Lesen basikal memang sudah sedia wujud - Utusan Malaysia

Lesen basikal memang sudah sedia wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ramai yang tidak tahu bahawa wujud lesen untuk menunggang basikal di negara ini yang disertakan perlindungan insurans.

Setakat ini, 1,000 individu memohon lesen berkenaan menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Lesen berkenaan bukan sahaja bagi tujuan perlumbaan, sebaliknya terpakai untuk mereka yang ingin melakukan kayuhan santai di jalan raya atau lebuh raya.

Bagaimanapun, pemilikan lesen tersebut tidak diwajibkan kepada penunggang basikal biasa di negara ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab berkata, menerusi lesen berkenaan, setiap penunggang basikal akan menerima manfaat akibat kemalangan, bergantung kepada kadar premium yang dibayar setiap bulan menerusi lesen tersebut.

“Contohnya kalau bayar RM80 sebulan akan dapat pampasan akibat kemalangan sebanyak RM15,000, ada yang ambil sampai RM100,000 bergantung pada kadar premium yang dibayar dan itulah yang kita amalkan sekarang.

“Kalau hendak membuat penganjuran sukan berbasikal, setiap syarikat perlu memohon kepada pesuruhjaya sukan dan dikenakan dua kaedah iaitu ada lesen untuk setahun serta ada lesen untuk sehari, malah bayaran juga berbeza,” katanya ketika dihubungi semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan cadangan MIROS supaya setiap basikal di negara ini perlu didaftar, dilesen dan di­letakkan nombor plat kende­raan sama seperti kenderaan ber­motor bertujuan meningkat­kan keselamatan penunggang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong da­lam respon di Facebook mene­gaskan cadangan MIROS itu ti­dak pernah dibincangkan di peringkat kementerian.

Kata beliau, kementeriannya menafikan sama sekali untuk me­laksanakan cadangan seper­ti itu malah ia tidak pernah dibangkitkan kepada beliau.

“Setakat ini, sebarang komen yang dibuat oleh MIROS sebagaimana yang dilaporkan media tidak menjadi dasar se­hingga­lah melalui pelbagai proses, seterusnya mendapat kelulusan menteri,” katanya.

Dari segi keselamatan penunggang basikal, kemente­ri­annya melalui Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ) dan MI­ROS terus mempromosikan program pendidikan keselamatan kepada penggemar sukan berbasikal secara berterusan.

Abu Samah pula berkata, Bahagian Pelesenan PKBM menggariskan permohonan lesen kategori Cycling For All adalah tertakluk di bawah undang-undang Persatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Lesen itu dibuat khas bagi peminat sukan berbasikal yang gemar berbasikal sebagai aktiviti santai yang terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemohon hendaklah berumur 12 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, syarat pemilikan lesen berbasikal bagi setiap penunggang sama ada ketika menyertai perlumbaan ataupun di luar kejohanan adalah selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh UCI.

“Kalau penunggang basikal biasa hendak dikenakan lesen itu terpulang kepada pihak kerajaan. Bukannya saya hendak menidakkan perkara itu. Saya bercakap atas kapasiti PKBM dan saya mengharapkan sekiranya ada perbincangan lanjut dapat melibatkan pihak kita, pesuruhjaya sukan, pihak polis serta jabatan bomba,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×