MESKIPUN berusia 78 tahun, daya ingatannya masih kuat mengimbau detik Parti Komunis Malaya (PKM) mula bertapak di Tanah Melayu.
Sakit, pedih, tangisan, tumpahan darah, kerja keras dan pengorbanan rakyat ketika itu begitu perit untuk dikenang. Namun, sejarah ini menjadi kekuatan serta pedoman untuk rakyat menghargai dan mendaulatkan kemerdekaan negara.
Sebagai orang penting dalam Perjanjian Damai Hatyai 1989 yang membawa kepada gencatan senjata, sekali gus membebaskan Tanah Melayu daripada ancaman PKM, bekas Ketua Polis Negara, TAN SRI ABDUL RAHIM MOHD. NOOR mahu rakyat menghormati perjanjian damai itu dengan tidak lagi menyebar atau cuba menghidupkan semula ideologi komunis di negara ini.
Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, AFIQ RAZALI di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, beliau tegas menyatakan kerajaan tiada halangan untuk menerima kembali mereka yang pernah menganggotai PKM termasuk berada di luar negara ketika itu seperti mana termaktub dalam perjanjian dibuat kerajaan pada 2 Disember 1989 di Hatyai, Thailand.
UTUSAN: Tan Sri sempat merasai zaman penjajahan komunis. Boleh ceritakan bagaimana PKM bertapak di Tanah Melayu?
ABDUL RAHIM: PKM ditubuhkan selepas Perang Dunia Pertama pada April 1930. Ketika itu sudah ada cita-cita pergerakan Komunis Antarabangsa (Comitant), ditambah dengan kejayaan revolusi Parti Komunis Rusia yang berjaya mengambil alih pemerintahan beraja negara tersebut pada 1917.
Parti Komunis Rusia dipimpin Vladimir Lenin berjaya menubuhkan sebuah negara komunis pertama di dunia. Ekoran kejayaan itu, mereka bercita-cita agar seluruh dunia berideologi falsafah komunis.
Sementara di negara ini, PKM diasaskan oleh orang Cina tempatan. Pergerakannya dibuat senyap-senyap dengan propaganda disebarkan kepada pelbagai kesatuan sekerja terutama pekerja kilang.
Apabila meletusnya Perang Dunia Kedua dan ketika itu era kebangkitan Jepun sebagai satu angkatan bersenjata berikutan modenisasi negara tersebut. Jepun mempunyai kekuatan senjata sehingga menjadi tamak untuk menakluk sebahagian China yang berdekatan negara matahari terbit itu.
Masyarakat Cina meliputi lebih 40 peratus keseluruhan penduduk Tanah Melayu menumpukan perhatian kepada China yang menjadi mangsa kerakusan Jepun. Mereka amat terkesan dengan apa yang berlaku di sana.
Perasaan masyarakat Cina itu diceritakan oleh Chin Peng dalam buku tulisannya. Chin Peng sendiri berkobar-kobar mahu mempertahankan China sehingga meminta kebenaran ibunya untuk membantu penduduk negara itu tetapi mendapat tentangan.
Ekoran perasaan marah dengan Jepun, maka timbul golongan anti-Jepun. Apabila tentera Jepun menakluk Tanah Melayu, mereka mendapat tentangan hebat daripada orang Cina. Jepun ketika itu sudah mengetahui kedatangan mereka ke Tanah Melayu tidak akan diterima oleh masyarakat Cina tempatan.
Kemuncaknya, ramai orang Cina ditangkap sehingga wujudnya tentangan cukup hebat.
Tercetusnya Perang Dunia Kedua, membuka peluang lebih besar untuk PKM melebarkan pengaruhnya akibat kebencian terhadap Jepun.
PERJANJIAN DAMAI HATYAI
Tan Sri insan terpilih dan penting dalam pembubaran dan peletakan senjata PKM. Boleh kongsi pengalaman?
Rundingan ini sebenarnya rentetan daripada kegagalan mencapai kata sepakat dalam Rundingan Baling pada 28 dan 29 Disember 1955 antara Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng.
Tunku bertegas meminta komunis berundur, namun tidak dipersetujui oleh Chin Peng. Lebih-lebih lagi apabila cadangannya untuk mengiktiraf PKM sebagai sebuah parti politik yang layak bertanding dalam pilihan raya ditolak oleh Tunku.
Saya dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas (SB). Sepanjang perkhidmatan, saya tidak pernah diletakkan di SB.
Pada minggu pertama bertugas dalam cawangan itu, saya panggil timbalan saya untuk mengetahui isu-isu besar yang menjejaskan keselamatan negara. Saya diberitahu isu tersebut adalah berkaitan komunis dan perkauman.
Lantas saya bertanya pendapat dia untuk mengesyorkan kepada Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad yang juga Menteri Dalam Negeri untuk mengadakan rundingan dengan komunis. Bagi saya, alang-alang sudah ada Rundingan Baling, apa salah kita teruskan. Saya dah kaji dan ini cara terbaik untuk kita menghentikan lebih banyak korban nyawa dan pembaziran perbelanjaan wang negara. Saya tahu ketika itu ada yang tidak bersetuju dengan cadangan ini.
Sebagai SB, saya ada hubungan terus dengan Perdana Menteri. Saya nyatakan hasrat tersebut dan ternyata Dr. Mahathir memberi lampu hijau untuk teruskan (rundingan).
Jadi, saya gerakkan satu mesyuarat di Phuket, Thailand pada 1988 terdiri daripada Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Haniff Omar dan Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Hashim Mohd. Ali. Sebanyak lima sesi rundingan dijalankan dengan wakil PKM terdiri daripada Chang Ling Yun, Rashid Maidin, Ah Yen dan Ah Sek.
Saya ketika itu mendapatkan bantuan Timbalan Komander Wilayah 4, Angkatan Tentera Thailand berpangkalan di Selatan Thai, Mejar Jeneral Kitty Ratanachaya memandangkan Chin Peng lari ke hutan di Thailand. Pada masa sama, pihak Thailand juga buat rundingan.
Dalam rundingan, PKM masih menuntut perkara sama seperti Rundingan Baling. Namun, akhirnya saya berjaya membuatkan mereka menandatangani Perjanjian Damai Hatyai. Antara syaratnya, membolehkan semua pemimpin PKM kembali ke tanah air. Alhamdulillah, selepas 33 tahun, isu komunis habis (tidak lagi didengar).
Perkara pertama dalam fikiran apabila berjumpa Chin Peng?
Dalam rundingan tersebut, saya tidak berjumpa Chin Peng tetapi Rashid Maidin. Saya hanya jumpa Chin Peng secara one to one di bilik hotel.
Saya banyak tanya dia soalan. Apa sebab memberontak terhadap Inggeris dan kenapa you rasa Baling (Perjanjian Baling) gagal? Dia jawab dalam bahasa Melayu yang sempurna walaupun sudah lama duduk di luar negara, kerana (kerajaan) Inggeris gagal, “PKM ada perjanjian dengan Inggeris iaitu apabila perang dunia berakhir dengan kekalahan Jepun dan Inggeris kembali memerintah Tanah Melayu dan Singapura. Mereka berjanji akan berunding dengan komunis untuk menawarkan kemerdekaan selepas kami memberi kerjasama dalam memastikan kekalahan Jepun. Perjanjian itu dibuat di Singapura. Tapi aku menunggu sampai hari ini (ketika itu) tiada. Akhirnya parti aku ditindas.”
Saya terus ajukan soalan kedua, adakah dia yakin menjadi pejuang? Jawabnya, “kami buat keputusan menentang Inggeris dengan senjata kerana kami yakin mempunyai ramai pengikut di Tanah Melayu dan Singapura berikutan kedatangan Jepun.”
Apa pandangan Tan Sri sekiranya perjanjian damai tidak dibuat ketika itu?
Jika berlaku perbalahan politik terutamanya melibatkan anak muda seperti pelajar universiti, persatuan pelajar, sudah pasti mereka akan lari ke hutan.
Masih ramai lagikah bekas anggota PKM yang masih berada di Thailand?
Kalau ada pun, mereka sudah tua. Mungkin berusia 80 tahun ke atas terdiri daripada golongan petani yang ditipu komunis. Mereka juga mungkin sudah selesa menetap dan berkahwin dengan rakyat tempatan di sana.
Adakah ideologi asal komunis sedang kembali digerakkan?
Dalam dunia, hanya ada satu negara diperintah oleh komunis iaitu China sejak 1949 tetapi nama sahaja sebuah negara komunis. Kalau China sehingga hari ini masih kukuh dan taat setia dengan ajaran Marxisme, sosialisme dan komunisme, saya pasti negara itu tidak akan membangun dan menjadi negara kuasa besar yang hebat dari segi ekonomi dan ketenteraan. Ini kerana ajaran komunis sejati tidak sehaluan dengan sikap bangsa Cina. Mereka pastinya tidak boleh kalahkan Jepun dan Korea. Ini kerana menurut ajaran Marxisme, everything belongs to state. Jadi, saya rasa no way.
Bagaimana pula dengan rakyat?
Tidak dinafikan, ada segelintir rakyat Malaysia sama ada warga emas atau anak muda yang sukakan fahaman Marxisme. Pandangan saya, kenapa mereka sikap begitu dengan tidak berpijak di bumi nyata? Kenapa berangan-angan mengikut bukan kenyataan, bukan kebenaran tetapi lebih percaya dengan apa yang dibaca serta diimpikan?
Jika mahu amalkan ajaran komunis, maka kita takkan maju.
Jadi, saya rasa tidak sebaliknya saya lebih yakin jika ada gerakan politik yang cuba nak hancurkan keamanan, ia berkaitan elemen keagamaan, perkauman yang ekstrem atau kedaerahan. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian.
Bagaimana dengan sikap anak muda yang semakin berani bersuara dan menuntut perkara yang bercanggah dengan prinsip dan undang-undang negara?
Negara kita wujud berdasarkan undang-undang agar rakyat dapat hidup dengan damai dan tenteram. Tetapi undang-undang memberi batasan dan kita selalu bersikap mempersoalkan. Yang suka nak lawan undang-undang perlu ada cara yang betul jika mahu menghapuskan sesuatu undang-undang. Ia perlu dibuat secara aman, tak boleh memberontak.
Tubuhkan satu persatuan atau buat kenyataan mengikut cara yang dihalalkan undang-undang. Kalau menyuarakan pendapat yang boleh menjejaskan keamanan, perlu diambil tindakan oleh pihak berkuasa juga berlandaskan undang-undang.
Adakah sikap mereka itu disebabkan kurangnya pengertian pengorbanan rakyat dalam mencapai kemerdekaan?
Rakyat pada umum sedar adanya pejuang kemerdekaan. Kita takkan merdeka dan akan terus di bawah pemerintahan penjajah jika tiada keberanian dalam kalangan penduduk Tanah Melayu untuk bangkit. Ada yang insaf. Ada yang nampaknya tidak insaf tetapi dalam diri sebenarnya insaf tetapi cuba menafikan perasaan itu. Orang seperti ini ada elemen kebudak-budakan atau kurang matang sebab kalau mereka serius terhadap apa yang difikirkan, maka semuanya jadi tak betul. Sepatutnya dia mesti bergerak dengan lebih lengkap, misalnya wujudkan pergerakan sosial menurut undang-undang untuk menzahirkan kepercayaan mereka dan apa yang difikirkan kurang.
Kita ada media sosial, mudah sekali untuk dapatkan maklumat. Jadi, seawal usia 13 tahun kita sudah dapat fikirkan mana yang betul atau salah. Jadi, ambil langkah yang terbaik.










