITM, lepas itu tak ada lagi, semua Melayu sahaja.

Tetapi kita mesti jaga, jangan nak ikut cakap seorang, dua orang politik dalam lembaga. Kenapa yang lain tidak bantah?

Pada saya, kita jangan jadi pak turut. Yang susahnya kita jadi pak turut apa saja yang dikata ketua pegawai eksekutif, naib canselor dan orang politik.

Saya bercakap berdasar pengalaman termasuk sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya selama 10 tahun dan dua, tiga universiti lain.

Sama ada keputusan dibuat secara konsensus atau suara majoriti, kita jangan bersetuju dan pastikan bantahan kita direkodkan.

Tetapi jika keputusan telah dibuat, kita mesti bertanggungjawab sama dan tidak boleh bising-bising lagi (selepas itu).

NAIK DARAH BILA SEBUT UiTM

Boleh komen pelantikan Naib Canselor UiTM yang tertangguh sejak Februari lalu?

Mengikut amalan seperti sebelum ini, terpulang pada Menteri Pengajian Tinggi melantik setelah menerima nama-nama wanita yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Naib Canselor selepas dijalankan proses temu duga.

Kalau tanya saya, yang paling layak sekali calon asal dari UiTM dan telah menjadi timbalan naib canselor.

ARSHAD Ayub (dua dari kanan) beramah mesra dengan para graduan selepas selesai Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-79 di Kota Samarahan, Sarawak pada 2013. – UTUSAN/ZAAIN ZIN

Bagaimana situasi UiTM sekarang?

You bercakap pasal UiTM, saya naik darahlah (marah). Tiada komitmen daripada pensyarah terhadap pelajar.

Saya tidak kisah tentang universiti lain tetapi bagi UiTM, pensyarah dan kakitangan mesti komited kepada pelajar dari semua segi.

Saya bimbang, macam semua orang gembira dapat naik pangkat, buat penyelidikan, sudah menjadi profesor, sudah berada dalam zon selesa. Itu yang saya takut di UiTM.

Hendak pergi kemana lepas itu? Saya kisah tentang kakitangan (perlu) memberi nasihat yang baik kepada pelajar.

UiTM bukan macam universiti lain termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Malah di UIAM, Dzul (Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulki­ i Abdul Razak) sudah tukar sikit dia punya cara, lebih kepada komitmen kakitangan.

UiTM dahulu masa saya, 95 peratus pensyarah adalah bukan Melayu, sekarang terbalik. Saya hendak sekarang kalau boleh sekurang-kurangnya 30 peratus pensyarah adalah bukan Melayu.

Dulu kita ajar bahasa Tamil dan Mandarin serta bahasa-bahasa asing lain seperti Jepun, Perancis, Rusia dan Jerman. Saya tak tahu sekarang ada lagi atau tidak.

Jadi, sekarang kita semua budak Melayu, campur dengan Melayu, itupun nasib baik kita ada budak bumiputera dari Sabah dan Sarawak, ada Kristian dan lain-lain.

Itu yang saya ingat, kurang persaingan dalam kalangan pelajar, tidak cukup. Kalau 90 peratus pensyarah Melayu, pelajar 100 peratus bumiputera, pentadbir pun begitu juga, pekerja lain pun sama.

Saya nak tanya dalam keadaan negara kita, macam mana graduan nak bekerja dalam industri dikuasai banyak bukan Melayu? Jadi, tak kenalah pada saya.

BAHASA INGGERIS

Adakah amalan pengajaran menggunakan bahasa Inggeris di UiTM masih berjalan?

Sama ada dilaksanakan betul-betul (sekarang), terpulang kepada dialah. Sama ada dia terus atau tidak terus (bahasa Inggeris), kalau terus pun macam mana. Tulus memang tulus, tetapi tulus tak cukup.

Dulu masa kita menggunakan bahasa Melayu di universiti lain, bahasa pengantar di ITM guna bahasa Inggeris. Budak ITM makan sandwic, berlainan daripada yang lain.

Idea keseluruhan adalah untuk menjadikan pelajar dapat menyesuaikan diri dengan sektor industri dan juga peringkat antarabangsa.

Macam UIAM, banyak pelajar antarabangsa, ia bagus bagi membolehkan budak Melayu bercampur gaul dengan pelajar antarabangsa.

Ini saya punya idea, graduan ITM mesti kompetitif di peringkat dunia. Jadi, dia punya pensyarah mesti berfikir cara itu.

Tidak cukup dari segi bahasa, perlu kuasai semua kemahiran lain dengan matlamat mengeluar graduan untuk bekerja di sektor perdagangan dan industri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×