SAMBUTAN Bulan Kemerdekaan untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sahaja perlu memasukkan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri kita pada temanya, iaitu Malaysia Prihatin. Ia juga hendaklah dijadikan langkah pertama untuk mempertingkat pemahaman rakyat terhadap satu inisiatif murni lagi mulia untuk terus menyatukan pelbagai etnik dalam negara majmuk ini.
Sesungguhnya gagasan keluarga sebagai nilai yang mahu diangkat untuk proses pembentukan negara bangsa selanjutnya adalah pilihan tepat pada masanya dan bijak dari segi strateginya, lebih-lebih lagi dalam keadaan ketidaktentuan yang dihadapi negara kini yang didapati banyak menjejaskan urus tadbir, khususnya dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi.
Sehubungan itu, keluarga dengan nilai kebersamaannya yang tinggi kerana semua ahli dalamnya bersaudara yang dalam konteks Keluarga Malaysia bersifat ‘saudara angkat,’ diyakini bukan sahaja adalah panduan, malah pendorong ke arah wujudnya sikap dan tindakan rakyat pelbagai etnik untuk bergerak sebagai satu komuniti nasional. Ini kerana secara umumnya, ahli sebuah keluarga itu mempunyai rasa keterikatan, komitmen dan tanggungjawab antara satu sama lain.
Dengan ini, keluarga bukan sahaja memberi perlindungan kepada semua ahlinya, malah pengorbanan ikut dilakukan ahlinya untuk yang lain. Ini kerana wujudnya hubungan emosi antara satu sama lain. Ikatan kekeluargaan secara angkat ini sebenarnya sudah lama wujud dalam kalangan rakyat.
Ini dapat dilihat daripada penggunaan panggilan kekeluargaan oleh rakyat dalam interaksi antara etnik. Antaranya ialah pak cik dan mak cik, uncle dan aunty, serta kakak dan abang yang bukan sahaja digunakan secara mesra tetapi juga dengan ikhlas.
Walaupun tidak bersaudara betul melalui perkahwinan sebagai ipar misalnya, apa lagi melalui pertalian darah dalam bentuk sepupu dan lain-lain, inilah amalan rakyat semenjak sekian lama dalam budaya kolektivisme timur kita.
TUNTAS
Di samping fenomena sopan, bukan sahaja ia cerminan kita hormat menghormati sesama kita biarpun berlainan etnik, ia juga hakikat tentang wujudnya kerjasama antara kita. Atas landasan inilah, kita harus terus membina falsafah dan ideologi pada konsep dan inisiatif Keluarga Malaysia ini dalam konteks kenegaraan agar lebih luas cakupannya di samping lebih mantap hala tujunya.
Jangan ia sekadar pemahaman luaran pada dua perkataan itu sahaja tanpa adanya keterangan, penjelasan dan penghuraian yang rinci lagi tuntas. Sebagai falsafah, Keluarga Malaysia hendaklah dikembangkan menjadi pegangan kita yang diasaskan ilmu untuk dijadikan panduan hidup sebagai perwatakan nasional rakyat.
Sebagai ideologi pula, Keluarga Malaysia juga harus diperluas menjadi pegangan kita tentang cara yang akan mempengaruhi rakyat bertindak dalam kehidupan nasional.
Dengan ini, selaku falsafah dan ideologi negara, Keluarga Malaysia sebenarnya ialah pemikiran dan gagasan bernegara dan senegara di Malaysia untuk rakyatnya menjalani kehidupan nasional bukan sahaja dengan perwatakan nasional yang bermuafakat sesama sendiri.
Pemikiran dan gagasan ini juga perlu memastikan Keluarga Malaysia berlaku dalam suasana kekeluargaan yang penuh dengan rasa kepercayaan tinggi lagi tulus antara satu sama lain.
Sehubungan itu, Keluarga Malaysia hendaklah dikembangkan untuk meraikan kepelbagaian pada tahap penerimaan yang tinggi setelah 64 tahun kita merdeka dan bukan lagi sekadar toleransi sesudah sekian lama kita hidup bersama-sama dalam satu negara sama. Untuk itu, peranan sosialisasi pada keluarga harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi memberi pengalaman interaksi antara kaum sejati kepada rakyat agar dapat menyedari dan menginsafi bahawa mereka semua adalah ahli keluarga sama.
RIADAH
Seterusnya beberapa nilai keluarga penting hendaklah ikut dimasukkan dalam konsep Keluarga Malaysia ini. Antaranya nilai sosial, politik, agama, kerja, akhlak dan riadah.
Nilai sosial antaranya merujuk kepada keperluan menghormati selain berlaku sopan dalam interaksi kita. Nilai politik pula berkenaan pemupukan nasionalisme dan patriotisme manakala nilai agama menganjurkan kesederhanaan dalam hubungan kita dengan penganut agama lain.
Keperluan melakukan yang terbaik pada setiap tugasan yang diberikan, selain bekerja sebagai satu pasukan adalah perkara penting pada nilai kerja. Bertanggungjawab, beramanah dan tidak mudah berputus asa pula adalah antara ciri yang ditekan pada nilai akhlak manakala bersukan, berhibur dan menggunakan waktu senggang bersama-sama sebagai nilai riadah bukan sahaja baik untuk mempertingkat kemahiran sosial, ia juga boleh membina rasa empati terhadap pihak lain.
Dengan adanya konsep Keluarga Malaysia ini, ia sebenarnya dapat menjalinkan modal sosial, iaitu sebilangan nilai yang dikongsi bersama untuk membolehkan rakyat bekerjasama sebagai komunti nasional bagi mencapai destini negara yang dihasratkan bersama-sama. Ini hanya boleh terjadi apabila rakyat bersatu sebagai sebuah keluarga untuk bersama-sama mendukung jati diri kebangsaan yang serupa.
Sama penting dengan malah lebih lagi daripada modal sosial ialah kepercayaan sosial. Ia merujuk kepada iktikad kejujuran, amanah serta kepercayaan kepada pihak lain. Melaluinya kita akan lebih percaya mempercayai antara satu sama lain, yakni tiada lagi gejala saling mencurigai. Sebenarnya, kepercayaan sosial mampu menjana modal sosial. Oleh itu, ia lebih behena daripada modal sosial sebagai hasilan bestari konsep Keluarga Malaysia.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










