Berlinang air mata naikkan bendera - Utusan Malaysia

Berlinang air mata naikkan bendera

GAMBAR kenangan Shamsudin Ahmad bersama Allahyarham Jalaludin Ibrahim dan Allahyarham Muhaimin Mohd. Amin sewaktu menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Walaupun sudah 64 tahun berlalu, namun peristiwa menurunkan bendera Uni­on Jack dan menaikkan bend­e­ra Persekutuan Tanah Melayu di Padang Bandar Pontian di sini tetap segar dalam ingatan Shamsudin Ahmad.

Berusia 20 tahun ketika itu, dia sangat bangga dan teruja kerana menjadi individu bertuah yang terpilih bagi melaksanakan tugas yang sangat-sangat bermakna bagi seluruh rakyat negara ini.

Mengimbas kembali detik bersejarah itu, Shamsudin, 84, yang ketika itu seorang guru berkata, dia berpakaian seragam pengakap bersama dua rakan guru iaitu Allahyarham Jalaludin Ibrahim dan Allahyarham Muhaimin Mohd. Amin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tentunya kami bertiga amat teruja menyempurnakan majlis penuh bersejarah dengan disaksikan ribuan penduduk Pontian yang turut membanjiri Pandang Bandar Pontian atau kini dikenali Stadium Mini Pontian pada pagi tersebut.

“Dengan penuh semangat kami bertiga melakukan tugasan tersebut dengan diiringi linangan air mata kerana Tanah Melayu telah bebas daripada cengkaman penjajah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Lorong Shukor, di sini semalam.

Tambah Shamsudin, dia bersama Allahyarham Muhaimin sekali lagi diberikan peluang menaikkan Jalur Gemilang di Stadium Mini Pontian pada 2017 ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-60.

“Kedua-dua peristiwa itu tidak akan saya lupakan,” ujar Tokoh Pengakap Daerah Pontian itu.

Bagaimanapun, pesara Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Kayu Ara Pasong itu sedih apabila tiada sambutan Hari Kebangsaan secara besar-besaran seperti tahun-tahun sebelum ini ekoran pandemik Covid-19.

“Setiap kali saya melalui stadium mini itu saya terkenang peristiwa 64 tahun lalu, tetapi rasa sayu kerana kita tidak dapat menyambut dengan gembira tahun ini dan tahun lepas.

“Kita berdoa keadaan negara kembali pulih agar sambutan ulang tahun kemerdekaan dapat diadakan secara meriah se­perti dahulu sebagai tanda mengenang keadaan sukar generasi terdahulu,’’ katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini